Tuesday, November 4, 2008

ABDULLAH TIDAK WAJAR TANGGUH PEMBELIAN EC725

Di mana rasionalnya kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini bahawa keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar, sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia?

Yang nyata menurut keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam merumuskan bahawa pihaknya mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009.

Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.

‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.

‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.

Jelas bahawa penangguhannya tidak wajar dan dengan memberikan alasan berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia untuk menangguhkan pembeliannya sebagai alasan tidak kena pada tempatnya.

Ini bermakna bahawa pembelian ini adalah bagi tujuan operasi TUDM dan sesuatu yang ada kaitan dengan soal keselamatan negara.

Apakah kita mahu memperjudikan keselamatan negara dengan bersandarkan alasan untuk berjimat cermat?

Benarlah kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 21 Oktober lalu bahawa kedudukan ekonomi semasa tidak boleh dijadikan satu-satunya kayu pengukur dalam menentukan peruntukan perbelanjaan untuk pertahanan dan keselamatan.

Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata, peruntukan untuk kedua-dua perkara itu perlu kepada pertimbangan tertentu kerana ia melibatkan kedaulatan negara dan ketenteraman awam.

''Kita menilai balik semua projek, bukan hanya yang melibatkan pertahanan untuk memastikan hanya projek yang mampu membawa impak terbaik dilaksanakan.

''Namun, projek yang berkaitan keselamatan dan pertahanan tidak boleh sama sekali diukur hanya berasaskan kedudukan ekonomi semasa.

''Kalau kita guna kayu ukur itu, maka kita tidak akan boleh laksanakan walau satu pun projek pertahanan atau keselamatan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Mengenai Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia (Mima).

Malah, dalam kenyataan lain Najib dua hari sebelum itu, beliau menegaskan: "Dalam mesyuarat Kabinet kelmarin, saya mengusulkan supaya isu pembelian helikopter Eurocopter diperhalusi PAC.”

Kenyataan Najib pada 19 September di Pekan mengatakan, kerajaan mengarahkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memperhalusi isu pembelian helikopter Eurocopter EC725 bagi menggantikan Nuri sebelum mengambil keputusan untuk membeli pesawat itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan membeli pesawat tersebut perlu dikaji secara mendalam walaupun proses perolehan helikopter itu dikatakan dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ternyata peringatan Najib itu mendapat perhatian PAC dan semalam badan itu mengatakan tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter
Menurut PAC penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Azmi menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.

‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.

ABDULLAH BERDENDAM MUHYIDDIN?

Benarkah demikian?

Bolehkah dengan satu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi di Kota Kinabalu tempoh hari, kita merumuskan demikian?

Kalau betul marah, kenapa tidak dilontaran keluar Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tu daripada Kabinet?

Perdana Menteri takut Muhyiddin akan dapat simpati?

Apapun, tulisan berikut untuk sama-sama kita renungkan bukan sahaja cerita antara Abdullah dan Muhyiddin tetapi juga peranan portal berita The Malaysian Insider.

Bacalah:

THE MALAYSIAN INSIDER VS DATA KEMUNGKARAN ABDULLAH

(http://politica-net.blogspot.com)

3 November 2008

Kebelakangan ini nampak sangat Abdullah Badawi seolah-olah berdendam dengan Muhyiddin Yassin. Apa halnya? Apa yang tak kena dengan Muhyiddin sampai Abdullah mati-mati sangat nak burukkan Muhyiddin?

Apa dia sebabnya? Pasal Muhyddin vokal mengenai UMNO pasca PRU12? Sebab Muhyiddin mewakili suara akar umbi? Sebab Muhyiddin mengatakan yang benar?

Kisah Abdullah mendendam Muhyiddin ni memang tak tersiar dalam akhbar perdana. Tapi ada sebuah portal berita internet yang sering kenen-kenen citer Muhyiddin. Portal ni dipercayai dikendalikan oleh seorang Hamba Allah yang pernah menjadi boss di NST. Kata orang, sidia tu sahabat Kalimullah, sahabat KJ. Kata sesetengah pihak yang lain, sidia tu juga member Temasik.

Sebab itulah portal berita internet ni sering menyiarkan berita yang kononnya diperolehi daripada empat tembok bilik mesyuarat UMNO Malaysia di Kuala Lumpur dan bilik mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya.

Sebenarnya memang tak masuk akal kalau Abdullah geram dengan Muhyiddin pasal Muhyiddin mewakili suara akar umbi. Sebabnya, apa yang Muhyiddin cakap adalah keluhan dan rintihan warga UMNO akar umbi.

Contohnya, warga UMNO banyak yang termangu-mangu, kenapakah Abdullah nak sangat-sangat pemilihan pucuk pimpinan tertinggi UMNO diadakan pada mac 2009. Bukankah ini satu keputusan yang tak masuk akal dan tak lojik?

Abdullah tak sedarkah keputusan itu akan menyebabkan calon-calon desperado mengamalkan politik wang habis-habisan? Abdullah tak terfikirkah keputusan ni akan sebabkan UMNO hilang kredibiliti?

Kalau gitu, salahkah Muhyiddin selaku Naib Presiden UMNO menyuarakan sesuatu yang benar? Nak harapkan Naib Presiden UMNO yang lagi satu tu, sidia tu kaki ampu dan kaki bodek nombor satu. Nak harapkan Ketua Penerangan, sidia tu pun dua kali lima.

Jadi, salahkah kalau Muhyiddin yang bersuara? Atau, adakah Muhyiddin berdosa semata-mata sebab dia dikatakan menerima sokongan Tun Mahathir Mohamad?

Kita pun dengar dan kita pun tahu akan banyak kisah di mana Abdullah sebenarnya mahukan Ali Rustam lanyak Muhyiddin kali ni. Sebab tu Abdullah sendiri dikatakan ada buat panggilan telefon kepada sesetengah ketua bahagian mengarahkan Ali Rustam diberikan pencalonan Timbalan Presiden UMNO.

Janganlah nak nafikan cerita ni. Kalau Abdullah ada The Malaysian Insider, kita pun ada hantu tembok yang boleh bagi info. Kalau tak percaya, tanyalah Abdullah, hari ini ada berapa data maklumat sudah terhimpun mengenai diri Abdullah dan keluarganya. Macam-macam ada dalam data maklumat tu. Kalaulah seluruh data ni dilepaskan kepada rakyat Malaysia, lunyai Abdullah jadinya!

Oleh itu, Abdullah perlu ingat. UMNO ni milik ahli-ahlinya. Kalau Muhyiddin menyampaikan keluhan dan kekecewaan ahli-ahli UMNO, tindakan itu jangan dimarahi. Kalau nak marah, bubarkan UMNO atau jadikan UMNO parti anak beranak atau parti sendirian berhad!

Insaflah Abdullah. Kalau anda ada the The Malaysian Insider untuk lanyak Muhyiddin, rakyat jelata ada banyak data maklumat sahih yang menyimpan pelbagai karenah dan kemungkaran anda sekeluarga. Makanya, eloklah anda berundur esok atau lusa. Jangan tunggu lama-lama, nanti anda kena selsema akibat serangan data-data kemungkaran anda yang kategori A1 tarafnya!

Monday, November 3, 2008

TERENGGANU ATAU MARANG LEBIH PENTING?

Oleh Putera Gunung Tebu

Datuk Ahmad Said tiada kuasa memaksa sesiapa pun untuk tidak bertanding Ketua Bahagian UMNO.

Tetapi tidak bolehkah beliau menasihatkan mereka?

Soalnya apakah Exconya mahu memberi tumpuan kepada pembangunan Terengganu atau satu bahagian sahaja?

Dan untuk apa memegang banyak jawatan? Demi akar umbi atau demi kedudukan peribadi?

Maka berkatalah Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, "Ahli-ahli Umno tidak boleh dihalang daripada bertanding jika mereka layak.”

Kemudian kononnya rata-rata pemimpin Umno menyifatkan tindakan Ahmad mahu menggugurkan Ahli Exco negeri yang bertanding merebut jawatan ketua bahagian Umno pada pemilihan baru-baru ini disifatkan membelakangkan perlembagaan parti.

Ahmad sudah menyatakan mahu menggugurkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu, Yahya Khatib Mohamad, dan dua lagi Ahli Exco dalam rombakan Exco kerana mengingkari nasihatnya supaya tidak bertanding merebut jawatan utama pada pemilihan Umno bahagian.

Sambil mahu Yahya meletak jawatan, Ahmad kelmarin menegaskan Ahli Exco itu 'degil' kerana tidak mendengar nasihatnya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Yang menariknya Ketua Umno Bahagian Marang itu menegaskan: "Saya bersedia dengan apa juga tindakan, daripada melihat Umno Marang hancur."

Ini membawa erti, kalau dia tidak menjadi Ketua UMNO Bahagian itu, UMNO akan hancur.
Apakah selama ini UMNO Marang tidak bergolak?

Timbalan Ketua Umno Bahagian Marang, Alias Abdullah yang mulanya mahu bertanding Ketua tetapi membuat persefahaman dengan Yahya berkata, Yahya akur segala kemungkinan termasuk jika Ahmad tidak berganjak untuk menggugurkan beliau daripada barisan Exco, kerana beliau diberi kepercayaan tinggi oleh ahli peringkat akar umbi yang mahu melihat perubahan kepemimpinan pada Umno bahagian itu.

Bagaimanapun, Alias yang juga pengamal perundangan berkata, walaupun Menteri Besar mempunyai kuasa untuk menggugurkan anak buahnya daripada barisan Exco, beliau masih perlu mendapatkan restu dan perkenan daripada pihak istana.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alur Limbat itu berkata tindakan Ahmad Said itu jelas menghalang amalan demokrasi dalam Umno dan menafikan hak serta kehendak ahli akar umbi.

Alias turut mempersoalkan tindakan Ahmad yang tidak menghalang dan mempertikaikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Rozi Mamat yang bertanding jawatan timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu menentang Datuk Rosol Wahid.

Kita tinggalkan sementara pendirian Exco berkenaan tetapi menasihati Ahli Exco jangan bertanding Ketua Bahagian bukanlah tidak ada precedent.

Jadi tidak timbul soal memaksa sesiapa tetapi hanya menasihat dan jika ada yang mahu bertanding juga, mereka sebenarnya tidak melanggar disiplin parti/
Kenapa beliau menasihat?

Ada beberapa perkara di sini yang perlu difikirkan:

1. Ketika Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar Kedah, beliau pernah mengeluarkan arahan supaya Exconya tidak bertanding Ketua Bahagian dan jika mahu bertanding, letak jawatan. Exco berkenaan letak jawatan dan menang. Beliau dilantik semula. Kenapa Yahya tidak mengambil pengajaran daripada kes ini untuk mengelak dicop sebagai mengingkari nasihat Menteri Besar yang juga berperanan melantiknya sebagai Exco?

2. Sejak adanya krisis pemilihan calon pilihan raya umum lalu, pergolakan politik begitu kuat di kalangan pemimpin UMNO dan jika apa pertandingan peringkat Bahagian UMNO, ini akan ‘melukakan lagi UMNO’ yang sudah berdarah;

3. Isu pelantikan Menteri Besar juga memberikan kesan kepada UMNO Terengganu yang masih belum reda sebenarnya dan sebarang pertembungan merebut jawatan di Bahagian akan menyebabkan ‘luka luka lama berdarah kembali”;

4. Nasihat bukanlah sesuatu yang tidak wajar dipatuhi. Walaupun bersifat larangan, sewajarnya Exco Kerajaan Negeri patuhilah ‘nasihat’ berkenaan. Untuk apa banyak-banyak jawatan sedangkan yang penting ialah berkhidmat untuk negeri bukan bahagian sendiri semata-mata.

5. Kalaupun benar “Marang Akan Hancur’, Abdul Rahman bukan orang baru dan beliau pastinya tahu selok belok untuk memperbetulkan keadaan dengan syarat semua pihak duduk semeja. Dengan menyalahkan orang lain, masalah bersama tidak akan selesai.

6. Apa jaminan Ketua Bahagian baru untuk menjadikan Marang tidak bergolak? Dengan slogan ‘Marang Baru’ itu, apakah beliau boleh menjamin tidak timbul lagi pergolakan?

7. Ahmad sudah dapat merasakan jika Exconya bertanding sudah pasti mereka akan menggunakan jentera kerajaan. Ini tidak sewajarnya berlaku kerana Menteri dan Timbalan Menteri turut diarahkan jangan menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen.

Soalnya kalau benar kata-kata Rahman bahawa Yahya sudah berjanji dengannya dan juga Menteri Besar, untuk tidak akan bertanding tetapi kemudian melakukan sebaliknya, ia adalah perbuatan kurang bijak.

Perbuatannya itu bukan sahaja sebagai suatu pengkhianatan tetapi juga sengaja melakukan sesuatu dengan sebab-sebab tersendiri untuk menggugat Menteri Besar.

Apakah perbuatan mementingkan diri serta mengkhianati janji, selain tidak ‘hormat dan patuh kepada nasihat bosnya’ tidak layak untuk beliau digugurkan.

Kalau benar Yahya ada maruah dan sedar melakukan kesilapan, undurlah cara terbaik dan jayakanlah manifesto ‘Marang Baru’ sebaik-baiknya agar Marang tidak hancur.

Dengan cara ini bukan Marang sahaja tidak hancur tetapi UMNO juga tidak berpecah-belah kerana kewujudnya dalam Barisan Exco bagaikan ‘unta masuk kampung’ selepas apa yang beliau cuba ‘tegakkan benang basah’ mengenai keenganannya menuruti nasihat Ketua Perhubungan UMNO Terengganu itu!