Sunday, August 28, 2016

Rasuah - SPRM Tahan Pegawai Imigresen, Pengurus Projek & Pengarah Urusan

Pengarah Urusan sebuah syarikat proksi penerbitan buku direman di Putrajaya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai imigresen yang didakwa meminta rasuah RM8,000 daripada seorang kontraktor.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata, pegawai lelaki berusia 30-an itu ditahan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kangar  dua hari lalu,  selepas menerima aduan daripada kontraktor itu pada hari sama.

Kontraktor itu dalam aduannya mendakwa pegawai itu meminta suapan sebagai balasan untuk tidak menahan antara 20 hingga 30 pekerja asing di tapak binaan lencongan banjir Kampung Wai, Kuala Perlis, katanya dalam kenyataan di Kangar.

Yaacop berkata, SPRM turut menahan seorang juruteknik lelaki sebuah kilang di Kangar  juga berusia 30-an yang disyaki terlibat sama meminta suapan itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu reman tiga hari bermula semalam untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azam Baki - pengarah urusan bank turut ditahan.
Pada Jumaat lalu (26 Ogos) SPRM turut  memperolehi perintah tahanan reman selama lima hari terhadap seorang pengurus projek, dan seorang pengurus sebuah syarikat cari gali minyak dan enam kontraktor bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi projek "pipeline" berjumlah RM76 juta.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Putrajaya bermula hari berkenaan  sehingga Selasa ini.

Lima lelaki dan tiga wanita dalam lingkungan umur 35 tahun dan 60 ditahan berasingan semalam oleh SPRM di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan "pipeline" di selatan tanah air itu.

Sementara itu seorang pengarah urusan sebuah syarikat proksi kepada sebuah syarikat penerbitan buku direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.  

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 42 tahun itu sehingga 2 September ini.

Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 11.09 malam tadi apabila tampil memberi keterangan. 

Sementara itu, pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk, bekas pegawai bank sama, pemilik syarikat penerbitan dan pegawai syarikat penerbitan sama dilanjutkan reman selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa (30 Ogos) bagi membantu siasatan kes yang sama.  

Lelaki bergelar Datuk berusia 48 tahun itu ditahan berhubung kes tender penukaran sistem bank dan penerbitan biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Pada 25 Ogos, SPRM menahan lapan individu berumur antara 32 hingga 48 tahun antara pukul 2 petang hingga tengah malam di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Jumaat lalu, empat individu terdiri daripada dua peguam wanita, seorang penulis buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara dan isteri kepada bekas pegawai bank itu, dibebaskan.  

Pada Sabtu, seorang pengarah syarikat penerbitan buku berusia 40 tahun yang ditahan di kediamannya di Kuantan, Pahang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sehingga kini, enam lagi masih ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut.

Jumaat lalu, lapan lapan individu dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya dengan empat ditahan reman manakala empat lagi yang terdiri daripada dua peguam wanita, seorang penulis buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara dan isteri kepada bekas pegawai bank itu dibebaskan.

Dalam serbuan itu SPRM merampas enam jam tangan mewah setiap satu berharga RM20,000 dan wang tunai RM30,000 daripada pengarah urusan bank itu.

Pada Khamis, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata pengarah urusan bank itu ditahan di pejabatnya di ibu negara hasil maklumat orang ramai berhubung salah laku rasuah.

"Dia dipercayai terlibat dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

"Sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan milik orang yang mempunyai kepentingan dengan Datuk tersebut namun sehingga kini tiada sebarang buku yang diterbitkan," katanya.

Hidup Ikut Kemampuan - Ketua Kementerian, Jabatan Perlu Jadi Contoh

Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar 'Datuk Seri' ditahan reman 16 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
 Gejala rasuah apa lagi di kalangan penjawat awam amat tidak wajar.

Ini  kerana mereka menyebabkan orang awam atau rakyat sengsara tatkala segilintir daripada mereka  yang tidak bertanggungjawab itu hidup mewah di luar kemampuan sebenar mereka.

Perbuatan sedemikian sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.

Sehubungan itu, Transparency International Malaysia (Ti-M) bimbang jika tidak dibendung, penyakit ini akan menjadi barah yang mungkin tidak dapat dikawal.

Presidennya, Datuk Akhbar Satar mencadangkan agar masyarakat disedarkan bahawa rasuah adalah jenayah luar biasa dan hukumannya tidak boleh setara dengan jenayah biasa.

Mereka perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak mahkamah.

Berikutan itu, ketua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengawasi dan peka terhadap ‘red flag’ gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang hidup mewah berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan atau pembekal, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.

Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anak-anak buah dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan.

Kakitangan TNB yang ditahan SPRM
Akbar berpendapat, penjawat awam khususnya di peringkat tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting.

"Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan mengambil langkah-langkah lebih efektif," katanya.

Akhbar menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan peribadi baru-baru ini, bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong oleh setiap golongan masyarakat.

Menurut beliau, tindakan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM  untuk berfungsi lebih cemerlang.

Tetapi banyak lagi yang perlu dilaksanakan, katanya.

Baca kenyataan penuh Datuk Akhbar Satar berikut:

Rasuah Penjawat Awam, Rakyat Sengsara

Oleh Datuk Akhbar Satar
Presiden Transparency International Malaysia (Ti-M)

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan peribadi baru-baru ini, bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong oleh setiap golongan masyarakat.

Tindakan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM untuk berfungsi lebih cemerlang. Tetapi banyak lagi yang perlu dilaksanakan.

Bermula awal tahun ini, masyarakat didedahkan dengan kes seorang penjawat awam berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32 pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 juta.

Beberapa minggu lalu, tiga pegawai kanan termasuk seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri ditahan SPRM. Agensi itu bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat awam tersebut.

Terkini, seorang Pengarah Urusan bank milik kerajaan bergelar Datuk pula ditahan kerana dipercayai terlibat penyelewengan dana berjumlah RM15 juta dan akaun bank berjumlah RM8.1 juta telah dibekukan.

Kemewahan yang dimiliki oleh pegawai-pegawai ini merupakan suatu perkara yang luar biasa. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah sektor penting yang diberi tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat.

Ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.

Jika tidak dibendung, penyakit ini akan menjadi barah yang mungkin tidak dapat dikawal. Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan mengambil langkah-langkah lebih efektif.

Dalam hal ini, ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu mengawasi dan peka terhadap ‘red flag’ gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang hidup mewah berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan atau pembekal, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.

Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anak-anak buah dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan.

Selain itu, penjawat awam khususnya di peringkat tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting.

Kita juga harus menganggap rasuah sebagai jenayah luar biasa dan hukumannya tidak boleh setara dengan jenayah biasa. Mereka perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak mahkamah.

Harus diingatkan, pelaku rasuah bukan sahaja memberikan kesan yang negatif kepada diri sendiri malah ada yang kehilangan keluarga dan kawan karib.

Orang awam juga tidak terkecuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada mereka ini kerana mereka juga boleh didakwa. Sogokan di peringkat bawahan inilah yang membuka jalan kepada gejala itu. Beri sokongan, kerjasama sepenuhnya dan lapor kepada SPRM jika ada permintaan rasuah.

Dalam pada itu, susulan tangkapan ini, diharapkan SPRM akan terus mengenalpasti semua penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah, penggubahan wang haram, salah guna kuasa dan hidup di luar kemampuan dengan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka.

Semua wang yang diambil secara tidak sah daripada masyarakat perlu dirampas semula dan dipulangkan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan mereka.

Adalah tidak wajar membiarkan rakyat sengsara tatkala segilintir penjawat awam yang tidak bertanggungjawab hidup mewah di luar kemampuan mereka.

Malah misi SPRM membersihkan penjawat awam ini juga perlu diperluaskan ke sektor swasta juga kepada ahli-ahli politik korup yang juga menjadi harapan rakyat. Kajian Malaysia Corruption Barometer 2014 menunjukan bahawa parti politik paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.

Bagaimanapun, bagi mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah serta mendapat kepercayaan rakyat, usaha perlu dilakukan secara berterusan, ikhlas dan menyeluruh tanpa pilih bulu. 

Wednesday, August 24, 2016

Datuk Seri Ada 31 Unit Kondo Mewah Di Kuala Lumpur Bernilai RM15.5 Juta


“Suspek dipercayai menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa sebarang pembayaran pendahuluan...suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah dan mendapat untung atas angin.”

 Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini kerana dipercayai terbabit dalam kes rasuah dan salah guna kuasa dipercayai mempunyai 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta, lapor Utusan Malaysia.

Kesemua unit kondominium yang terletak di ibu negara itu dikatakan telah ‘dibeli’ daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Memetik sumber, Utusan Malaysia menyebut, siasatan SPRM mendapati suspek telah ‘membeli’ kesemua unit kondo­mi­nium tersebut yang harga asalnya RM200,000 sehingga RM300,000 tanpa membuat bayaran pendahuluan menggunakan nama sendiri dan orang terdekat.
Azam Baki...sahkan.

“Suspek ini dipercayai telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa membuat sebarang pembayaran pendahuluan.

“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan mendapat untung atas angin,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur,  hari ini.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan terdapat salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen terutama di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan telah membuat tempahan tanpa membuat pembayaran pendahuluan.

Sebaik sahaja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ oleh pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.


Tambah sumber lagi, siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi pegawai dan kakitangan DBKL terlibat melakukan perkara yang sama bagi mendapat keuntungan mudah.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih lagi mencari orang kanan suspek terbabit bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Siasa­tan SPRM, Datuk Azam baki ke­tika dihubungi mengesahkan men­genai perkara itu.

Pada 16 Ogos, SPRM menahan reman Datuk Seri berkenaan bersama dua lagi penjawat awam berpangkat Datuk dari jabatan berbeza di Melaka dan Kelantan. Semua yang ditahan masih dalam tahan reman.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Azam sebelum ini berkata mereka ditahan dalam operasi serentak pada 12.00 tengah hari dan 2.00 petang. Susulan penahanan itu, akaun bank milik mereka melebihi RM13 juta turut dibekukan, di samping menyita kondominium mewah seperti penthouse dan banglo, dan kenderaan Maserati, BMW dan Audi.


SPRM turut merampas RM400,000 tunai termasuk mata wang asing dan beberapa jam tangan mewah.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan wujud salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan membuat tempahan tanpa membuat bayaran pendahuluan.


Sebaik saja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.