Showing posts with label Utusan. Show all posts
Showing posts with label Utusan. Show all posts

Wednesday, November 19, 2008

PARTI MELAYU PERLU SENADA, BERSATU

Wahai orang Melayu, baca dan fikir apa kata Putra Kedah 2008 melalui Forum Utusan Malaysia ini!

Oleh PUTRA KEDAH 2008

Alor Star

SAYA sebagai rakyat dan anak jati Kedah ingin menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dalam isu kuota perumahan 50 peratus Bumiputera, bukan atas dasar politik, tetapi dasar hak dan masalah ketidakseimbangan.

Sejak kecil lagi saya perhatikan sawah padi di sekitar Alor Setar sehinggalah ke berpuluh kilometer radius sekelilingnya dilenyapkan secara pantas dengan pembinaan rumah-rumah berkos tinggi dan projek-projek hartanah yang langsung tidak mampu dimiliki oleh Melayu.
Mengapa?

Saya berasa hairan mengapa kerajaan sebelum ini tidak pernah mengkaji dasar perumahan di Kedah sehingga menyebabkan ramai orang Melayu terpinggir serta memiliki rumah tidak sempurna, sedangkan tanah sawah milik Melayu dikorbankan saban tahun atas nama pembangunan. Dalam isu melibatkan hak dan kebajikan bangsa pribumi Melayu dan Islam ini tidak harus disempadankan oleh faktor dendam politik sempit.

Pihak pembangkang di Kedah seharusnya senada dengan kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam isu membela Islam, kemiskinan, ketinggalan serta kedaifan rakyat Kedah ini terutama kaum Melayu. Kita lihat bagaimana kaum Cina boleh senada dengan tidak kira parti MCA, DAP atau Gerakan dalam isu membela 'kekayaan' kaum mereka.

Mereka bukan menuntut hak asasi, tetapi menggoncangkan hak kaum lain untuk kekayaan dan kepuasan perniagaan mereka. Tetapi langsung pihak atasan tidak anggap itu sebagai perkauman secara halus. Malah kaum kita sendiri menghentam tindakan kerajaan negeri Kedah ini dalam isu rakyat demi untuk meraih sokongan 'kosong' daripada kaum lain.

Seharusnya kita patut menyatakan sokongan padu terhadap keberanian dan ketegasan Menteri Besar Kedah, dalam memperbetulkan ketidakseimbangan ini setelah sekian lama dibiarkan. Beliau juga berjaya menyelamatkan kampung-kampung, tanah-tanah sawah, surau, masjid yang dimiliki oleh kaum Melayu daripada terkorban melalui projek petroleum di Yan, dengan memindahkannya ke laut.

Satu tindakan bijak untuk mengelakkan rosaknya sosio-budaya masyarakat Melayu di kawasan tersebut apabila berubahnya landskap pertanian kepada industri berat. Hal ini akan mencambahkan lagi kehadiran orang luar yang akan membeli tanah-tanah Melayu dengan nilai tinggi, akhirnya tiada keuntungan jangka panjang pun kepada orang Melayu.

Ini, tiidak lagi dikaji tentang kemusnahan sosial yang akan berlaku apabila suatu kawasan perkampungan itu dimajukan dengan industri berat.

Seharusnya, kita kena buka mata dan pelajari sikap orang Cina memperjuangkan isu tuntutan mereka merentasi sempadan fahaman politik. Di pihak manapun mereka tetap mendapat keuntungan berbanding kita yang suka menanggguk di air yang keruh.

Saya mencadangkan supaya permainan politik 'jahil' yang diamalkan sebelum ini ditukar kepada politik bijak yang menguntungkan rakyat, khususnya menjamin kedaulatan Islam dan ketuanan hak Melayu di Malaysia ini. Saya ucapkan syabas kepada Menteri Besar Kedah yang membela kedaifan rakyat Kedah.

Wednesday, October 15, 2008

Tahniah Utusan!

UTUSAN BERTINDAK TERHADAP TERESA KOK

KUALA LUMPUR (14 Okt. 2008): Berikut adalah kenyataan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad mengenai tindakan yang diambil syarikat itu terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan sesalinan Surat Sebelum Tindakan pada 14 Oktober 2008 kepada Yang Berhormat Teresa Kok kerana membuat penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia yang dikatakan telah ‘memutar-belitkan’ penyataan-penyataan beliau berkenaan makanan yang disajikan kepadanya semasa berada dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penyataan-penyataan beliau telah diterbitkan oleh media-media nasional dan menerusi blog beliau sendiri.

Penyataan-penyataan fitnah terhadap Utusan Malaysia adalah pada 22 September 2008 dan berpunca daripada kenyataan beliau semasa sidang akhbarnya pada 19 September 2008 berkenaan makanan yang disajikan kepada beliau semasa berada dalam tahanan ISA.

Teresa juga menyatakan bahawa Utusan Malaysia telah memutar-belitkan kenyataan asal beliau dalam laporan mereka.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad melalui Surat Sebelum Tindakan memohon relif antara lain penarikan balik dan kenyataan kemaafan yang penuh dan lengkap daripada Yang Berhormat Teresa Kok kepada Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkenaan penyataan-penyataan fitnah.

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah menyerahkan Surat Sebelum Tindakan tersebut melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co yang beralamat di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.”

Monday, October 13, 2008

JOM SOKONG UTUSAN MALAYSIA

Terima kasih UMNO Bahagian Cheras. Gegerkan ke seluruh ceruk rantau, mari kita sokong Utusan Malaysia lawan Tereka Kok.

Semalam Bahagian itu melancarkan Tabung Azan untuk bersama-sama akhbar Utusan Malaysia memperjuangkan kebebasan melaungkan azan di masjid dan surau di negara ini.
Rakan blogger kita www.lawi-ayam.blogspot.com sudah berkempen sejak tiga hari lalu dengan tajuk “Mari Ganyang Teresa’ supaya melakukan apa cara sekali pun untuk menyokong Utusan Malaysia.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee menurut laporan Utusan Malaysia hari ini berkata, kutipan tabung itu akan digunakan untuk membantu mana-mana masjid dan surau membeli peralatan pembesar suara selain keperluan lain yang berkaitan.

Tambahnya, hasil tabung itu juga akan digunakan untuk membantu program melahirkan muazin muda yang dilihat boleh menjadi pelapis kepada golongan berumur di masjid dan surau.

‘‘Kita wujudkan tabung untuk turut membantu Utusan Malaysia yang disaman Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok RM30 juta baru-baru ini.

“Buat permulaan, kita akan menjadi badan induk yang mengumpul hasil kutipan daripada UMNO bahagian lain dan badan korporat,’’ katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini.

Pada majlis itu juga, Syed Ali mengumumkan sumbangan pertama RM20,000 daripada UMNO Bahagian Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC).

Selain itu, tabung tersebut turut mendapat sumbangan sebanyak RM12,000 daripada individu-individu yang menjadikan keseluruhannya berjumlah RM32,000.
Jelasnya, setiap bahagian UMNO diminta memberi bantuan kepada tabung itu.

‘‘Ini pendekatan yang dibuat untuk membantu akhbar orang Melayu. Semua pihak seharusnya tidak mempertikaikan, malah menghormati perbezaan agama masing-masing.

‘‘Kita terpanggil apabila timbul isu ini. Tindakan Teresa yang mengambil tindakan kepada Utusan Malaysia sama seperti dia menyaman agama Islam,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dipilih untuk mengendalikan kutipan tabung yang dijangka berakhir tahun ini.

‘‘Kita akan jaga tabung ini untuk sebulan. Kita akan minta sebuah NGO menyambung tanggungjawab menjaga setiap kutipan kepada tabung ini,’’ jelasnya.

Oleh itu, beliau menegaskan, UMNO Bahagian Seputeh turut dicadangkan untuk mengambil tindakan segera kepada Teresa selepas beliau sendiri memulakan kempen tabung Azan tersebut.

‘‘UMNO Cheras sudah mengadakan Tabung Azan dan kita berharap UMNO Seputeh pula mengambil tindakan terhadap Teresa,’’ katanya.

Semalam, Naib Presiden Persatuan Anak-Anak Melayu Johor, Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Alhabshee mencadangkan penubuhan Tabung Menyelamat Utusan dan menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bersatu untuk mempertahankan syarikat Utusan Melayu dengan memberi sokongan kepada tabung itu.

Menurut Syed Hussein, akhbar Utusan Malaysia merupakan satu-satunya wadah orang Melayu yang telah terbukti membela dan mempertahankan kaum itu sejak dahulu hingga kini.

Pada 9 Oktober lalu, Teresa memfailkan saman terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. dan kolumnis, Mohd. Zaini Hassan bagi menuntut ganti rugi RM30 juta kerana didakwa menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya.

Teresa mendakwa artikel bertajuk Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya dalam Utusan Malaysia pada 10 September lalu diterbitkan dengan niat jahat selain memperkecilkan beliau secara peribadi dan rasmi termasuk sebagai Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Thursday, October 9, 2008

ANWAR LUPA BUDI UTUSAN MALAYSIA

Oleh A Latiff Jr.

Rupa-rupanya Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ‘Melayu Mudah Lupa’.
Semalam Anwar geger mengenai laporan akhbar Utusan Malaysia mengenai tindak-tanduk keterlaluan pertubuhan haram Hindraf bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kaum India.

''Jangan dengar Utusanlah. Isunya bukan tunjuk perasaan Hindraf yang disebut oleh Utusan Malaysia. Dalam akhbar Utusan Malaysia, ceritanya cuma nak bangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Hindu. Saya katakan isunya adalah ISA yang zalim.

''Orang ditahan di bawah akta yang zalim kena dibebaskan. Jangan nak tukar (topik), makan anjing ke, makan beruk ke. Itu bukan soalnya.
'
'Orang zalim kena dibetulkan kesalahan mereka. Kalau orang Melayu beragama Islam tunjuk zalim kepada orang Hindu, orang Melayu tak layak memimpin negara ini. Utusan Malaysia boleh catat perkara ini," katanya.

Marah benar Anwar kepada Utusan Malaysia.

Inilah Anwar! Sedangkan akhbar inilah dijadikan tempat beliau meletakkan orang kesayangannya, Johan Jaafar (kini Datuk) yang dibawanya dari Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia dengan menepis kedudukan orang-orang lebih kanan ketika itu seperti Khalid Mohd (Ketua Pengarang yang baru bersara).

Anwar menggunakan Utusan Malaysia untuk memperkembangkan agendanya. Dengan adanya Utusan Malaysia berpihak kepadanya, Anwar mengawal dua media penting Melayu.
Ini kerana Kumpulan New Straits Times, termasuk TV3 yang ketika itu dikenali dengan MRCB dikawal ikawal oleh beliau dengan menempatkan (Datuk) A Kadir Jasin di New Straits Times, Nazri Abdullah (Datuk)di Berita Harian serta Datuk Ahmad Sebi di TV3 bersama-sama Yunus Said.

Satu daripada perkara penting dilakukan oleh Anwar melalui Utusan Malaysia ialah mendedahkan perilaku Ketua Pemuda UMNO ketika itu, Tan Sri Rahim Thamby Chik.
Pendedahan kononnya Rahim ada hubungan dengan budak bawah umur menyebabkan Rahim terpelanting dan imejnya tetap buruk hingga kini walaupun pelbagai usaha memulihkan imej dilakukan Rahim tetapi belum berhasil.

Inilah Anwar. Apabila ada yang tidak menyokongnya, dia akan serang habis-habisan.
Mulutnya akan geger mempertikai dan memperkecilkan orang lain.
Bagi beliau hanya beliau yang betul dan perlu dijulang dan ditatang sepenuhnya.