Monday, January 9, 2017

Rasuah - Balik Umrah Kelmarin, Bekas CEO TEKUN Didakwa Di Shah Alam Hari Ini


Bekas pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas dakwaan meminta suapan sebanyak RM36,000.

Dipercayai kes itu ada kaitan dengan tangkapan terhadap ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian bersama dua anaknya selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas jutaan ringgit bersama jongkong emas baru-baru ini.

Laporan media menyebut KSU Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman yang ditahan SPRM, Rabu lalu, atas dakwaan salah guna kuasa serta rasuah juga pernah menjadi ahli Lembaga TEKUN.


Berikutan itu, SPRM sedang menyiasat sama ada dua  individu terbabit mempunyai hubung kait dalam kes rasuah kementerian itu.

Difahamkan bekas CEO dan KSU itu berkhidmat di agensi kerajaan yang sama.

Menurut sumber, suspek bergelar Datuk berusia 62 tahun itu yang baru kembali daripada menunaikan umrah kelmarin, ditahan di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam, pada jam 5.15 petang semalam.

Suspek itu dipercayai menerima wang suapan itu sebagai dorongan mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang sebanyak RM360,009.08 pada 15 Januari 2015.

Sumber itu berkata, suspek pernah ditahan di Kelab Shah Alam, Selangor ketika menerima wang suapan RM36,000 iaitu 10% daripada hasil kutipan “hutang lapuk Tekun Nasional” bagi November 2014.

Beliau dikatakan menerima wang suapan itu daripada pemilik syarikat pemungut hutang itu pada 15 Januari 2015.

Suspek yang memegang jawatan itu sejak 2008 hingga 2014 melantik syarikat pemungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang tidak dilangsaikan peminjam melebihi dua  tahun.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan tangkapan itu dan suspek akan dihadapkan ke mahkamah di Shah Alam.

Agensi itu dalam emelnya semalam kepada media juga berkata seorang "Datuk", yang juga bekas CEO sebuah agensi kerajaan, akan didakwa di mahkamah Shah Alam hari ini.

Laporan Malaysiakini semalam tidak mendedahkan identiti bekas CEO dan KSU kementerian itu sehingga mereka didakwa di mahkamah.

SPRM sebelum ini dilaporkan merampas lebih RM5 juta dalam bentuk wang tunai dan jongkong emas berikutan tangkapan seorang KSU sebuah kementerian.

Agensi itu juga merampas sebuah kenderaan Toyota Estima dan geran 10 hartanah di Lembah Klang yang didaftarkan atas nama KSU berkenan dan anggota keluarganya.

No comments: