Saturday, February 26, 2011

BN TERUSKAN MOMENTUM, PAS MAHU TEBUS MARUAH

Sebaik sahaja pemandu melepasi Plaza Tol Ayer Keroh, di jajaran itulah paling banyak lampu isyarat yang perlu direntasi.

Dengan sistem melepaskan kenderaan secara bersaat, ada 30 saat, 60 saat dan suatu ketika mencecah 160 saat, situasi deretan lampu isyarat itu seakan-akan menyamai kehidupan di Putrajaya khusus dari Wisma Putra menghala ke pejabat-pejabat kerajaan di Presint 2.

Berbeza di Temerloh, lampu isyarat kurang bilangannya tetapi di situ terkenal dengan kelazatan ikan patinnya yang kalau tidak berjaga-jaga, boleh ‘terpukul’ selepas menikmatinya dengan harga jenis ikan yang ada kalanya ‘tidak masuk akal’.

Namun orang luar kena bertanya dulu kepada orang tempatan - perbezaan harga sekilo ikan patin sangkar (RM14) dan patin liar (sehingga mencecah RM70) sebelum menjamu selera.

Dua negeri ini, Melaka dan Pahang menyaksikan dua pilihan raya kecil di Merlimau dan Kerdau yang kempen lapan harinya bermula sebaik saja urusan penamaan calon selesai 12tengah hari ini.

Pas dipercayai begitu menagih kemenangan di salah satu kerusi terbabit setelah imej tercalar di Galas dan Tenang. Dengan rekod kemenangan empat dari lima kerusi dalam setahun ini , Barisan Nasional (BN) pastinya mahu meneruskan momentum melakar kemenangan bergaya di Merlimau dan Kerdau.

Kejayaan itu nanti akan menjadi pembakar semangat dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dari sekarang, tidak lama selepas pengundian dua kerusi berkenaan pada 6 Mac ini.

Jika dua kerusi ini berhasil, maka pertemuan BN dengan pihak pembangkang adalah seri lapan sama dalam siri 16 pilihan raya kecil sejak Mac 2008.

Meskipun dikatakan di Merlimau setakat ini ‘hingga tiang elektrik’ pun dijadikan isu (hakikatnya, tidak ada isu), BN wajar berwaspada. Hujah dan penjelasan perlu digerakkan dengan pantas dan sampai ke akar umbi. Bak kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pengundi adalah ‘raja’.

Setakat ini Pas dan sekutunya cuba mengadu-domba memainkan isu ‘ada lapangan terbang tapi kapalnya tak turun’, penutupan Eye On Malaysia dan gelanggang go kart. Sedangkan semua orang Melaka terutama di ‘Melemau’ (sebutan anak Melaka) maklum Boeing 737 penerbangan Melaka-Riau mendarat tiga kali seminggu di Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, syarikat penyewa Eye On Malaysia mungkir janji membayar kepada pemilik asal di Belgium dan isu go kart yang masih dalam pertimbangan mahkamah.

Setakat ini, hanya isu-isu luar Melaka dijangka dibangkitkan termasuk kononnya belum ada keputusan kerajaan negeri untuk menaja penghantaran balik pelajar ke Mesir. Begitupun Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dikatakan mampu menangani semua ini.

Di Kerdau pula, selain isu status kelulusan calon BN yang cuba dipolitikkan oleh Pas, beberapa isu sampingan dipercayai akan menjadi ‘buah tangan’ Pas ke atas jentera BN. Antara tumpuan Pas adalah di Felda Jengka 22 membabitkan isu kelewatan bayaran ses kepada peneroka dan geran tanah yang belum dimiliki.

Bagaimanapun, Pas juga dikatakan agak kurang bersemangat untuk mencabar kedudukan BN di Kerdau sehingga hanya menurunkan ‘ayam patah sayap’ , Hasanuddin Salim, 43, di sana. Dikatakan individu yang sebelum ini diuar-uarkan untuk menyaingi Syed Ibrahim Syed Ahmad iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man dan Hassan Tantawi tidak mahu menanggung risiko tewas bagi mengelakkan imej diri tercalar.

Ini kerana mereka akan memberi tumpuan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-13, lebih-lebih lagi buat Tuan Ibrahim yang dipercayai menaruh minat di Jengka.

Begitupun isu-isu luar dijangka ‘merajai’ kempen pilihan raya di Merlimau dan Kerdau. Ini termasuk sentimen Hindraf yang cuba menghuru-harakan keharmonian kaum. Dan tidak kira parti mana yang membangkitkan sesuatu isu, yang penting jentera pilihan raya siapa yang paling pantas, cekap dan bijak mematikan hujah, mencernakan isu dan mendekati hati pengundi dalam hari-hari mendatang sehingga ke penghujung tengah malam 5 Mac ini.

Selamat berkempen.

Oleh Zulkifli Jalil (Utusan Malaysia Online, 26 Feb 2011)

Friday, February 11, 2011

My Balik Pulau: GUAN ENG LUDAH MUKA SENDIRI

Risalah Mybalik Pulau yang diterbitkan oleh Persatuan Seni Pendidikan Pulau Pinang. (baca di blog Minda Intelek Melayu).

5 Feb 2011, Lim Guan Eng, Ketua Menteri Kerajaan DAP Pulau Pinang menuntut permohonan maaf dari Muhammad Farid Saad, ADUN BN Betong kerana mendakwa risalah Mybalik Pulau yang didakwa oleh ADUN Betong tersebut diterbitkan oleh Kementerian Pelancongan bukannya kerajaan negeri Pulau Pinang. Ternyata Guan Eng berbohong dan meludah ke muka sendiri.

Ilustrasi kartun yang dilukis oleh May Leong dalam risalah Mybalik Pulau yang menghina orang Melayu sebagai peminta sedekah dari Chetti dan Along. Amat biadap dan rasis sekali kartun ini. Risalah My Balik Pulau turut merbahaya kerana cuba memutarbelitkan sejarah. "Saya nampak ada usaha pihak tertentu cuba mencerminkan seolah-olah orang Cina sudah bertapak lama di Balik Pulau sebelum kedatangan orang Melayu" kata Presiden Alumni Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pulau Pinang, Abdul Said Hussain dalam Utusan Malaysia pada 2 Februari 2011.


Arts Ed adalah satu NGO yang menjadi Executice Committe di bawah sekretariat Socio Economic & Enviromental Research of Institute (SERI), Penang. Arts ED telah mengedarkan risalah ini kepada sekolah-sekolah di sekitar Balik Pulau sejak sebulan yang lalu. Tindakan Arts ED ini adalah untuk menanam fakta yang salah kepada penduduk Balik Pulau bahawa orang Cina sudah lama bertapak di Balik Pulau.

Mengapa Arts ED dan SERI perlu menyuntik fakta salah tersebut? Tidak lain tidak bukan adalah untuk menghalau orang Melayu dari Balik Pulau untuk merealisasikan hasrat mereka menubuhkan Universiti Nanyang di Balik Pulau. Sebelum mengusir tanah, DAP mahu usir dahulu kepercayaan yang ada dalam fikiran orang Melayu. Agenda yang dirancang oleh SERI yang mengadakan polisi penyelidikan dan pendidikan di Pulau Pinag.
Guan Eng yang bertanggugjawab penuh dengan risalah My Balik Pulau ini. SERI adalah sebuah institut yang berada di bawah naungan kerajaan DAP Pulau Pinang. Dua orang Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ditempatkan sebagai Executive Director SERI (baca sini). Guan Eng secara terancang telah cuba untuk menyuntik fakta palsu kepada orang-orang Melayu di Pulau Pinang, khususnya generasi muda bahawa orang Cina sudah lama bertapak di Pulau Pinang. Rugi orang Melayu Pulau Pinang kerana ada Ahli Parlimen dan Timbalan Ketua Menteri yang berbangsa Melayu tetapi menjadi pengkhianat kepada bangsa sendiri. Sanggup menjadi talibarut DAP bagi menjayakan usaha merampas tanah orang-orang Melayu di Balik Pulau.

Wednesday, December 29, 2010

KES MENTERI PERKOSA AMAH - PUNCANYA SEPUCUK SURAT

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Kisah seorang pembantu rumah Indonesia dirogol oleh majikannya yang merupakan seorang menteri bermula apabila sebuah badan kebajikan dan hak asasi manusia, Migrant Care, menerima sepucuk surat aduan daripada adik mangsa.

Surat tanpa tarikh (gambar) yang ditaip dengan mesin taip biasa itu mendakwa kakaknya yang bernama Robengah telah diperkosa oleh seorang menteri kerajaan Malaysia beberapa kali.

"Kakak saya telah diperkosa oleh majikannya Pak Menteri beberapa kali. Hingga satu hari tanggal 19/02/07, kuasa Allah perbuatan kejinya itu telah terlihat oleh Datin isterinya yang sangat baik melayan semua pembantu rumah. Datin telah hantar kakak saya pulang ke Indonesia keesokannya, tanggal 20/02/07," cerita adik mangsa kepada badan yang menjaga kebajikan pekerja Indonesia yang bekerja di luar negeri itu.

Melalui surat inilah, Migrant Care telah menyiasat laporan ini dengan menghantar tiga sukarelawannya ke rumah Robengah yang terletak di Banjarnegara, Jawa Tengah, Indonesia.

Migrant Care adalah Perhimpunan Indonesia untuk Buruh Migran Berdaulat (Member of Migrant Forum in Asia and International NGO Platform on Migrant Workers' Convention) yang beralamat di Jl. Pulo Asem I C No 15 RT 015 RW 001 Jati, Jakarta Timur 13220 Indonesia.

Banyak kes yang berjaya diselesaikan oleh mereka dalam menjaga kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia. NGO ini juga membantu rakyat Malaysia yang ingin mencari saudara mara mereka di Indonesia sebagaimana yang berlaku kepada keluarga Azreen Che Ishak, gadis dari kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan yang dibawa ke Lombok, Indonesia.

Perjalanan ke Banjarnegara pada 24 Julai 2007 merupakan satu perjalanan yang panjang bagi para sukarelawan ini. Ia bermula sehari sebelum itu lagi apabila mereka bertolak dari Jakarta ke Jawa Tengah pada 23 Julai. Namun, demi tugas, mereka ke sana untuk mengesahkan laporan yang mereka terima itu.

Perjalanan ke Banjarnegara

Ketika dalam perjalanan, mereka terngiang-ngiang kata-kata rayuan adik mangsa rogol ini yang meminta kasihan belas agar kehormatan wanita Indonesia ini dibersihkan.

"Tolong kami Pak. Bersihkan kehormatan wanita Indonesia yang mencari rezeki buat anak-anak yang sekolah. Apakah memperkosa pembantu rumah pekerja asing yang tak bisa baca dan tak bisa tulis, adalah satu budaya orang kenamaan di Malaysia," rayu adik mangsa dalam surat aduan itu.

Melalui alamat yang diberikan adik mangsa itu, mereka berjaya menemui Robengah yang sedang sibuk mempersiapkan makanan untuk pekerja yang sedang mempersiapkan rumah baru mereka.

Mereka ke sana untuk mendapatkan cerita sebenar dari mangsa sendiri. Ini kerana, surat aduan itu penuh keyakinan kakaknya akan ceritakan segala-galanya.

"Kakak saya akan ceritakan segala-galanya. Saya sertakan foto majikannya bersama kakak saya yang berdiri disebelahnya (bertudung biru) bersama pembantu rumah yang lain dan Datin isterinya," cerita surat aduan itu lagi.
Namun mereka bertiga juga teringat pesan adik mangsa itu. Ini kerana, beliau bimbang kes yang berlaku kepada wanita Monggolia, Altantuya Shariibuu berulang kepada kakaknya.

"Tolong bapak rahsiakan alamat kakak saya kerana Pak Menteri itu punya banyak wang dan kenalan di Indonesia. Khuatir nanti keluarga kakak saya akan diapa-apakan seperti kasus Altantuya di Malaysia," tulis adik mangsa itu lagi.

Mereka bertiga sampai di rumah Robengah kira-kira jam 11 pagi. Namun, suasana yang ada tidak membolehkan isu pemerkosaan ini ditanya terus kepadanya sehingga jam lewat petang. Ini kerana suami serta dua anaknya sentiasa berada di sisinya.

Mereka hanya berjaya mendapat sejarah kerja Robengah di rumah majikannya di Kuala Lumpur selama lapan tahun itu. Dalam pada itu, mereka juga sempat bergambar bersama.

Pengakuan Robengah

Namun, selepas pulang ke rumah salah seorang dari mereka iaitu kira-kira jam 8.30 malam, mereka menelefon Robengah melalui anaknya.

Dalam perbualan telefon itulah, Robengah mengaku diperkosa majikannya. Tetapi beliau meminta sangat-sangat isu pemerkosaan itu tidak diperbesarkan kerana dia malu dan takut.

Maklumlah, dia hanya orang kecil sedangkan Pak Menteri itu orang besar dan berpengaruh.

Suami Robengah juga menelefon mereka semua supaya isu ini tidak diperbesarkan dan menganggap ini adalah satu cobaan untuk keluarganya.

Pada 26 Julai sekali lagi para sukarelawan ini menelefon Robengah melalui ibu pejabat mereka di Jakarta.

Robengah kali ini juga meminta agar ia tidak diperbesarkan namun dia mengesahkan telah diperkosa menjelang pulang ke kampung halamannya.

Menurut adiknya, kali terakhir Robengah diperkosa pada 19 Februari 2007 dan kejadian ini telah terbongkar apabila dilihat sendiri oleh isteri menteri ini.

Robengah kemudiannya telah dihantar pulang oleh isteri menteri itu pada keesokan harinya iaitu pada 20 Februari 2007.

Kenyataan media

Selepas membuat penyiasatan dan menemubual mangsa inilah, Migrant Care telah mengeluarkan satu kenyataan media pada 1 Ogos 2007. Ia telah ditandatangani oleh tiga orang iaitu Wahyu Susilo (Policy Analyst), Anis Hidayah (Executive Director) dan Alex Ong (Country Director).

Kenyataan ini telah disiarkan kembali oleh Tenaganita, sebuah NGO hak asasi pekerja pada 26 Disember baru-baru ini selepas dokumen siasatan kes ini didedahkan oleh WikiLeaks.

Dokumen siasatan kes pemerkosaan ini dikatakan telah sampai ke kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur, kedutaan Amerika di Jakarta dan pejabat Perdana Menteri ketika Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi adalah Perdana Menterinya.

Berdasarkan dokumen dari kedutaan Amerika inilah WikiLeaks mendedahkan kembali kes ini kerana dokumen yang didedahkan oleh WikiLeaks semuanya daripada dokumen yang bocor dari Amerika.

Pendedahan ini kemudiannya diangkat oleh blogger Rocky Bru (Ahirudin Atan) (gambar kiri), pemimpin akhbar The Malay Mail, dalam blognya baru-baru ini.

Bermula dari situlah Harakahdaily menyiasat kes ini dan mendapat cerita ini. Menurut maklumat awalnya, menteri ini sudah bersara tetapi selepas disiasat rupanya menteri ini masih kekal dalam kabinet Datuk Seri Najib Razak sekarang.

LAPORAN BERKAITAN

Siapakah menteri rogol amahnya?