Sunday, July 19, 2009

CHUA ANGGAP SERTAI PKR LANGKAH YANG BETUL

Barisan Nasional tidak memerlukan pemimpin lidah bercabang.

Kalaupun menganggap menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai langkah yang betul, Datuk Chua Jui Meng tidak wajar bersandiwara.

Umum saja semalam, kenapa takut?

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Datuk Liow Tiong Lai berkata, beliau sedih dengan keputusan Chua.

Katanya, beliau sedih kerana Chua meninggalkan MCA ketika parti memerlukannya untuk memperkukuhkan parti selepas prestasi BN yang kurang menggembirakan dalam pilihan raya umum lalu.

"Kita seharusnya bersatu untuk menghadapi situasi sukar secara bersama. Saya sedih dengan keputusan beliau meninggalkan parti, tetapi saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," kata beliau.

Kelmarin Chua melepaskan jawatan Ketua Bahagian MCA Bakri. Chua, bekas Menteri Kesihatan, tewas dalam pemilihan jawatan Presiden tahun lalu dan 2005. Beliau memimpin Bakri sejak 1988 dan menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

Kelmarin juga Chua juga menolak desas-desus yang mengatakan akan keluar parti dan menyertai PKR, sebaliknya meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya.

Ternyata Chua yang cuba menunjukkan dirinya sebagai seorang yang tidak tamak sebenarnya melakukan sandiwara dan tidak gentlemen langsung.

Selepas menafikan dua hari lalu, petang ini bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan sendiri oleh beliau pada satu majlis PKR di sebuah hotel di Bandar Sunway petang ini.

"Wujud banyak spekulasi sejak kebelakangan ini dalam media tentang apakah langkah saya yang seterusnya dalam bidang politik.

Hari ini, saya membuat satu keputusan penting dalam hidup saya - meninggalkan MCA dan menyertai PKR. Saya meletak jawatan sebagai pengerusi MCA bahagian Bakri, jawatan yang saya pegang selama 23 tahun, membebas diri ini untuk memikul perjuangan baru bagi merealisasi wawasan saya untuk perubahan. Semua ini terkandung dalam manifesto yang saya tulis sewaktu bertanding jawatan presiden MCA pada 2005 dan 2008.

Hari ini saya mengumumkan bahawa saya keluar daripada MCA. Sekarang saya mengumum saya menyertai PKR.

Hari ini saya yakin yang saya berada di pihak yang betul dalam sejarah, pada saat yang amat genting dalam sejarah negara kita. Apa yang mendorong saya untuk berbuat demikian?

Pilihanraya umum 2008 menyaksikan kesungguhan 52 peratus rakyat Malaysia di Semenajung untuk melakukan perubahan. Kuasa undi yang menakjubkan ini telah melahirkan, bagi pertama kalinya, sistem dua parti. Hasilnya, kita menyaksi fenomena sehingga ini di mana pemimpin Umno berkata " jika kita tidak berubah, rakyat akan menukar kerajaan".

Kerana tiada pilihan, rakyat Malaysia kini menyaksikan kerajaan yang didukung oleh Umno, membuat beberapa usaha memenangi hati rakyat. Itu adalah hasil daripada kuasa rakyat.

Hari ini kita menyaksikan kelahiran sistem dua parti kini berdepan dengan ancaman kemusnahan, gangguan yang berterusan daripada kerajaan yang didukung oleh Umno untuk memisah dan memusnahkan sistem dua parti, yang terhasil daripada pilihanraya umum tahun lalu.

"Hari ini saya membuat keputusan paling penting dalam hidup saya, meninggalkan MCA dan menyertai PKR," kata beliau dalam ucapannya.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dalam majlis itu.

Turut menyertai PKR adalah bekas Senator David Yeoh dan bekas Ahli Parlimen Lumut, Yap Yit Thong.

Pada sidang media selepas itu, Chua, 64, berkata, beliau menyertai PKR memandangkan wujud banyak persamaan antara aganda politik yang ingin dibawa beliau dan Anwar.

"Saya telah keluarkan manifesto pada 2005 dan 2008 dan saya membandingkannya dengan visi dan agenda Datuk Seri Anwar serta manifesto PKR pada pilihan raya umum lalu.

"Saya lihat ada banyak perkara yang kami punya persamaan dan itulah yang betul-betul meyakinkan saya bahawa PKR adalah parti yang tepat untuk saya sertai.

"Saya lihat semangat dalam diri Datuk Seri Anwar. Kita berbincang tentang agendanya, bertanya soalan dan saya memberikannya manifesto saya.

"Justeru, kita faham apa yang patut saya lakukan untuk membantunya dalam agenda Malaysia," katanya.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau akan menghantar surat keluar parti kepada MCA secara rasmi memandangkan beliau telah mengumumkan keluar daripada parti hari ini.

Ditanya mengapa beliau mengambil masa yang lama untuk menukar parti, Chua berkata, beliau sebelum ini berhasrat untuk melakukan reformasi dalam MCA.

Ditanya sama ada beliau akan berjumpa dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berhubung keputusannnya keluar parti dan menyertai PKR, Chua berkata: "Beliau sahabat saya. Beliau seorang yang berpegang teguh kepada prinsip."

"Saya menghormatinya dan saya percaya beliau juga menghormati saya. Hubungan kami akan berterusan sebagai kawan," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, Chua adalah aset penting kepada PKR dan beliau akan mempelawa Chua untuk menyertai kepimpinan tertinggi parti itu.

"Hal itu memerlukan kelulusan biro politik parti dan seterusnya oleh Majlis Tertinggi," katanya.

No comments: