Friday, October 17, 2008

SAMY VELLU BELA AHLI HINDRAF

Geger memperkatakan kumpulan Hindu Rights Action Force (Hindraf).

Kerajaan menganggapnya kumpulan ekstrimis. Aktiviti Hindraf telah secara konsisten melanggar undang-undang, dan demonstrasi haram yang dianjurkan mereka bertukar menjadi ganas dan mencetuskan kebencian antara kaum.

Kerajaan kelmarin mengharamkan Hindraf kerana ia melanggar Akta Pertubuhan.

Polis sudah berikrar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Hindu Rights Action Force (Hindraf) jika ia masih menjalankan aktiviti selepas diwartakan sebagai sebuah pertubuhan haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis akan memantau sebarang tindakan yang diambil pertubuhan tersebut selepas pengisytiharan berkenaan.

''Hindraf kini tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti di bawah nama pertubuhan tersebut dan jika mereka masih beroperasi, kita akan mengambil tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di Kuala Terengganu semalam.

Akhirnya kerajaan akan menyerahkan kepada polis dan mahkamah untuk memutuskan tindakan yang akan diambil terhadap kumpulan ekstremis yang diharamkan, Hindraf,
Demikian menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam.

Sebaliknya MIC pula akan berusaha mendapatkan pembebasan lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang ditahan mengikut akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak Disember tahun lepas.

Presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu berkata tindakan itu adalah atas sifat perikemanusiaan dan juga kerana permintaan keluarga mereka yang ditahan.

"Kami kesian kepada lima orang ini kerana keluarga mereka dan lain-lain telah membangkit perkara ini (berkaitan pembebasan). Sebagai (sifat) kemanusiaan kita ambil tindakan untuk (berusaha) mendapat pembebasan mereka," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur semalam.

Samy Vellu berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan semalam mewartakan Hindraf sebagai pertubuhan haram.

Lima yang ditahan ialah R. Kengadharan, 41, M. Manoharan, 47, V.Ganabatirau, 35, P. Uthayakumar, 47, dan K. Vasantha Kumar, 35.

Ditanya sama ada pengharaman Hindraf akan memberi kesan negatif daripada segi sokongan masyarakat India terhadap parti itu, Samy Vellu berkata MIC mempunyai kekuatannya sendiri dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India.

Syed Hamid menegaskan, polis akan menjalankan penyiasatan secara menyeluruh dan terserah kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman jika mereka didapati bersalah.

Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana kumpulan ekstremis tanpa mengira latar belakang kaum atau agama mereka kerana di masa lepas kerajaan telah mengambil tindakan terhadap Al-Arqam, Al-Maaunah dan Kumpulan Militan Malaysia, katanya.

"Keutamaan kerajaan ialah melindungi keselamatan rakyat Malaysia," katanya.
Kejadian terbaru melibatkan Hindraf ialah mengganggu Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Kabinet di Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu,

"Mereka menyebarkan mesej yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Mereka mencetuskan rasa takut di kalangan orang ramai. Mereka malahan mengancam nyawa orang ramai," kata Syed Hamid.

"Walaupun kerajaan bersedia mendengar rintihan rakyat malahan yang disuarakan dengan kata-kata yang kurang menyenangkan, kerajaan tidak dapat bertolak ansur dengan kumpulan kecil yang menyebarluaskan ekstremisme yang mencetuskan ketegangan kaum dan agama," katanya.

Katanya kaum India tidak diabaikan di negara ini kerana mereka diwakili dengan baik oleh 14 anggota Parlimen India, 21.4 peratus dalam bidang perundangan, 18.4 peratus dalam bidang perubatan dan pendapatan mereka secara menyeluruh ialah 1.2 kali lebih tinggi daripada pendapatan orang Melayu.

Daripada segi golongan yang hidup di bawah garis kemiskinan, kaum India sebanyak 2.9 peratus, Cina (0.6 peratus) dan Melayu (8.3 peratus), katanya.

Syed Hamid berkata juga terdapat nisbah satu kuil bagi 149 penganut Hindu berbanding satu masjid bagi 2,300 orang Islam di negara ini.

Ditanya kenapa sekarang kerajaan mengambil langkah mengharamkan kumpulan itu, beliau berkata kerajaan perlu menjalankan penyiasatan terperinci.

Mengenai pengharaman kumpulan itu yang dibuat sebelum perayaan Deepavali pada 27 Oktober ini, Menteri Dalam Negeri itu berkata adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk melindungi keamanan dan kestabilan di negara ini pada setiap masa.

Wednesday, October 15, 2008

PELAN PENSTABILAN UNTUK MENGUKUHKAN EKONOMI NEGARA

Rabu, 15 Oktober 2008-Bukan main geger lagi di Parlimen semalam kononnya kerajaan tidak serius menangani masalah ancaman ekonomi global.

Juga kerajaan diminta membentangkan belanjawan baru kerana Belanjawan 2oo9 sudah lapuk.
Sedangkan Bank Negara Malaysia (BNM) semalam berkata, institusi kewangan tempatan kekal berdaya tahan dan mempunyai modal mencukupi meskipun pasaran kewangan global semakin tidak menentu.

BNM dalam kenyataannya di Kuala Lumpur berkata, mudah tunai berlebihan yang terdapat dalam sistem kewangan negara akan memudahkan aktiviti ekonomi dan kewangan berjalan dengan teratur.

Bank Pusat itu ketika mengulangi jaminan tentang kekukuhan institusi berkenaan berkata, paras pinjaman tidak berbayar juga menjadi bertambah baik sebanyak 2.5 peratus.

BNM menjelaskan pelaksanaan pembaharuan, pembangunan keinstitusian dan membina upaya sejak beberapa tahun lalu, usaha berterusan meningkatkan tadbir urus korporat serta piawaian dan amalan pengurusan risiko telah memperkukuhkan sistem perbankan.

Pada akhir bulan Ogos tahun ini, penempatan antara bank bersih dengan BNM oleh sistem perbankan berjumlah RM198.5 bilion.

Katanya, industri perbankan dan insurans beroperasi dengan penampan dalam bentuk modal dan mudah tunai yang terkumpul sejak beberapa tahun lalu.

''Institusi kewangan Malaysia mempunyai pendedahan yang amat kecil terhadap sekuriti berkaitan sub prima kerana lebih 90 peratus daripada jumlah aset bank dan syarikat insurans adalah dalam aset mata wang ringgit,'' kata Bank Pusat itu.

Bank Pusat juga menyatakan semua institusi kewangan asing di Malaysia yang diperbadankan di negara ini juga mempunyai paras modal yang tinggi bagi menyokong operasi mereka di negara ini.

Menurutnya, pada akhir bulan Ogos tahun ini, nisbah modal wajaran risiko bagi kesemua institusi kewangan asing adalah 12.6 peratus manakala industri insurans juga mencatat lebihan kesolvenan sebanyak RM16.5 bilion.

BNM menambah, kedudukan sistem perbankan terus terurus dan mencatat nisbah modal wajaran risiko yang kukuh pada 13.2 peratus pada akhir bulan Ogos lalu dengan modal melebihi keperluan modal minimum lapan peratus sebanyak RM42.3 bilion.

''Kedudukan modal yang kukuh bersama-sama dengan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi menyediakan kapasiti yang mantap bagi sistem perbankan untuk terus memainkan peranan pengantaraannya serta untuk memenuhi komitmen kewangan di samping menyokong kegiatan ekonomi dalam negeri,'' ujarnya.

Bank Pusat menambah, sektor isi rumah dalam negeri secara agregat terus menunjukkan paras keberhutangan dan paras kekayaan yang stabil, dengan jumlah aset kewangan lebih dua kali ganda jumlah hutang.

Secara keseluruhan, syarikat-syarikat juga terus menunjukkan kedudukan kewangan yang mantap dan kedudukan leveraj nisbah hutang ekuiti yang terurus sebanyak 48 peratus pada separuh tahun pertama 2008.

Selain itu, BNM menerangkan bahawa, ia memiliki sistem penyeliaan dan pengawasan yang mantap dan melaluinya ia akan memantau semua institusi kewangan di bawah kawal selia serta mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menjamin kekukuhan sistem kewangan negara.

Terangnya, bank pusat juga akan bersedia untuk menyediakan mudah tunai apabila diperlukan kepada institusi kewangan di bawah kawal selianya.

''Bank juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa kewangan lain di rantau ini untuk memantau perkembangan dan mengambil langkah-langkah bersepadu dalam menangani persekitaran semasa yang mencabar,'' kata kenyataan itu lagi.

Sementara itu. kerajaan akan mengumumkan langkah-langkah baru dalam bentuk pelan penstabilan untuk mengukuhkan ekonomi negara pada Isnin ini bagi menangani tempias krisis kewangan global yang semakin genting.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelan itu telah dibincangkan pada mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Negara semalam, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dihadiri semua menteri ekonomi.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sentiasa memantau perubahan dalam krisis kewangan sedunia dan pelan penstabilan yang bakal diumumkan itu menggambarkan langkah terbaru yang akan diambil oleh kerajaan.

“Saya mahu rakyat tahu dan saya mahu meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sedar dan sedang menangani situasi sekarang. Walaupun keadaannya serius, kita tidak perlu panik.
“Kita tidak terjejas seteruk banyak negara lain tetapi sudah tentu krisis kewangan global memberi kesan negatif kepada ekonomi kita,” kata Najib pada sidang akhbar di Parlimen semalam.

Mengenai cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kerajaan membentangkan semula Bajet 2009, beliau berkata, ia bukanlah satu cadangan yang sesuai untuk dipertimbangkan dalam menangani krisis kewangan global yang melanda sekarang.

Katanya, apa yang penting ialah memastikan bahawa perbelanjaan kerajaan dapat dijalankan tanpa gangguan dan segala program membantu rakyat miskin serta golongan berpendapatan rendah seperti yang terkandung dalam Bajet 2009 dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Timbalan Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghadapi kemelesetan pada tahun ini dan kerajaan yakin bahawa ekonomi negara mempunyai ketahanan untuk menghadapi suasana global yang serius.

Katanya, krisis global tentunya memberi kesan kepada negara tetapi pada tahun ini kerajaan masih yakin dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang munasabah seperti yang dijangka iaitu pada tahap lima peratus.

Bagaimanapun, katanya, pada tahun depan, unjuran pertumbuhan mungkin perlu dikaji semula mengambil kira perkembangan dunia yang kini semakin genting.

Menjawab soalan pemberita sama ada angka-angka dalam Bajet 2009 akan berubah ekoran krisis itu, Najib berkata, sudah tentu ada yang berubah namun unjuran pertumbuhan ekonomi lima peratus mampu dicapai tetapi perubahan dapat dilihat pada unjuran untuk tahun hadapan.

Beliau menegaskan, Bajet 2009 perlu dilaksanakan kerana ia mengandungi langkah-langkah positif membantu rakyat dan amat penting bagi peruntukan kerajaan dibelanjakan oleh pelbagai kementerian dan agensinya bagi menggalakkan perbelanjaan dan pertumbuhan domestik.

Jika perkara sebaliknya berlaku, kata beliau, ekonomi negara akan terjejas teruk.
“Seperti yang saya katakan, cadangan pembangkang bukan caranya untuk menguruskan negara ini,” ujarnya.

Ditanya bilakah semakan semula Bajet 2009 sepatutnya dilakukan, Najib berkata, kerajaan sedang memantau situasi semasa dengan teliti memandangkan ia berubah setiap hari.

Tahniah Utusan!

UTUSAN BERTINDAK TERHADAP TERESA KOK

KUALA LUMPUR (14 Okt. 2008): Berikut adalah kenyataan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengenai tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri.

Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA.

Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”