Showing posts with label Mahkamah. Show all posts
Showing posts with label Mahkamah. Show all posts

Wednesday, April 19, 2017

Rasuah Tanah - Exco Johor, 'Orang Tengah' Didakwa Di Mahkamah Hari ini


Selepas direman tujuh hari bulan lalu, exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi dijangka didakwa di mahkamah atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki, Abd Latiff yang bertanggungjawab terhadap portfolio perumahan dan kerajaan tempatan akan didakwa bersama seorang lagi individu.

Individu berkenaan dipercayai menjadi “orang tengah”.

"Saya boleh mengesahkan Abd Latiff bersama seorang lagi individu akan dituduh di mahkamah esok," katanya seperti yang dipetik menerusi laporan Berita Harian, semalam.

Abd Latiff bercuti daripada portfolionya sejak 1 Mac lalu berikutan siasatan terhadap skandal rasuah hartanah di Johor.

Beliau kemudiannya ditahan SPRM pada 9 Mac bagi membantu siasatan.

Pada 10 Mac lalu, dia direman tujuh hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM200,000.


SPRM dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana dikatakan memberi dan menerima suapan serta Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika sabit kesalahan dia boleh didenda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, dan penjara sehingga 20 tahun.

SPRM juga  dilaporkan telah merampas 26 buah kereta mewah dan membekukan 45 akaun bank berkaitan siasatan itu.

Kes itu juga menyaksikan enam orang ditahan, termasuk anak Abdul latif dan pegawai khasnya. Abdul Latif dibebaskan daripada reman pada 16 Mac lalu.

Tuesday, February 21, 2017

KSU, Anak Dituduh 'Minta Rasuah' Di Mahkamah Shah Alam Hari Ini?


Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang pernah ditahan dan disiasat oleh SPRM pada bulan lalu dijangka akan dituduh hari ini atas kesalahan bersubahat dengan anaknya dan meminta rasuah.

Turut dituduh hari ini ialah anaknya yang berusia 35 tahun atas kesalahan meminta rasuah untuk dirinya dan ayahnya.

Kedua-duanya ditangkap semalam dan dijangka akan dituduh di dua mahkamah esok iaitu di Mahkamah Jalan Duta dan Mahkamah Shah Alam.

KSU yang bergelar Datuk itu dan anaknya ditangkap kira-kira jam 10.30 pagi di pejabat SPRM Kedah.

Difahamkan KSU tersebut akan dituduh mengikut seksyen 16(a)(B) Akta SPRM manakala anak akan dituduh mengikut seksyen 16(a)(B) Akta SPRM dan seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.

Sebelum ini, kedua-duanya pernah ditangkap dan disiasat SPRM  kerana disyaki telah menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukan KSU tersebut bagi tujuan menerima rasuah sejak tahun 2010.

Mengikut siasatan yang dijalankan, KSU terbabit dipercayai telah menganugerahkan kontrak-kontrak kepada mereka yang berkepentingan sejak dilantik sebagai pegawai kerajaan negeri bermula tahun 2010.  

Sebelum ini KSU dan anaknya direman 11 hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan 15 Januari lalu.

Majistret, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan lelaki berusia 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 itu dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas reman ke atas mereka tamat hari ini.

Majistret membenarkan KSU itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 manakala anaknya RM25,000.

Kedua-dua mereka sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 4 hingga 11 Januari lalu dan disambung selama empat hari lagi sehingga 15 Januari.

Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas suspek dan dua anaknya bagi tempoh tujuh hari.

Sebelum itu,  mahkamah membebaskan seorang lagi anak lelaki KSU tersebut yang berusia 29 tahun dengan jaminan RM10,000 selepas siasatan ke atasnya selesai.

Ketiga-tiga individu itu yang ditahan pada 4 Januari lepas disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Terdahulu, KSU dan anaknya itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 11 pagi berpakaian biasa dengan wajah masing-masing ditutupi baju.

KSU itu ditahan dirumahnya di USJ, Subang, Selangor pada 8 pagi, manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu Pejabat SPRM, hari yang sama.

Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza. 

Sunday, January 15, 2017

Pengarah JANS Rayu Jaminan RM12 Juta DiKurangkan, KSU & Anak DiBebaskan...


Peguam bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Ag Mohd Tahir Mohd Talib dan isterinya, Fauziah Piut dijangka memfailkan rayuan terhadap perintah ikat jamin sebanyak RM12 juta yang dikenakan terhadap mereka pada 20 Januari depan.

Difahamkan, peguam tertuduh akan mengemukakan rayuan itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bersama surat tunjuk sebab.

Sementara seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian bergelar 'Datuk' dan seorang anaknya yang direman 11 hari bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, dibebaskan hari ini.

Mahkamah Magistret di Putrajaya membenarkan lelaki berusia 59 tahun dan anak lelakinya yang berumur 34 itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas reman ke atas mereka tamat hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim membenarkan KSU itu dibebaskan dengan jaminan RM200,000 manakala anaknya RM25,000.

KSU  dibebaskan Mahkamah Magistret di Putrajaya.
Dalam kes Skandal Air Sabah, pada hujung bulan lalu, peguam pasangan itu, PJ Pareira berkata beliau akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 3 Januari bagi pihak Ag Mohd Tahir yang didakwa dengan 12 tuduhan anti pengubahan wang haram dan Fauziah yang menghadapi 19 tuduhan yang sama.

"Kami berhasrat untuk meneruskan perkara ini kerana ia adalah mustahil bagi anak buah saya mendapatkan jumlah wang ikat jamin mereka," katanya.

Beliau berkata, Ag Mohd Tahir dan isterinya tidak dapat mencagarkan mana-mana harta mereka yang telah dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ag Mohd Tahir mengaku tidak bersalah terhadap lapan tuduhan memiliki RM56.9 juta dalam bentuk wang tunai dan dalam empat akaun bank, dua tuduhan memiliki secara salah enam kenderaan mewah dan satu tuduhan memiliki secara salah 86 jam tangan berjenama mewah.

Dia juga mengaku tidak bersalah bersama-sama isterinya, Fauziah, terhadap dua tuduhan memiliki secara salah barang kemas, manakala Fauziah dikenakan 19 tuduhan memiliki secara salah barang kemas dan beg mewah serta wang RM2.2 juta dalam pelbagai akaun bank.

Seorang lagi tertuduh, penasihat teknikal dan kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Peng, 62, yang digantung tugasnya, menghadapi satu tuduhan memiliki secara salah sebuah kenderaan dan tiga tuduhan memiliki secara salah wang tunai RM2.38 juta.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara dalam kes KSU yang dituh rasuah pula, beliau dan anaknya sebelum ini ditahan reman tujuh hari bermula 4 hingga 11 Jan lalu dan disambung selama empat hari lagi sehingga hari ini.

KSU ketika dibawa ke mahkamah pagi ini.
Mahkamah sebelum ini mengeluarkan arahan reman ke atas suspek dan dua anaknya bagi tempoh tujuh hari.

Pada Rabu lepas, mahkamah membebaskan seorang lagi anak lelaki KSU tersebut yang berusia 29 tahun dengan jaminan RM10,000 selepas siasatan ke atasnya selesai.

Terdahulu, KSU dan anaknya itu dibawa ke Mahkamah Majistret kira-kira 11 pagi berpakaian biasa dengan wajah masing-masing ditutupi baju.

KSU itu ditahan dirumahnya di USJ, Subang, Selangor pada 8 pagi, manakala dua anaknya ditahan selepas memberi keterangan di ibu Pejabat SPRM, hari yang sama.

Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza.


Ketiga-tiga individu itu yang ditahan pada 4 Jan lepas disiasat mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

mStar & Berita Harian