Showing posts with label Dzulkifli. Show all posts
Showing posts with label Dzulkifli. Show all posts

Monday, February 20, 2017

Amaran SPRM - 'Seleweng Dana Rakyat, Jangan Harap Boleh Lari'


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertegas untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang menyeleweng peruntukan disalurkan kerajaan kepada rakyat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, mereka terlibat tidak sesekali terlepas daripada siasatan serta tangkapan SPRM.

Menurutnya, negara dan negeri perlu dipastikan ditadbir mengikut proses undang-undang tanpa adanya gejala rasuah dan salah guna kuasa. 

"Apa-apa peruntukan yang sepatutnya diterima rakyat bawahan perlu sampai dan kami akan melaksanakan tugas itu. Kita akan pastikan bahawa seluruh peruntukan bagi pembangunan negara dapat dilaksanakan.

"Jika ada aduan dan laporan daripada orang kampung kita akan jalankan siasatan serta tindakan undang-undang,"katanya dalam ucapan majlis perasmian surau An-Najah di Kampung Carok Kapas di Baling.


Menurutnya, SPRM akan menjalankan tugas sebaik mungkin bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Bila pihak kami melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini, dengan izin Allah negara kita akan aman dan lebih makmur. Rakyat juga akan menikmati segala bentuk pembangunan yang sepatutnya mereka terima.

"Tolong doakan supaya ALLAH memberikan kekuatan  petunjuk, hidayah kepada kami. Tolong doakan Allah berikan perlindungan kepada SPRM dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas agar negara ini bebas rasuah,"katanya.

Terdahulu, Dzulkifli mengimamkan penduduk dan kakitangan SPRM dalam solat Zohor di Surau An-Najah Kampung Charok Kapas.

Beliau yang berucap di hadapan ratusan penduduk turut mengingatkan wakil rakyat di Baling bahawa tindakan tegas turut menanti mereka sekiranya terbukti terlibat dengan salah guna kuasa.

"Kita datang sini juga untuk beritahu sesuatu kepada wakil rakyat,  "senyum-senyum juga, kawan pun kawan juga", tetapi jika salah kami akan ambil tindakan,"katanya. 


Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Adun Kupang, Datuk Harun Aziz, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Zulkiflee Abd Rahman serta kakitangan Pejabat Parlimen Baling.

Menurut laman FB beliau, Program #ZiarahKasih SPRM itu dimulakan dengan lawatan saya ke  Madrasah Islahiah Diniah, Kg. Memali, Baling pada sebelah pagi.

Seterusnya, beliau  dan pegawai-pegawai SPRM ke Kg. Charok Kapas untuk meraikan kenduri bersama-sama penduduk kampung serta menyampaikan sumbangan.

Beliau turut merasmikan surau angkat SPRM iaitu Surau An-Najah di kampung tersebut. Di akhir program, beliau menziarah anak-anak yatim dan miskin di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa.

Malah, Dzulkifli amat teruja  apabila dapat melihat suasana akrab warga SPRM dan rakyat.

Sunday, January 1, 2017

Udah-Udahlah Main Golf Di Luar Negara, Anda Bukan 'Professionals Golfers'...


SPRM minta penjawat awam henti main golf di luar negara.

Nasihat supaya penjawat awam di negara ini berhenti bermain golf di luar negara sangat baik.

Selain menyekat pengeluaran wang ke luar negara, ia juga mungkin boleh membendung perbelanjaan di luar kemampuan.

Bagaimanapun peringatan itu pastinya ada kaitan dengan rasuah yang berlaku di kalangan penjawat awam dilihat semakin membimbangkan dan beliau mengingatkan tindakan itu sebagai pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

Peringatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad bahawa SPRM sentiasa melakukan pemantauan dan mempunyai maklumat mengenai aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh penjawat awam baik tetapi tindakan yang sepatutnya dinilai.

Kalau yang berduit biarlah mereka mahu berubah angina sesekali di luar negara, apa lagi diketahui umum bahawa caddy ramai yang genit dan gedik.

“Saya ingin menasihatkan golongan penjawat awam ini agar menghentikan serta merta aktiviti mereka dan tidak perlulah mereka keluar negara untuk bermain golf khususnya di Indonesia dan Thailand.

“Di Malaysia sudah terdapat begitu banyak padang golf yang serba indah dan lengkap dengan prasarananya. Adalah lebih baik bagi mereka memakmurkan sahaja padang golf tempatan sambil membantu menjana hasil pendapatan pengusaha padang golf di negara ini.

Golf Untuk Diplomasi...perlu.
“They are not professionals golfers dan tidak ada keperluan untuk mereka ke luar negara semata-mata untuk bermain golf,” kata beliau dalam wawancara eksklusif bersama akhbar Mingguan Malaysia hari ini.

Katanya, sgelintir penjawat awam kadang kala lupa mereka seharusnya berkhidmat untuk rakyat dan menjadi pelindung kepada hasil dan kepentingan negara.

“Sekiranya jenayah rasuah dan penyelewengan ini tidak dibendung dan dibiarkan berleluasa ia bukan sahaja boleh menghakis keyakinan rakyat tetapi juga akan mengakibatkan kebajikan dan kepentingan rakyat terjejas,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Beliau menafikan pihaknya teragak-agak untuk melakukan siasatan melibatkan ahli politik.

Sebaliknya katanya ia hanyalah persepsi yang sengaja dimainkan oleh pihak tertentu yang mempunyai agenda masing-masing.

“Ia hanyalah persepsi semata-mata. Sebenarnya dakwaan itu sering dimainkan dan dikitar semula oleh mereka yang tidak ikhlas serta mempunyai agenda tertentu.

“Ia bukanlah satu perkara atau isu baru kerana telah pun diutarakan berulang kali sebelum saya menyandang jawatan Ketua Pesuruhjaya lagi,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata SPRM sentiasa bersedia menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan ‘tanpa memilih bulu’.
  
Katanya, setiap maklumat atau laporan akan disiasat serta diteliti kesahihannya bagi menentukan sama ada ia mempunyai asas dan elemen rasuah sebelum SPRM membuka kertas siasatan.

Jika hasil siasatan mendapati mana-mana individu terlibat dalam perbuatan rasuah dan ada bukti-bukti yang mencukupi, SPRM akan mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira jawatan, ideologi politik dan kedudukan orang yang disiasat itu, tegasnya.
Tambahnya, dalam memerangi rasuah, tidak wujud istilah ‘ikan bilis’ ,‘jerung’, ‘anai-anai’ atau ‘nyamuk’ kerana sekiranya mereka tidak dibasmi ia akan membawa kemudaratan besar kepada masyarakat.

“Justeru saya akan memastikan jentera SPRM dilancarkan sepenuhnya terhadap mereka yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa tanpa mengira personaliti atau jumlah terlibat.


Tegasnya, rasuah tetapi rasuah dan ia satu jenayah keji yang harus diperangi habis-habisan.

Monday, November 21, 2016

Apa Sudah Jadi Dengan Dengan Penjawat Awam VIP Kita...

Kes rasuah 14 November lalu.
Dengan adanya satu lagi kes rasuah terbaru di kalangan penjawat awam semalam, amat nyata kejadian itu kini tidak lagi menyelubungi ahli politik, sebaliknya lebih kepada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan dasar untuk rakyat.

Apakah bentuk pentadbiran awam negara atau negeri sekiranya orang yang diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dengan mudah mengumpul harta untuk kepentingan diri dan keluarga melalui jalan salah?

Bukan sahaja akan berlaku ketirisan dan kegagalan kepada projek atau program yang dilaksanakan tetapi rakyat pastinya marah kerana apa yang diharapkan mereka tidak akan pernah menjadi kenyataan.

Isu rasuah di kalangan penjawat awam  akhir-akhirnya semakin dilondehkan dan kerajaan sama ada Putrajaya atau negeri, tidak boleh melepaskan tangan dengan hanya amaran dan janji untuk bertindak semata-mata.

Amaran hendaklah diikuti dengan tindakan tegas.


Usaha pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilakukan segera dan janji Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad 13 Ogos lalu bagi memastikan perkhidmatan awam bersih daripada gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam masa terdekat, semakin menghampiri kejayaan.

Janji beliau ialah penumpuan akan diberikan kepada agensi penguatkuasaan, kawal selia, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan selaras dengan hasrat Program Tansformasi Kerajaan.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang siasat seorang pengarah agensi Persekutuan yang dikatakan memiliki wang simpanan jutaan ringgit di dalam beberapa akaun bank dipercayai diperoleh hasil kegiatan rasuah.

Kekayaan yang dimiliki seorang pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan itu dikaitkan dengan  menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah.

Kes rasuah di kalangan penjawat awam ternyata serius kerana pada 14 November lalu, seorang pe­ngarah sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk ditahan SPRM di Shah Alam, Selangor kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa dan menerima suapan sehingga memiliki wang simpanan berjumlah RM40.6 juta.

Siasatan polis mendapati sebanyak 10 buah kereta mewah dan lima utas jam tangan berjenama bernilai lebih RM3 juta milik tiga suspek termasuk bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) bergelar Datuk dirampas oleh SRM.

Kesemua kenderaan dan jam tangan tersebut dirampas untuk siasatan kerana disyaki dibeli daripada hasil suapan dan salah guna kuasa.


Menurut sumber, 10 kereta mewah tersebut adalah dua buah Range Rover dan masing-masing sebuah Bentley, Daimler, Aston Martin, BMW 4 Series, Mini Coo­per, Audi Q5 dan Audi Q3 yang bernilai antara RM150,000 hingga RM700,000 sebuah.

Jam tangan mewah yang dirampas pula adalah dua utas Frank Muller dan Bvlgari serta seutas Rolex yang kesemuanya bernilai RM230,000.

“Jumlah itu tidak termasuk nilai sitaan beberapa akaun bank berjumlah RM40.1 juta yang te­lah dibekukan sebelum ini. Difahamkan, beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik ketiga-tiga suspek yang nilainya masih belum diketahui juga bakal disita.

Ketika ini SPRM masih mengumpul bukti dan beberapa saksi juga sedang dikesan untuk diambil keterangan.

Tiga hari sebelum itu iaitu pada 11 November pula,  seorang pengurus besar sebuah syarikat GLC berusia 56 tahun yang memiliki sembilan buah rumah bernilai RM8 juta yang dipercayai dibeli secara tunai, empat buah kereta mewah termasuk sebuah motosikal berkuasa tinggi dan wang simpanan berjumlah RM2.5 juta ditahan SPRM di Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa juga kerana menerima suapan.

Pada Oktober lalu pula, SPRM mencatat sejarah tang­­kapan dan rampasan terbesar apabila 22 pegawai kanan termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan di Sabah ditahan berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion. Hampir RM60 juta wang tunai dirampas dalam operasi tersebut selain aset dan akaun yang dirampas serta dibekukan.

Apakah dengan kes besar seperti ini SPRM berpuas hati dan akan selepas ini akan berdiam diri daripada memperbetulkan perjalanan pentadbiran kerajaan dan agensinya demi kepentingan rakyat?

Dzulkifli sudah memberi jaminan bahawa pihaknya tidak mahu perkhidmatan awam dicemari dengan perbuatan rasuah dan ada pegawai kanan yang dilihat berkehidupan mewah melebihi pendapatannya serta mengumpul harta melalui perbuatan jenayah rasuah.

Baginya, golongan yang tiada maruah diri inilah yang menyebabkan keseluruhan perkhidmatan awam tercemar dan dipandang serong.

Di samping itu, peranan pegawai integriti akan diperkukuhkan agar integriti serta tadbir urus perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan. Ini akan mengurangkan ketirisan dan terus memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam mencapai satu tahap yang lebih memberangsangkan.

Kerana itu dalam kes terbaru membabitkan pengarah sebuah agensi kerajaan Persekutuan yang berusia 59 tahun, SPRM tidak akan membenarkan kejadian mengumpul harta-harta yang dilakukan sejak menyandang jawatan tersebut sejak beberapa tahun lalu.

Dilaporkan,  wang tersebut adalah hasil daripada aktiviti ra­suah yang diperoleh daripada kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk menjalankan projek-projek di bawah seliaannya.

“Bagi mendapatkan projek bernilai jutaan ringgit tersebut, kontraktor-kontraktor yang dilantik juga disyaki telah memberikan wang suapan di antara puluhan dan ratusan ribu kepada suspek.

“SPRM mula memantau suspek tersebut sejurus menerima maklumat berhubung pemilikan kekayaan luar biasa yang tidak setara dengan jawatan yang dipegangnya baru-baru ini,” katanya sumber yang dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Malah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki sduah  mengesahkan perkara tersebut.

Hasilnya? Tangkapan terhadap suspek akan dibuat da­lam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Friday, July 29, 2016

Ketua Pesuruhjaya SPRM - Dzulkifli Ganti Abu Kassim


Pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad bakal menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengumuman mengenainya dijangka dibuat Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini.

Difahamkan pelantikan Dzulkifli yang juga Pengarah Pasukan Penguatkuasa Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara telah dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, kelmarin.

Sumber memberitahu mStar Online, pelantikan Dzulkifli yang ditawarkan perkhidmatan secara kontrak itu berkuat kuasa pada 1 Ogos ini.

Menurut sumber itu, peguam berusia awal 50-an itu adalah antara calon yang dinamakan sejak beberapa bulan lalu untuk menggantikan Abu Kassim.

"Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim juga dikatakan calon berpotensi untuk mengisi jawatan berkenaan tetapi beliau telah menolak perkara itu.

"Jadi, seorang lagi calon adalah Datuk Dzulkifli dan tentunya beliau layak," kata sumber itu lagi.

Pada Rabu malam, berlangsungnya majlis perpisahan terakhir buat Abu Kassim yang dihadiri pegawai tertinggi SPRM.

Seterusnya pada petang Jumaat pula, akan diadakan majlis paluan berundur buat Abu Kassim, juga Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang mengikut jejak ketuanya menamatkan perkhidmatan di suruhanjaya itu.

Abu Kassim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010 dan memohon untuk tidak meneruskan perkhidmatannya mulai 1 Ogos ini.

Selaras subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim, 55, untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Bagaimanapun, Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020.

Sepanjang tempoh Abu Kassim menerajui SPRM, suruhanjaya itu telah melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras dengan visinya untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.

Di peringkat antarabangsa, Abu Kassim akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden International Association of Anti-Corruption Authorities dan Ahli Board of Governance, International Anti-Corruption Academy, Austria sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.