Thursday, April 23, 2009

16 SEPT : ANWAR 'JUAL' NAMA YANG DI-PERTUAN AGONG DAN SULTAN

AGENDADAILY

Menjelang 16 September tahun lalu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim bikin gimik nak tawan Putrajaya menerusi pintu belakang pelbagai desas-desus timbul mengenai nama-nama sebilangan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang dikatakan telah ditemui secara sulit oleh Ketua Pembangkang itu.

Namun belum ada seorang pun di kalangan mereka yang tampil untuk membuat pendedahan mengenai modus operandi Anwar dalam usaha memujuk mereka menyertai apa yang dikenali sebagai ‘Pelan 16 September’ yang tak menjadi itu.

Petang Ahad 19 April, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi, Ahli Parlimen Batu Pahat yang baru-baru ini memenangi jawatan Majlis Tertinggi UMNO menceritakan bagaimana Anwar berusaha memujuknya termasuk mendakwa empat Sultan termasuk Yang di-Pertuan Agong menyokongnya.

Dr. Puad menceritakannya pada kira-kira 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan sekitar Hulu Kelang yang hadir dalam perjumpaan sembang petang di Kelab Darul Ehsan, dekat Kuala Lumpur.

Katanya, beliau mulanya dihubungi menerusi telefon oleh contactman Anwar yakni Dr Rahim Ghaus.

Dr. Rahim diketahui adalah orang kanan Anwar yang kini menetap di Melbourne, Australia tapi sering berulang alik ke Malaysia. Bekas Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang ini melarikan diri ke luar negara semasa kemuncak reformasi 1998 dan kini berkhidmat dengan sebuah cawangan bank Timur Tengah di bandaraya itu.

Menariknya, Dr. Puad cuba dipancing pada 20 September iaitu empat hari melepasi dateline 16 September.

Ini jelas menunjukkan Anwar masih menaruh harapan dan terus cuba nasib sekalipun tarikh asal impiannya itu sudah berlalu.

Pendedahan Dr. Puad di majlis itu ditulis oleh Datuk Fuad Hassan,bekas ahli Dewan Undangan Negeri BN Hulu Kelang dalam laman blognya di alamat: http://www.dakwat-kertas.blogspot.com/


Berikut ialah tulisan penuh Datuk Fuad di bawah tajuk “Rahsia godaan Anwar”

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah meminta beberapa ahli parlimen Barisan Nasional menandatangani surat untuk memberikan persetujuan kepada beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke enam pada 16 September 2008 yang lalu. Surat tersebut ditujukan kepada SPB Yang Di Pertuan Agong.

Demikian didedahkan oleh ahli parlimen Batu Pahat yang terpilih sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi dalam program Sembang petang “UMNO Dalam cabaran” anjuran UMNO Bahagian Gombak di Dewan Cempaka, Kelab Darul Ehsan petang tadi (19 April 2009) mulai jam 2.45 petang.

Menurut Dr. Puad, beliau telah menerima panggilan telefon daripada rakan Anwar Ibrahim, Dr. Abdul Rahim Ghaus, seorang ahli perniagaan pada 20 September jam 2 pagi tahun lalu yang menyatakan beliau ingin berjumpa dan berbincang mengenai pembentukan kerajaan pembangkang yang baru.

Dr. Puad bersetuju berjumpa dengan Dr. Abd Rahim yang kemudiannya merayu dan menunjukkan surat yang ditujukan kepada SPB Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan persetujuan melantik DS Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang baru menggantikan Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang dikatakan telah hilang sokongan.

Untuk meyakinkan lagi, Dr. Abdul Rahim telah menelefon Anwar Ibrahim untuk bercakap dan meyakinkan beliau. Menurut Dr. Puad, Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa “ Pak Lah is no longer in command..”

Beliau merayu agar Dr. Puad menandatangani surat tersebut tanpa perlu keluar daripada Barisan Nasional. Anwar berjanji akan merahsiakan tandatangan beliau. Ia hanyalah untuk tatapan SPB Yang Di Pertuan Agong, tambahnya lagi.

“I need more Malay MPs like you ”, tambah Anwar lagi. “ And we already have enough numbers to form new government ,” kata Anwar cuba meyakinkan lagi.

Anwar cuba meyakinkan Dr. Puad dengan menyatakan bahawa empat Sultan telah menyatakan sokongan, termasuk SPB Yang Di Pertuan Agong.

Dr. Puad secara fizikalnya terketar-ketar. Beliau hanya baru beberapa bulan menjadi ahli parlimen tiba-tiba menerima ujian yang begini besar. Menurutnya, beliau terketar-ketar kerana takut terpengaruh dan lantas tanpa sedar menandatangani surat tersebut, jelasnya lagi.

Beliau cuba menguatkan pendirian dengan bertanya Anwar tentang bagaimana dengan agenda Melayu. Ini kerana beliau bimbang Pakatan Rakyat tidak lagi menjuarai kepentingan bangsa Melayu dan Islam lantaran ingin menjaga perasaan DAP dan pengundi Cina.

Menurut Dr. Puad, Anwar menyatakan kepadanya kepentingan bangsa Melayu akan dijaga dan beliau pernah menegur Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kerana kes tanah di Selangor.

Tetapi Kata Dr. Puad, banyak kes di Parlimen seperti serangan terhadap menghalang Murtad / keluar Islam yang ditimbulkan oleh ahli parlimen Bukit Mertajam dari DAP tidakpun dipertahankan oleh ahli-ahli parlimen PAS mahupun PKR. Hanya pemimpin UMNO yang berbuat demikian. Apa yang diharapkan kepada mereka untuk berbuat demikian, tegasnya lagi.

“UMNO yang telah menggubal perlembagaan yang membuat ketetapan dimana keputusan mahkamah syariah tidak boleh dicabar di mahkamah sivil,” tambah Dr. Puad dengan bersemangat.

Berbalik kepada perbualan telepon Anwar-Dr.Puad, lantaran debaran yang demikian kuat, Dr. Puad meminta tempoh kepada Anwar untuk beliau menunaikan solat istiqarah bagi mendapatkan petunjuk daripada Allah swt.

Beliau menyampaikan berita tersebut kepada isterinya untuk berbuat demikian dan melakukan solat istiqarah mendapatkan restu Allah. Keesokannya beliau menerima telepon lagi daripada Dr. Rahim Ghaus.

Dr. Puad menjawab bahawa setelah beliau melakukan istiqarah, beliau telah mendapat mimpi yang menyatakan, “Kalau saya sign surat persetujuan tersebut bermakna saya telah menjual negara..”, kata Puad disambut dengan tepukan gemuruh daripada para hadirin yang hadir.

“Kalau saya sign , saya akan dihalau oleh Sultan dari negeri Johor yang merupakan tempat UMNO dinobatkan”, tegas beliau lagi.

“Saya memegang jawatan ini bukan untuk diri saya, tetapi untuk bangsa dan agama dan saya berharap saya akan istiqamah dengan perjuangan ini,” tambah Dr. Puad mengakhiri ucapannya dengan soalan-soalan yang bertalu-talu dari hadirin.

Anwar mengenali Dr. Puad kerana beliau pernah menjadi tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik pada tahun 80 an dahulu. Beliau seorang yang kuat berpegang kepada prinsip perjuangan agama dan bangsa. Pendekatannya sudah tentu berbeda dengan ahli-ahli parlimen yang lain.

Umum mengetahui bagaimana Anwar telah mengarahkan wakil-wakil rakyat PKR berkejaran ke Taiwan untuk memujuk ahli parlimen BN menandatangai surat persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke 6 pada 16 September 2008 yang lalu.

Dengan kehendak Allah, Perak yang jatuh ke tangan Barisan Nasional.
Hampir 400 ahli UMNO dari cawangan-cawangan Hulu Kelang hadir dalam perjumpaan tersebut.- fuhas.

Tuesday, March 3, 2009

APA YANG MOHAMMAD NIZAR TUNTUT?

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahukan perkara berikut dalam permohonannya untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi hari ini.
Nizar memohon tafsiran perlembagaan negeri Perak sama ada jawatan Menteri Besar boleh kosong dalam situasi di mana:

1. menteri besar berkenaan telah menasihatkan Sultan bagi pembubaran dewan undangan negeri;

2. tidak ada pembubaran dewan tersebut;

3. tidak ada usul tidak percaya dibuat terhadap beliau di dewan undangan negeri; dan,


4. tidak ada peletakan jawatan oleh beliau.


Nizar, dalam permohonannya berkata writ itu tentang quo warranto (cara mana) bagi Zambry menunjukkan sebab di bawah kuasa mana menteri besar yang dilantik BN itu menjadi menteri besar yang sah.

Nizar juga memohon perisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi menyekat Zambry daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai menteri besar.

Nizar juga memohon ganti rugi punitif, teruk dan contoh dibayar kepada beliau, di samping kos.
Hari ini, kes semakan kehakiman Mohammad Nizar bagi mencabar kesahihan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, akan didengar oleh hakim lain Mahkamah Tinggi esok.

Kes tersebut ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Kuasa Khas dan Rayuan) Lau Bee Lan, enam hari selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof menarik diri dari mendengar saman itu.

Seorang daripada peguam Nizar, Leong Cheok Keng, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pada 25 Feb, Mohamad Ariff menarik diri, demi kepentingan keadilan, kerana sebelum pelantikannya sebagai pesuruhjaya kehakiman, beliau pernah mewakili Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Barisan Nasional (BN) dalam beberapa kes mahkamah termasuk kes petisyen pilihan raya.

Wednesday, February 25, 2009

DAP LAGI BAIK DARIPADA PAS, PKR

Bukan Zin sahaja tetapi kerajaan Barisan Nasional seluruhnya.

Soal menurun atau menghapuskan bayaran tol bukan kerja seorang Menteri Kerjaraya semata-mata. Ia keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) seluruhnya.

Apapun, kita puji langkah DAP kerana tahu menghargai usaha kerajaan hapus tol.

Bagaimanapun, kita sanjung usaha yang dibuat oleh Zin untuk mencadangkan perkara ini dan kementeriannya bekerja keras untuk memujuk kerajaan bersetuju dengan langkah itu.

Yang menarik, usaha kerajaan ini dihargai oleh DAP.

Bukan macam rakan Pakatan Rakyat yang dua lagi – PAS dan PKR – yang tahu hentam saja.
Usaha kerajaan dihargai apabila DAP semalam memuji tindakan kerajaan menghapuskan kutipan tol di dua plaza di Kuala Lumpur dan langkahnya untuk mendeklasifikasi kebanyakan perjanjian konsesi tol lebuh raya.

Timbalan pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata: "DAP ingin mengucap tahniah kepada Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Mohd Zin Mohamed) atas usahanya untuk mendeklasifikasi(perjanjian) dan menghapuskan tol di dua plaza dalam dua minggu lalu".

Pua menyatakan ini kepada pemberita sebagai reaksi terhadap pengumuman Mohd Zin semalam yang kutipan tol di Plaza Salak Jaya di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), dihapuskan sejak tengah hari semalam.

Kutipan tol di plaza Petaling Jaya Selatan 2 (PJS 2) menghala ke Kuala Lumpur di New Pantai Expressway (NPE) telah dihapuskan pada 13 Februari lalu.

Pua berkata kerajaan juga perlu mengkaji keperluan menghapuskan kutipan tol di tempat lain seperti di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Butterworth-Kulim Expressway menjelang 2016.