Friday, April 22, 2016

Apakah Indeks Persepsi Rasuah Gambarkan Keadaan Sebenar?


Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr Anis Yusal Yusoff menyangkal tanggapan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International (TI) menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku.

Tanpa menolak sepenuhnya penggunaan indeks itu, beliaumendakwa, pemarkahan CPI berdasarkan pandangan orang luar yang datang ke negara ini dan bukannya rakyat Malaysia sendiri.

“Kita kena faham bagaimana CPI dikaji. Ia daripada banyak laporan yang dibuat agensi serata dunia, yang berdasarkan pandangan persepsi orang luar yang datang ke sini. Mereka tidak ambil kira pandangan rakyat tempatan, takut ‘bias’.

“Ini indeks persepsi, berbeza dengan realiti. Tambahan pula ia persepsi orang luar. Misalnya ada yang pernah datang ke sini dan ditipu, selamanya mereka akan kata Malaysia negara yang menipu,” katanya dalam sesi wawancara 16 Feb lalu.

Pandangan DR Anis Yusal ini ternyata berbeza dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low kepada FMT pada 14 Februari lalu, yang menganggap kedudukan Malaysia dalam CPI memang mencerminkan keadaan sebenar Malaysia.

Menteri itu berkata, kedudukan Malaysia yang kian merosot dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) mencerminkan keadaan sebenar di negara ini.

Beliau berkata, CPI yang dikeluarkan oleh TI itu memang boleh dipercayai dan menjadi rujukan antarabangsa.

“Saya percaya kepada indeks oleh TI ini, ia digunakan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi FMT.

“Ia memang mencerminkan keadaan sebenar dalam negara. Memang indeks ini tentang persepsi, tetapi persepsi lahir daripada apa yang terjadi,” katanya sambil merujuk pepatah Melayu ‘masakan tiada angin pokok boleh bergoyang’.

Malaysia berada pada kedudukan ke-54 dalam CPI 2015, merosot empat kedudukan berbanding tahun sebelumnya.

CPI mengkaji sejauh mana sektor awam sesebuah negara dilihat sebagai korup, dan menggunakan perkaedahan yang berbeza bagi setiap tahun.

Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Presiden TI-Malaysia, Datuk Akhbar Sattar dilapor berkata, campur tangan kerajaan dalam institusi penguatkuasaan menyumbang kepada kemerosotan tersebut.

Antaranya adalah penukaran Peguam Negara dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, serta pemindahan pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketika diminta mengulas perkara itu, menteri yang bertanggungjawab dalam soal ketelusan dan integriti bersetuju dengan Akhbar dan menyifatkannya sebagai satu hakikat.

“Institusi penguatkuasaan dalam negara memang perlu bebas dan kuat,” katanya lagi.

Dr Anis Yusal, bekas Penolong Wakil Residen Pejabat United Nations Development Programme (UNDP) itu juga mendakwa, pengkaji yang merangka CPI iaitu Johann Graf Lambsdorff sendiri sudah tidak bersama TI kerana merasakan indeks itu digunakan terlalu berlebih-lebihan.

“Prof Lambsdorff yang merangka CPI sendiri letak jawatan dan tidak mahu teruskan, kerana rasa ia berlebihan. Tetapi tiada masalah untuk TI terus menggunakannya.

“Cuma apa tujuan kita ketika menggunakan indeks ini. Jika mahu pastikan apa masalah di Malaysia, ia hanya persepsi orang luar. Walaupun kita akui rakyat Malaysia juga ada persepsi sendiri,” tegasnya.


No comments: