Sunday, August 28, 2016

Rasuah - SPRM Tahan Pegawai Imigresen, Pengurus Projek & Pengarah Urusan

Pengarah Urusan sebuah syarikat proksi penerbitan buku direman di Putrajaya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai imigresen yang didakwa meminta rasuah RM8,000 daripada seorang kontraktor.

Pengarah SPRM Perlis, Yaacop Angah berkata, pegawai lelaki berusia 30-an itu ditahan Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Kangar  dua hari lalu,  selepas menerima aduan daripada kontraktor itu pada hari sama.

Kontraktor itu dalam aduannya mendakwa pegawai itu meminta suapan sebagai balasan untuk tidak menahan antara 20 hingga 30 pekerja asing di tapak binaan lencongan banjir Kampung Wai, Kuala Perlis, katanya dalam kenyataan di Kangar.

Yaacop berkata, SPRM turut menahan seorang juruteknik lelaki sebuah kilang di Kangar  juga berusia 30-an yang disyaki terlibat sama meminta suapan itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki itu reman tiga hari bermula semalam untuk siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Azam Baki - pengarah urusan bank turut ditahan.
Pada Jumaat lalu (26 Ogos) SPRM turut  memperolehi perintah tahanan reman selama lima hari terhadap seorang pengurus projek, dan seorang pengurus sebuah syarikat cari gali minyak dan enam kontraktor bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi projek "pipeline" berjumlah RM76 juta.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu di Putrajaya bermula hari berkenaan  sehingga Selasa ini.

Lima lelaki dan tiga wanita dalam lingkungan umur 35 tahun dan 60 ditahan berasingan semalam oleh SPRM di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan "pipeline" di selatan tanah air itu.

Sementara itu seorang pengarah urusan sebuah syarikat proksi kepada sebuah syarikat penerbitan buku direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dana bernilai RM15 juta.  

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki berusia 42 tahun itu sehingga 2 September ini.

Lelaki itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 11.09 malam tadi apabila tampil memberi keterangan. 

Sementara itu, pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk, bekas pegawai bank sama, pemilik syarikat penerbitan dan pegawai syarikat penerbitan sama dilanjutkan reman selama dua hari bermula Isnin sehingga Selasa (30 Ogos) bagi membantu siasatan kes yang sama.  

Lelaki bergelar Datuk berusia 48 tahun itu ditahan berhubung kes tender penukaran sistem bank dan penerbitan biografi berkaitan seorang pemimpin negara.

Pada 25 Ogos, SPRM menahan lapan individu berumur antara 32 hingga 48 tahun antara pukul 2 petang hingga tengah malam di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Jumaat lalu, empat individu terdiri daripada dua peguam wanita, seorang penulis buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara dan isteri kepada bekas pegawai bank itu, dibebaskan.  

Pada Sabtu, seorang pengarah syarikat penerbitan buku berusia 40 tahun yang ditahan di kediamannya di Kuantan, Pahang direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Sehingga kini, enam lagi masih ditahan reman SPRM bagi membantu siasatan kes tersebut.

Jumaat lalu, lapan lapan individu dibawa ke Mahkamah Majistret di Putrajaya dengan empat ditahan reman manakala empat lagi yang terdiri daripada dua peguam wanita, seorang penulis buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara dan isteri kepada bekas pegawai bank itu dibebaskan.

Dalam serbuan itu SPRM merampas enam jam tangan mewah setiap satu berharga RM20,000 dan wang tunai RM30,000 daripada pengarah urusan bank itu.

Pada Khamis, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata pengarah urusan bank itu ditahan di pejabatnya di ibu negara hasil maklumat orang ramai berhubung salah laku rasuah.

"Dia dipercayai terlibat dalam tender pertukaran sistem bank dan penerbitan buku berkaitan seorang tokoh pemimpin negara.

"Sebanyak RM15 juta telah diberikan kepada sebuah syarikat penerbitan milik orang yang mempunyai kepentingan dengan Datuk tersebut namun sehingga kini tiada sebarang buku yang diterbitkan," katanya.

No comments: