Showing posts with label Datuk Seri. Show all posts
Showing posts with label Datuk Seri. Show all posts

Wednesday, April 12, 2017

Rasuah Tanah Yayasan Bumiputera - SPRM Tanah Datuk Seri, Anak

 

Seorang individu bergelar Datuk Seri dan anaknya yang berstatus Datuk ditahan di Pualupinang berhubung siasatan skandal tanah membabitkan Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad.

Kedua-dua suspek dari syarikat pemaju hartanah terkemuka di negeri itu yang disenaraikan di Bursa Malaysia ditahan pada kira-kira pukul 7 malam semalam ketika hadir untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Datuk Seri berusia 74 tahun itu yang juga penasihat syarikat pemaju tersebut ditahan di Pejabat :Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang.

Manakala  anaknya yang merupakan pengarah urusan syarikat berusia 47 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan mereka dan menjual tanah milik anak syarikat yayasan tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga asal.

Menurut sumber, syarikat pemaju hartanah yang berpengkalan di Georgetown itu didapati membangunkan beberapa hartanah di sekitar Pulau Pinang termasuk di Bandar Kepala Batas dan Tanjung Bungah.

Perbuatan mereka dipercayai mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada anak syarikat milik yayasan sejak beberapa tahun lalu.

Penahanan kedua beranak itu susulan SPRM menahan seorang pemegang amanah yayasan tersebut di Pulau Pinang pada 29 Mac lalu kerana disyaki salah guna kuasa.

Sebelum ini, seorang pemegang amanah yayasan bergelar 'Datuk' direman bagi membantu siasatan SPRM selepas dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan berkenaan di negeri ini, selain membuat keputusan sendiri tanpa melalui persetujuan ahli lembaga pengarah.

Datuk yang direman dan dibebaskan dengan ikat jamin RM100,000.
Menurut laporan media pada 3 April lalu, beliau, seorang pemegang amanah di Yayasan Bumiputra Pulau Pinang Berhad, bergelar ‘Datuk’ yang direman hujung bulan lalu oleh SPRM, dibebaskan dengan jaminan RM100 000 hari ini.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftaran Tertinggi Mahkamah Majistret, Ahmad Tajudin Zain yang turut menetapkan dua penjamin bagi kes berkenaan.

Lelaki berusia 70 tahun itu yang juga Pengerusi Penang Port Sdn. Bhd. menyerah diri di ibu pejabat SPRM negeri dan disiasat mengikt Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Menurut jurucakap SPRM, suspek dipercayai menjual tanah milik anak syarikat berkenaan di negeri ini termasuk membuat keputusan sendiri tanpa melalui persetujuan Ahli Lembaga Pengarah lain.

Sementara kedua-dua suspek itu dipercayai menjual tanah milik anak syarikat yayasan tanpa melalui proses dan tatacara yang ditetapkan serta harga yang jauh lebih rendah daripada harga asal.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut, sambil menambah kedua-duanya akan dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown pagi ini untuk direman.


Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Friday, September 9, 2016

‘Datuk Seri DBKL’ Didakwa 18 Pertuduhan Rasuah RM2.9 Juta


Seorang pengarah eksekutif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 18 pertuduhan kerana menerima rasuah dan aset berjumlah RM2.9 juta.

Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Kanun Keseksaan.

Syed Afendy mengaku tidak bersalah atas 18 tuduhan rasuah itu.  Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Syed Afendy, 54, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur kerana pertuduhan rasuah membabitkan RM2.9 juta dan pengubahan wang haram.

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM, Syed Afendy dituduh menerima rasuah untuk isterinya dalam bentuk rumah kedai bernilai lebih RM900,000.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dipenjarakan maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Syed Afendy juga didakwa dengan 8 lagi pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana mengambil aset bernilai dalam bentuk 8 unit kondominium.

Jika disabitkan bersalah, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun atau denda.

Syed Afendy, yang diwakili peguam M Athimulan, tiba di mahkamah ditemani isterinya yang berbaju kurung dan tudung berwarna biru.

Ahmad Akram Gharib dan Aida Adhha mengendalikan pendakwaan bagi pihak SPRM.

Hakim menetapkan perbicaraan bermula Januari tahun depan dan pihak pendakwaan akan memanggil 25 saksi.

Syed Afendy, kini boleh disahkan sebagai “Datuk Seri” yang ditahan SPRM pada 16 Ogos bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Dilaporkan, beliau kemudian digantung daripada tugas sehingga siasatan agensi pencegahan rasuah itu selesai.

Syed Afendy mengambil alih jawatan pengarah eksekutif tahun ini, menggantikan Datuk Tan Keng Chok yang bersara.

Beliau berpengalaman dalam bidang akaun dan kewangan.


Sumber - mStar & FMT

Wednesday, August 24, 2016

Datuk Seri Ada 31 Unit Kondo Mewah Di Kuala Lumpur Bernilai RM15.5 Juta


“Suspek dipercayai menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa sebarang pembayaran pendahuluan...suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah dan mendapat untung atas angin.”

 Datuk Seri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) baru-baru ini kerana dipercayai terbabit dalam kes rasuah dan salah guna kuasa dipercayai mempunyai 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta, lapor Utusan Malaysia.

Kesemua unit kondominium yang terletak di ibu negara itu dikatakan telah ‘dibeli’ daripada lima pemaju projek perumahan yang berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Memetik sumber, Utusan Malaysia menyebut, siasatan SPRM mendapati suspek telah ‘membeli’ kesemua unit kondo­mi­nium tersebut yang harga asalnya RM200,000 sehingga RM300,000 tanpa membuat bayaran pendahuluan menggunakan nama sendiri dan orang terdekat.
Azam Baki...sahkan.

“Suspek ini dipercayai telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju tanpa membuat sebarang pembayaran pendahuluan.

“Apabila rumah siap, suspek dipercayai akan menjual semula setiap rumah pada harga semasa dengan anggaran RM500,000 setiap satu dan mendapat untung atas angin,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur,  hari ini.

Ahad lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan terdapat salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen terutama di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan telah membuat tempahan tanpa membuat pembayaran pendahuluan.

Sebaik sahaja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ oleh pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar yang lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.


Tambah sumber lagi, siasatan juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa lagi pegawai dan kakitangan DBKL terlibat melakukan perkara yang sama bagi mendapat keuntungan mudah.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan dan kita masih lagi mencari orang kanan suspek terbabit bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Siasa­tan SPRM, Datuk Azam baki ke­tika dihubungi mengesahkan men­genai perkara itu.

Pada 16 Ogos, SPRM menahan reman Datuk Seri berkenaan bersama dua lagi penjawat awam berpangkat Datuk dari jabatan berbeza di Melaka dan Kelantan. Semua yang ditahan masih dalam tahan reman.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram, mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Azam sebelum ini berkata mereka ditahan dalam operasi serentak pada 12.00 tengah hari dan 2.00 petang. Susulan penahanan itu, akaun bank milik mereka melebihi RM13 juta turut dibekukan, di samping menyita kondominium mewah seperti penthouse dan banglo, dan kenderaan Maserati, BMW dan Audi.


SPRM turut merampas RM400,000 tunai termasuk mata wang asing dan beberapa jam tangan mewah.
Mingguan Malaysia sebelum ini melaporkan wujud salah guna kuasa segelintir pegawai kanan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Lembah Klang bagi memperoleh kondominium dan apartmen di lokasi strategik.

Perkara itu berlaku berikutan terdapat pakatan antara pegawai tinggi dan pemaju projek perumahan apabila mereka dikatakan membuat tempahan tanpa membuat bayaran pendahuluan.


Sebaik saja projek itu siap dan mendapat sijil layak menduduki (CF) daripada PBT, pemaju akan mengambil semula unit yang ‘dibeli’ pegawai PBT terlibat dan menjual kepada pembeli sebenar dengar kadar lebih tinggi bagi mengaut keuntungan.