Sunday, July 19, 2009

ISU TEO SENGAJA DIPOLITIKKAN

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kematian Teo Beng Hock, setiausaha politik anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, telah dipolitikkan oleh pihak pembangkang untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas wakil-wakil rakyat mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata isu kematian itu dipolitikkan semasa SPRM sedang menjalankan siasatan ke atas Anggota-anggota Dewan Undangan Negeri dari pakatan pembangkang berhubung dengan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri yang diagihkan kepada wakil-wakil rakyat.

Siasatan ke atas wakil rakyat pembangkang dalam kes penyalahgunaan peruntukan itu mungkin menunjukkan mereka juga tidak lepas daripada melakukan kesilapan, katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Tanjung Karang di Tanjung Karang hari ini.

"Penting bagi kita mengatur langkah dan strategi yang perlu dibuat apabila pakatan pembangkang tidak mempunyai ikatan yang jitu. Oleh itu, anggota Barisan Nasional perlu mengambil peluang itu bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada BN," katanya.

Mayat Teo, 30, ditemui di koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira 1.30 tengah hari Khamis lepas. Beliau merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata oleh itu adalah penting bagi komponen-komponen BN untuk memperbaiki diri mereka supaya tidak dilihat lemah kerana berbalah sesama sendiri dan tidak diyakini kemampuan mereka untuk membela nasib kaum yang diwakili mereka.

Oleh itu, kelemahan-kelemahan ini perlu diatasi untuk memulihkan kembali imej BN, katanya.

Muhyiddin berkata selain daripada isu politik, Kerajaan BN juga menghadapi beberapa cabaran seperti ekonomi dan pendidikan yang turut dipolitikkan terutamanya soal pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris yang akan dimansuhkan pada 2012.

"Keputusan kerajaan mansuhkan PPSMI ...banyak politik yang sedang berlaku, ramai yang setuju tetapi ada yang tidak setuju. Keputusan kita adalah jelas, kita buat (keputusan) atas kajian yang dijalankan sekian lama," katanya.

Dalam kajian itu, katanya, jelas pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu tidak meningkatkan penguasaan pelajar di dalam Bahasa Inggeris, katanya. -- LAGI

Oleh itu, Muhyiddin berkata beliau berharap anggota-anggota UMNO akan menyokong usaha kerajaan untuk memartabatkan Bahasa Malaysia dan memperkukuh Bahasa Inggeris yang merupakan keputusan terbaik untuk generasi muda di dalam negara tanpa mengira bangsa.

Pada majlis itu, Muhyiddin melancarkan Logo 1Malaysia UMNO Tanjong Karang yang disediakan daripada 100 kg padi dari Tanjong Karang sempena 100 hari Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Muhyiddin juga turut memotong kek yang disediakan oleh UMNO Bahagian itu sempena hari ke 100 beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.

CHUA ANGGAP SERTAI PKR LANGKAH YANG BETUL

Barisan Nasional tidak memerlukan pemimpin lidah bercabang.

Kalaupun menganggap menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai langkah yang betul, Datuk Chua Jui Meng tidak wajar bersandiwara.

Umum saja semalam, kenapa takut?

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Datuk Liow Tiong Lai berkata, beliau sedih dengan keputusan Chua.

Katanya, beliau sedih kerana Chua meninggalkan MCA ketika parti memerlukannya untuk memperkukuhkan parti selepas prestasi BN yang kurang menggembirakan dalam pilihan raya umum lalu.

"Kita seharusnya bersatu untuk menghadapi situasi sukar secara bersama. Saya sedih dengan keputusan beliau meninggalkan parti, tetapi saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," kata beliau.

Kelmarin Chua melepaskan jawatan Ketua Bahagian MCA Bakri. Chua, bekas Menteri Kesihatan, tewas dalam pemilihan jawatan Presiden tahun lalu dan 2005. Beliau memimpin Bakri sejak 1988 dan menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

Kelmarin juga Chua juga menolak desas-desus yang mengatakan akan keluar parti dan menyertai PKR, sebaliknya meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya.

Ternyata Chua yang cuba menunjukkan dirinya sebagai seorang yang tidak tamak sebenarnya melakukan sandiwara dan tidak gentlemen langsung.

Selepas menafikan dua hari lalu, petang ini bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan sendiri oleh beliau pada satu majlis PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway petang ini.

"Wujud banyak spekulasi sejak kebelakangan ini dalam media tentang apakah langkah saya yang seterusnya dalam bidang politik.

Hari ini, saya membuat satu keputusan penting dalam hidup saya - meninggalkan MCA dan menyertai PKR. Saya meletak jawatan sebagai pengerusi MCA bahagian Bakri, jawatan yang saya pegang selama 23 tahun, membebas diri ini untuk memikul perjuangan baru bagi merealisasi wawasan saya untuk perubahan. Semua ini terkandung dalam manifesto yang saya tulis sewaktu bertanding jawatan presiden MCA pada 2005 dan 2008.

Hari ini saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA. Sekarang saya mengumum saya menyertai PKR.

Hari ini saya yakin yang saya berada di pihak yang betul dalam sejarah, pada saat yang amat genting dalam sejarah negara kita. Apa yang mendorong saya untuk berbuat demikian?

Pilihanraya umum 2008 menyaksikan kesungguhan 52 peratus rakyat Malaysia di Semenajung untuk melakukan perubahan. Kuasa undi yang menakjubkan ini telah melahirkan, bagi pertama kalinya, sistem dua parti. Hasilnya, kita menyaksi fenomena sehingga ini di mana pemimpin Umno berkata " jika kita tidak berubah, rakyat akan menukar kerajaan".

Kerana tiada pilihan, rakyat Malaysia kini menyaksikan kerajaan yang didukung oleh Umno, membuat beberapa usaha memenangi hati rakyat. Itu adalah hasil daripada kuasa rakyat.

Hari ini kita menyaksikan kelahiran sistem dua parti kini berdepan dengan ancaman kemusnahan, gangguan yang berterusan daripada kerajaan yang didukung oleh Umno untuk memisah dan memusnahkan sistem dua parti, yang terhasil daripada pilihanraya umum tahun lalu.

"Hari ini saya membuat keputusan paling penting dalam hidup saya, meninggalkan MCA dan menyertai PKR," kata beliau dalam ucapannya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dalam majlis itu.

Turut menyertai PKR adalah bekas Senator David Yeoh dan bekas Ahli Parlimen Lumut, Yap Yit Thong.

Pada sidang media selepas itu, Chua, 64, berkata, beliau menyertai PKR memandangkan wujud banyak persamaan antara aganda politik yang ingin dibawa beliau dan Anwar.

"Saya telah keluarkan manifesto pada 2005 dan 2008 dan saya membandingkannya dengan visi dan agenda Datuk Seri Anwar serta manifesto PKR pada pilihan raya umum lalu.

"Saya lihat ada banyak perkara yang kami punya persamaan dan itulah yang betul-betul meyakinkan saya bahawa PKR adalah parti yang tepat untuk saya sertai.

"Saya lihat semangat dalam diri Datuk Seri Anwar. Kita berbincang tentang agendanya, bertanya soalan dan saya memberikannya manifesto saya.

"Justeru, kita faham apa yang patut saya lakukan untuk membantunya dalam agenda Malaysia," katanya.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau akan menghantar surat keluar parti kepada MCA secara rasmi memandangkan beliau telah mengumumkan keluar daripada parti hari ini.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk menukar parti, Chua berkata, beliau sebelum ini berhasrat untuk melakukan reformasi dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung keputusannnya keluar parti dan menyertai PKR, Chua berkata: "Beliau sahabat saya. Beliau seorang yang berpegang teguh kepada prinsip."

"Saya menghormatinya dan saya percaya beliau juga menghormati saya. Hubungan kami akan berterusan sebagai kawan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Chua adalah aset penting kepada PKR dan beliau akan mempelawa Chua untuk menyertai kepimpinan tertinggi parti itu.

"Hal itu memerlukan kelulusan biro politik parti dan seterusnya oleh Majlis Tertinggi," katanya.

Saturday, July 18, 2009

KEMELUT INTEGRASI UIGHUR - HAN
















(Utusan Malaysia)

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

BERBANDING Tibet, kemelut etnik di Xinjiang tidak begitu mendapat perhatian media antarabangsa. Meskipun krisis itu sudah berpanjangan kira-kira lima dekad lamanya, namun nasib yang menimpa penduduk Xinjiang seolah-olah terpinggir.

Malah, Beijing sendiri tidak begitu serius dalam menangani permasalahan sebenar yang membelenggu wilayah tersebut. Bagaimanapun rusuhan etnik antara Uighur dan Han yang mengorbankan tidak kurang 180 nyawa di bandar Urumqi, Xinjiang minggu lalu membuka mata banyak pihak.

Agak menarik, Beijing membuka pintu yang luas kepada wartawan asing untuk membuat liputan mengenai konflik tersebut. Keadaan itu sangat berbeza dengan dasar China sebelum ini yang mengenakan kawalan ketat kepada media asing.

Ramai yang menilai tindakan Beijing itu kerana cuba menarik simpati masyarakat antarabangsa. China tidak mahu dilihat sebagai pemerintah yang gagal menguruskan hal dalaman sendiri ketika negara itu sedang menuju sebagai kuasa ekonomi baru dunia.

Beijing juga sangat berhati-hati menangani konflik ini kerana bimbang ia akan dilihat sebagai krisis agama memandangkan etnik Uighur merupakan penganut Islam.

Sentimen agama sekiranya terus dimainkan boleh mendedahkan wilayah itu kepada ancaman puak pemisah dan rangkaian kumpulan militan.

Terletak bersempadan dengan negara-negara seperti Mongolia, Rusia, Kazakhtan, Kirgistan, Tjikistan, Afganistan, Pakistan dan India, ancaman puak militan itu tidak boleh dipandang mudah.

Justeru, dasar buka pintu terhadap permasalahan yang berlaku di Xinjiang antara lain diharapkan dapat memberi gambaran sebenar situasi yang berlaku kepada masyarakat dunia.

Namun dalam keterbukaan itu, China tetap menolak permintaan antarabangsa yang mahukan krisis itu dibincangkan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Turki adalah antara negara yang lantang mendesak China menyelesaikan konflik itu mengikut lunas-lunas antarabangsa.

Sebagai salah sebuah negara bersempadan, rusuhan etnik di Xinjiang turut memberi kesan kepada Turki.

Sejak krisis itu meletus, ramai penduduk Uighur merentas sempadan mencari perlindungan di negara itu. Bagaimanapun, China menempelak desakan antarabangsa itu dengan mendakwa Beijing mampu mengurus isu dalaman sendiri.

Namun China dilihat agak terlewat dalam menangani kemelut etnik di Xianjiang apabila rasa tidak puas hati antara dua kaum majoriti iaitu Uighur dan Han mula diluahkan di jalanan.

Sewaktu kerajaan komunis China pimpinan Mao Zedong dibentuk pada 1949, etnik Uighur merupakan penduduk majoriti di Xinjiang iaitu sebesar kira-kira 76 peratus. Etnik Han pula hanya sekitar enam peratus dan selebihnya merupakan etnik-etnik kecil yang lain.

Bagaimanapun, dasar Go West kerajaan komunis China ketika itu telah membawa masuk penduduk Han ke wilayah berkenaan dalam jumlah yang besar.

Etnik Uighur dan Han ketika ini menempati jumlah penduduk yang seimbang di kalangan 21 juta penduduk di Xinjiang.

Meskipun etnik Uighur merupakan masyarakat pribumi, namun dasar-dasar kerajaan China lebih mengutamakan etnik Han.

Penduduk Uighur dilayan seperti masyarakat kelas kedua dan terpinggir daripada dasar-dasar pembangunan kerajaan China. Mereka juga tidak bebas menggunakan dialek daerah Turki, melaksanakan ibadah agama dan meneruskan budaya hidup sendiri.

Kerajaan China juga dibayangi ketakutan terhadap penduduk Uighur kerana dikatakan terlibat dengan kumpulan pemberontak dan menyokong gerakan pemisah.

Kerana krisis kepercayaan itu juga, China tidak mahu meletakkan kekayaan gas dan hasil bumi di Xinjiang ke tangan orang Uighur. Wilayah yang terletak kira-kira 4,000 kilometer dari Beijing itu kaya dengan minyak, timah dan emas lebih-lebih lagi di lembah sungai Tarim.

Sikap prejudis terhadap penduduk Uighur itu juga menyebabkan wilayah Xinjiang dikawal ketat. Komunikasi di wilayah ini dihadkan kerana bimbang berlakunya penyebaran maklumat yang berbahaya.

Dasar ketat Beijing itu sebenarnya ada kaitan dengan kedudukan strategik Xinjiang untuk China untuk ke Timur Tengah.

Kawasan tandus dan kering yang luas di Xianjiang juga menjadi tapak bagi ujian percubaan nuklear dan latihan tentera.

Xianjiang juga merupakan wilayah pertahanan di sebelah Barat sewaktu China mengekang ancaman tentera negara Kesatuan Soviet selama kira-kira 40 tahun.

Bagaimanapun dasar yang keterlaluan itu telah menekan penduduk Uighur. Dalam masa yang sama, ia turut memuncak rasa curiga terhadap etnik Uighur di kalangan penduduk Han.

Sentimen itu tidak memerlukan sebab yang besar untuk mencetuskan rusuhan etnik yang dahsyat.

Rusuhan yang membunuh kira-kira 180 orang di Urumqi baru-baru ini misalnya, hanyalah berpunca daripada pertengkaran yang berlaku di sebuah gudang kain.

Meskipun keadaan kini kembali tenang dengan kehadiran lebih ramai anggota keselamatan, namun kejadian itu pastinya menimbulkan implikasi yang berpanjangan.

Perkara yang sama turut mendapat perhatian Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya (UM), Dr. Suffian Mansor.

Menurut Suffian, konflik di Urumqi membabitkan isu yang lebih besar iaitu soal integrasi nasional dan ekonomi.

Ia juga membabitkan soal masa depan serta pengembalian hak kepada penduduk asal yang seolah-olah dipinggirkan daripada dasar-dasar kerajaan China.

Dasar Go West kerajaan China telah menimbulkan kebimbangan di kalangan etnik Uighur mengenai nasib dan masa depan mereka serta wilayah mereka.

Isu ini tidak hanya tertumpu di Urumqi di mana tercetusnya tragedi berdarah itu, tetapi lebih besar lagi iaitu di seluruh Xinjiang itu sendiri.

Dari sudut ekonominya, penduduk Uighur sangat jauh ketinggalan berbanding etnik Han. Kadar kemiskinan di kalangan penduduk Uighur juga lebih tinggi.

Majoriti penduduk Uighur yang miskin juga tidak mampu membayar yuran persekolahan menyebabkan mereka semakin ketinggalan.

Etnik Uighur juga terpaksa bersaing dengan kaum Han untuk mendapatkan pekerjaan. Malah, mereka berasa ditindas apabila golongan cerdik pandai tidak mendapat layanan dan diberi tempat yang sewajarnya dalam tingkat sosial di Xinjiang.

Dasar pembangunan di Xinjiang juga secara beransur-ansur menyaksikan pembukaan tanah untuk industri dan perlombongan terutamanya minyak.

Ia banyak membabitkan tanah-tanah pertanian dan kawasan penternakan milik penduduk Uighur yang majoritinya merupakan petani dan penggembala.

Perkara inilah yang ditakuti penduduk Uighur kerana mereka tidak pasti di manakah kedudukan mereka di dalam rancangan pembangunan itu.

Kerana itu juga, etnik Uighur melihat dasar Go West sebenarnya menindas mereka dan hanya menguntungkan etnik Han.

Dalam membincangkan pendekatan yang boleh diambil bagi merungkai kemelut itu, Suffian berkata, antara penyelesaian yang boleh diambil ialah dengan memberikan status autonomi dalam erti kata yang sebenar kepada wilayah itu.

Menurut beliau, Xinjiang pada dasarnya memang sudah diberikan status autonomi. Wilayah itu merupakan wilayah istimewa bagi etnik Uighur.

Namun, status autonomi itu tidak jelas dan tidak diberikan sepenuhnya memandangkan masih dikawal oleh kerajaan China.

Mereka juga tidak pernah menaruh harapan yang tinggi terhadap Gabenor Xinjiang meskipun beliau dipilih daripada etnik Uighur.

Ini kerana kuasa yang lebih besar terletak di tangan Setiausaha Agung Parti Komunis China wilayah iaitu Wang Lequan yang merupakan seorang etnik Han.

Dalam erti kata yang lain, status autonomi dan keistimewaan yang diberikan terhadap Xianjiang itu langsung tidak memanfaatkan penduduk Uighur.

Sebaliknya dengan status autonomi yang jelas tambah Suffian, penduduk Xinjiang boleh menentukan hala tuju wilayah mereka sendiri dan membangunkan wilayah berkenaan seiring dengan wilayah China yang lain.

Dalam masa yang sama, kerajaan China perlu lebih adil dalam merencana pembangunan ekonomi di Xinjiang supaya dapat dimanfaatkan oleh semua kaum.

Hak berbahasa dan beribadat yang dijamin oleh Beijing juga perlu diberikan kepada penduduk Uighur.

Paling utama jelas Suffian, kerajaan China perlu membuang imej pengganas dan memberi kepercayaan kepada pemimpin Uighur untuk bersama-sama dalam kerancakan pembangunan negara itu.

''Isu di Xinjiang adalah berkaitan dengan isu-isu kepercayaan, keadilan, pembelaan dan masa depan. Selagi isu-isu ini tidak diselesaikan dengan baik masalah Xinjiang ini akan menjadi momokan kepada China sampai bila-bila," ujar beliau.