Showing posts with label Menteri Besar. Show all posts
Showing posts with label Menteri Besar. Show all posts

Sunday, May 24, 2009

AKHIRNYA SIAPA BETUL?

Mingguan Malaysia (24 Mei 2009)

AKHIRNYA Dr. Zambry Abdul Kadir diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya, kelmarin.
Berdasarkan keputusan sebulat suara panel tiga hakim iaitu Mohd. Raus Shariff, Zainun Ali dan Ahmad Maarop, pelantikan Zambry bagi menggantikan Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu adalah betul.

Awang dan ramai lagi sejak dari awal yakin bahawa keputusan yang diambil oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah adalah tepat dan bijaksana setelah Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Baginda yang berpengalaman luas sebagai hakim dan mahir dalam aspek perlembagaan, begitu objektif dalam pertimbangannya yang berpaksikan undang-undang.
Keputusan Sultan Azlan Shah melantik Zambry lebih ditafsir oleh pembangkang memihak kepada BN. Tetapi bagaimana pula keputusan baginda ketika menolak permohonan penubuhan kerajaan BN di Perak selepas pilihan raya umum lalu walaupun UMNO adalah parti yang mendapat kerusi terbanyak?

Ini kerana Sultan Azlan merasakan UMNO tidak mendapat sokongan majoriti jika DAP, PKR dan Pas membentuk pakatan dalam DUN. Keputusan baginda ketika itu dilihat memihak kepada pembangkang tetapi diterima baik oleh BN.

Apa pun Awang berharap semua pihak menghormati dan akur keputusan Mahkamah Rayuan. Kedua-dua pihak telah diberi peluang berhujah. Inilah masa rakyat menilai tingkah laku parti-parti politik. Mereka sudah bosan dengan politiking yang keterlaluan.

Keadilan bukan hanya milik pembangkang. Janganlah apabila hanya menang kes maka menyifatkannya sebagai kemenangan untuk rakyat dan apabila tewas, memperlekehkan mahkamah dan pihak yang menang.

Awang geleng kepala apabila Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang bakal hadapi satu lagi kes tuduhan liwat, mendakwa badan kehakiman kita sudah hancur sementara Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat menuduh BN tidak bermoral dan tak bertamadun. Pertanyaan Awang, bertamadunkah pihak yang tidak menerima keputusan mahkamah? Dalam kita berpolitik, janganlah sampai menjadi riak.

Pada Awang, keputusan mahkamah Jumaat lalu juga adalah tanda kejayaan kepada demokrasi. Tidak timbul soal membubarkan DUN kerana punca berlaku semua ini adalah atas masalah dalaman parti pembangkang sehingga tiga ADUN mereka keluar parti menjadi wakil bebas menyebabkan BN mendapat sokongan majoriti. Jika itu berlaku kepada kerajaan parti pembangkang, apakah mereka akan membubarkan DUN, yang jawapannya sudah tentu tidak.

Malah Anwar pernah menggerakkan cubaan menggulingkan kerajaan menerusi lompat parti bagi menguasai majoriti Dewan Rakyat (sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong) tanpa pun mahu pembubaran Parlimen. Nampaknya strategi makan tuan.

Kepada Nizar dan parti pembangkang Perak, segala-galanya belum berakhir, mereka boleh memberi tumpuan kepada PRU 13, yang tidaklah begitu lama lagi.

Jika mereka boleh berperanan secara tertib dan memenangi hati rakyat, peluang mereka tetap ada. Dengan kata lain, BN juga belum tentu selamat kedudukannya nanti.

Wednesday, May 20, 2009

DAP TAWAR MB KEPADA SAYA...

Oleh: HANAFIAH MAN (agendadaily.com)

Tindakan ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi meninggalkan PKR dan menjadi ADUN Bebas dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan kononnya beliau telah ‘dibeli’.

Malah, tindakannnya itu juga dituduh sebagai cubaan untuk mendapat perlindungan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan dirinya daripada menghadapi tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya.

Namun tuduhan-tuduhan yang berat itu sedikit pun tidak menjejaskan dirinya kerana pada hakikatnya beliau tahu apa yang berlaku.

Dalam temubual bersama Agendadaily beliau menceritakan secara terperinci bagaimana mainan politik dalaman PKR sehingga membawa kepada tindakan beliau dan ADUN Changkat Jering meninggalkan parti tersebut

SIRI KEDUA temubual ini berkisar kepada isu-isu yang berkaitan dengan ‘sepak terajang politik’ PKR serta tawaran kepada beliau untuk menjadi Menteri Besar Perak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

“Keputusan saya meninggalkan kerajaan pakatan pembangkang dulu bukan kerana habuan atau jawatan. Kalau itu yang saya mahu, saya dah jadi MB sama ada MB daripada parti PKR atau MB daripada DAP. Malah kalau saya gila sangat nak jawatan itu, masa keluar PKR dan sedia memberikan sokongan kepada BN, saya boleh kenakan syarat agar saya dipilih menjadi Menteri Besar.” ujarnya.

Kalau begitu kenapa YB membuat keputusan meninggalkan PKR selain daripada sebab-sebab yang telah YB bagi tahu (pada temubual siri pertama sebelum ini).

“Dalam PKR pun ada konspirasi untuk pinggirkan saya dengan Kapten Osman. Ia bermula daripada soal tuduhan rasuah yang dikenakan terhadap saya dan Kapten Osman sehinggalah kepada peristiwa bila mana ADUN BN kawasan Bota, Datuk Nasharuddin sertai PKR.

Kononnya ada tiga lagi ADUN BN yang akan ikut sama. Mereka yang hendak masuk ini dijanjikan jawatan Exco.

Usaha ini dibuat kerana dengan tambahan empat kerusi daripada BN, kerusi pakatan akan bertambah kepada 35 dan BN tinggal 24 kerusi sahaja.

Jadi sebab itu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman sebagai ADUN dikeluarkan kerana mereka dah yakin ada majoriti lebih dengan kemasukkan empat ADUN BN ke dalam PKR. 35 kerusi jika ditolak dengan dua kerusi saya dan Kapten Osman mereka masih ada majoriti 33 kerusi.

Apakah ini merupakan mainan politik pimpinan PKR di peringkat negeri Perak untuk menyingkirkan beliau dan Kapten Osman?

Sebenarnya ini adalah mainan politik pimpinan PKR negeri Perak dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Kenapa saya kata begitu. Pada malam timbul isu surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman telah diserahkan kepada ( Speaker Dewan Undangan Negeri) V. Sivakumar, kenapa Anwar pada malam itu tidak ambil inisiatif hubungi Sivakumar sebagai Speaker untuk jangan serahkan surat perletakan jawatan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam kes Arumugam di Bukit Selambau, kenapa Anwar boleh simpan dulu surat perletakan jawatan bagi cara jalan penyelesaian, Kenapa dalam kes kami sepatah pun dia tak cakap apa-apa.

Kenapa tak tunggu kami balik kerja. Maknanya Anwar setuju dengan tindakan ini kerana dia mempunyai perancangan, bagi kerusi Changkat Jering, Ketua Bahagian PKR , Ismail hendak dijadikan calon manakala di Behrang, Ketua Bahagian PKR Pasir Salak, Mustapa Kamil Ayub akan dicalonkan.

Ini cara mereka… buat rancangan nak dapatkan empat ADUN BN, kami berdua, saya dan Kapten Osman dikorbankan, dan orang ‘kesayangan’ Anwar boleh bertanding dalam pilihan raya kecil.

Malah Ismail pada malam kekecohan surat perletakan jawatan saya dan Kapten Osman dikeluarkan, Ismail telah mengadakan mesyuarat persiapan pilihan raya di Bukit Gantang dan mengumumkan bahawa beliau akan menjadi calon.

Sedangkan perkara itu belum pun sampai kepada SPR dan mereka seharusnya sedar akan ada proses undang-undang yang akan kita ambil. Langkah awal saya, saya hantar surat penafian kepada SPR, Istana dan Setiausaha Kerajaan Negeri bahawa saya menafikan saya telah meletakkan jawatan. Sura itu sampai ke pejabat SPR jam 7.56 pagi, lebih awal daripada surat perletakan jawatan yang dihantar oleh Sivakumar.

Bagi saya Anwar jelas hendakkan orang-orang dia sahaja memegang jawatan.

Kenapa YB buat kesimpulan demikian

Taktik ini sama dengan apa yang berlaku dengan bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Fairus Khairuddin. Tak sabarkah mereka nak tunggu sehingga pilihan raya umum ke-13. Nak suruh cepat berhenti, mereka buat aduan rasuah terhadap Fairus, tapi kerana beliau tak tahan, letak jawatan dan akhirnya orang kepercayaan Anwar, Dr Mansor dinamakan sebagai calon untuk DUN Penanti.

Inilah yang mereka cuba lakukan kepada saya dengan Kapten Osman Jailu. Buat aduan rasuah dengan harapan saya dan Kapten Osman letak jawatan.

Isu rasuah ini bagaimana ceritanya kerana semasa kes ini berlaku ia dikatakan perancangan BN

Dalam soal rasuah ini, pada mulanya saya memang ingat ini semua perancangan BN hendak kenakan saya. Tapi melihat kepada apa yang berlaku kepada Fairus, saya penuh yakin ia adalah rancangan yang diatur oleh orang PKR sendiri.

Mana tidaknya, kes yang didakwa membabitkan saya berlaku apabila bekas ADUN Bota dari PKR dulu, Kapten Usaili Alias hubungi saya beritahu ada orang nak jumpa bincang pasal permohonan satu projek pembangunan di Bandar Baru Seri Iskandar. Ajak saya jumpa di Hotel Casuarina.

Saya minta mereka datang ke pejabat. Selepas jumpa orang itu letak sampul surat. Saya tanya sampul apa itu. Orang itu beritahu sumbangan RM5,000. Saya tanya sumbangan untuk siapa, dia kata untuk parti. Kalau untuk parti bukan kepada saya, sepatutnya kepada Usaili dan Usaili ambil sampul itu.

Memang jadi amalan saya, tetamu yang datang saya akan iring mereka sampai pintu keluar. Bila saya buka pintu saya dah nampak ada pegawai Pencegahan Rasuah dah tunggu di luar. Tapi mereka tidak pun ambil apa-apa tindakan ketika itu.

Esoknya barulah saya dihubungi diminta datang untuk beri keterangan.

Bila lihat apa yang berlaku kepada Fairus, saya mula sedar, inilah cara mereka untuk pastikan saya dan Kapten Osman boleh disingkirkan daripada memegang jawatan bagi membolehkan orang ‘kesayangan’ Anwar mengambil alih.

Tak ada makna kita jadi pemimpin kalau negeri ini kita gadai. Malah saya pernah tegur Nizar apakah hanya kerana kita hendak angkat Anwar jadi Perdana Menteri, kita nak gadai Perak kepada Cina. Kerana nak angkat seorang, kita gadai semua. Dia tak jawab apa-apaun pun.

Keputusan saya untuk meninggalkan pakatan ini demi untuk menjamin kepentingan Melayu, bukan soal kepentingan diri.

Tapi banyak tuduhan yang mengatakan YB dibeli dan dapat tawaran daripada BN

Biar saya jelaskan. Kalau untuk kepentingan diri, masa selepas pilihan raya dulu, saya antara nama yang disebut untuk menjadi MB.

Malah Anwar jumpa saya beritahu perkara yang sama. Saya sedar diri saya dan mungkin saya tidak layak. Tapi Anwar beritahu jangan bimbang, dia dah ada pasukan yang akan membantu saya menjalankan tugas sebagai MB.

Saya kata kepada Anwar, kalau itu yang Datuk Seri janjikan, saya terimalah tapi Datuk Seri kena tunaikan janji itu. Masa perbincangan mengenai isu MB itu kami bertiga ADUN PKR Melayu iaitu saya, ADUN Changkat Jering Kapten Osman Jailu dan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri hadir.

Bukan itu sahaja, saya pernah menjadi ahli DAP pada tahun 1986 cawangan Tanjung Malim. Ngeh dan Nga jumpa saya minta saya aktifkan semula keahlian DAP dan mereka hendak meletakkan saya sebagai MB daripada parti DAP.

Alhamdulillah, perjuangan saya tidak dikaburkan dengan jawatan. Saya beritahu mereka saya ahli PKR kenapa pula saya nak masuk DAP. Saya bersyukur dengan keputusan yang saya buat pada ketika itu. kalau tidak, mungkin saya menjadi boneka mereka sahaja. - 20/5/2009

Tuesday, March 3, 2009

APA YANG MOHAMMAD NIZAR TUNTUT?

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mahukan perkara berikut dalam permohonannya untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi hari ini.
Nizar memohon tafsiran perlembagaan negeri Perak sama ada jawatan Menteri Besar boleh kosong dalam situasi di mana:

1. menteri besar berkenaan telah menasihatkan Sultan bagi pembubaran dewan undangan negeri;

2. tidak ada pembubaran dewan tersebut;

3. tidak ada usul tidak percaya dibuat terhadap beliau di dewan undangan negeri; dan,


4. tidak ada peletakan jawatan oleh beliau.


Nizar, dalam permohonannya berkata writ itu tentang quo warranto (cara mana) bagi Zambry menunjukkan sebab di bawah kuasa mana menteri besar yang dilantik BN itu menjadi menteri besar yang sah.

Nizar juga memohon perisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar Perak yang sah dan injunksi menyekat Zambry daripada menjalankan tugas dan fungsi sebagai menteri besar.

Nizar juga memohon ganti rugi punitif, teruk dan contoh dibayar kepada beliau, di samping kos.
Hari ini, kes semakan kehakiman Mohammad Nizar bagi mencabar kesahihan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak, akan didengar oleh hakim lain Mahkamah Tinggi esok.

Kes tersebut ditetapkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi (Kuasa Khas dan Rayuan) Lau Bee Lan, enam hari selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof menarik diri dari mendengar saman itu.

Seorang daripada peguam Nizar, Leong Cheok Keng, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi.

Pada 25 Feb, Mohamad Ariff menarik diri, demi kepentingan keadilan, kerana sebelum pelantikannya sebagai pesuruhjaya kehakiman, beliau pernah mewakili Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Barisan Nasional (BN) dalam beberapa kes mahkamah termasuk kes petisyen pilihan raya.

Monday, November 3, 2008

TERENGGANU ATAU MARANG LEBIH PENTING?

Oleh Putera Gunung Tebu

Datuk Ahmad Said tiada kuasa memaksa sesiapa pun untuk tidak bertanding Ketua Bahagian UMNO.

Tetapi tidak bolehkah beliau menasihatkan mereka?

Soalnya apakah Exconya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan Terengganu atau satu bahagian sahaja?

Dan untuk apa memegang banyak jawatan? Demi akar umbi atau demi kedudukan peribadi?

Maka berkatalah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, "Ahli-ahli Umno tidak boleh dihalang daripada bertanding jika mereka layak.”

Kemudian kononnya rata-rata pemimpin Umno menyifatkan tindakan Ahmad mahu menggugurkan Ahli Exco negeri yang bertanding merebut jawatan ketua bahagian Umno pada pemilihan baru-baru ini disifatkan membelakangkan perlembagaan parti.

Ahmad sudah menyatakan mahu menggugurkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Yahya Khatib Mohamad, dan dua lagi Ahli Exco dalam rombakan Exco kerana mengingkari nasihatnya supaya tidak bertanding merebut jawatan utama pada pemilihan Umno bahagian.

Sambil mahu Yahya meletak jawatan, Ahmad kelmarin menegaskan Ahli Exco itu 'degil' kerana tidak mendengar nasihatnya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Yang menariknya Ketua Umno Bahagian Marang itu menegaskan: "Saya bersedia dengan apa juga tindakan, daripada melihat Umno Marang hancur."

Ini membawa erti, kalau dia tidak menjadi Ketua UMNO Bahagian itu, UMNO akan hancur.
Apakah selama ini UMNO Marang tidak bergolak?

Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Alias Abdullah yang mulanya mahu bertanding Ketua tetapi membuat persefahaman dengan Yahya berkata, Yahya akur segala kemungkinan termasuk jika Ahmad tidak berganjak untuk menggugurkan beliau daripada barisan Exco, kerana beliau diberi kepercayaan tinggi oleh ahli peringkat akar umbi yang mahu melihat perubahan kepemimpinan pada Umno bahagian itu.

Bagaimanapun, Alias yang juga pengamal perundangan berkata, walaupun Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan anak buahnya daripada barisan Exco, beliau masih perlu mendapatkan restu dan perkenan daripada pihak istana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat itu berkata tindakan Ahmad Said itu jelas menghalang amalan demokrasi dalam Umno dan menafikan hak serta kehendak ahli akar umbi.

Alias turut mempersoalkan tindakan Ahmad yang tidak menghalang dan mempertikaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat yang bertanding jawatan timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu menentang Datuk Rosol Wahid.

Kita tinggalkan sementara pendirian Exco berkenaan tetapi menasihati Ahli Exco jangan bertanding Ketua Bahagian bukanlah tidak ada precedent.

Jadi tidak timbul soal memaksa sesiapa tetapi hanya menasihat dan jika ada yang mahu bertanding juga, mereka sebenarnya tidak melanggar disiplin parti/
Kenapa beliau menasihat?

Ada beberapa perkara di sini yang perlu difikirkan:

1. Ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar Kedah, beliau pernah mengeluarkan arahan supaya Exconya tidak bertanding Ketua Bahagian dan jika mahu bertanding, letak jawatan. Exco berkenaan letak jawatan dan menang. Beliau dilantik semula. Kenapa Yahya tidak mengambil pengajaran daripada kes ini untuk mengelak dicop sebagai mengingkari nasihat Menteri Besar yang juga berperanan melantiknya sebagai Exco?

2. Sejak adanya krisis pemilihan calon pilihan raya umum lalu, pergolakan politik begitu kuat di kalangan pemimpin UMNO dan jika apa pertandingan peringkat Bahagian UMNO, ini akan ‘melukakan lagi UMNO’ yang sudah berdarah;

3. Isu pelantikan Menteri Besar juga memberikan kesan kepada UMNO Terengganu yang masih belum reda sebenarnya dan sebarang pertembungan merebut jawatan di Bahagian akan menyebabkan ‘luka luka lama berdarah kembali”;

4. Nasihat bukanlah sesuatu yang tidak wajar dipatuhi. Walaupun bersifat larangan, sewajarnya Exco Kerajaan Negeri patuhilah ‘nasihat’ berkenaan. Untuk apa banyak-banyak jawatan sedangkan yang penting ialah berkhidmat untuk negeri bukan bahagian sendiri semata-mata.

5. Kalaupun benar “Marang Akan Hancur’, Abdul Rahman bukan orang baru dan beliau pastinya tahu selok belok untuk memperbetulkan keadaan dengan syarat semua pihak duduk semeja. Dengan menyalahkan orang lain, masalah bersama tidak akan selesai.

6. Apa jaminan Ketua Bahagian baru untuk menjadikan Marang tidak bergolak? Dengan slogan ‘Marang Baru’ itu, apakah beliau boleh menjamin tidak timbul lagi pergolakan?

7. Ahmad sudah dapat merasakan jika Exconya bertanding sudah pasti mereka akan menggunakan jentera kerajaan. Ini tidak sewajarnya berlaku kerana Menteri dan Timbalan Menteri turut diarahkan jangan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Soalnya kalau benar kata-kata Rahman bahawa Yahya sudah berjanji dengannya dan juga Menteri Besar, untuk tidak akan bertanding tetapi kemudian melakukan sebaliknya, ia adalah perbuatan kurang bijak.

Perbuatannya itu bukan sahaja sebagai suatu pengkhianatan tetapi juga sengaja melakukan sesuatu dengan sebab-sebab tersendiri untuk menggugat Menteri Besar.

Apakah perbuatan mementingkan diri serta mengkhianati janji, selain tidak ‘hormat dan patuh kepada nasihat bosnya’ tidak layak untuk beliau digugurkan.

Kalau benar Yahya ada maruah dan sedar melakukan kesilapan, undurlah cara terbaik dan jayakanlah manifesto ‘Marang Baru’ sebaik-baiknya agar Marang tidak hancur.

Dengan cara ini bukan Marang sahaja tidak hancur tetapi UMNO juga tidak berpecah-belah kerana kewujudnya dalam Barisan Exco bagaikan ‘unta masuk kampung’ selepas apa yang beliau cuba ‘tegakkan benang basah’ mengenai keenganannya menuruti nasihat Ketua Perhubungan UMNO Terengganu itu!