Tuesday, September 30, 2008

KERANA ANWAR, YANG DI-PERTUAN AGONG DIPERSOAL

Gegernya semakin berkurangan.

Namun hasrat menabalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tetap berterusan.

Soalnya, hanya kerana Anwar, kuasa Yang Di-Pertuan Agong kini dicabar - apakah Baginda bersedia menegakkan demokrasi di Malaysia?

Selepas membaca rencana Profesor Dr Abdul Aziz Bari bertajuk “Yang di-Pertuan Agong atau Parlimen” disiarkan dalam Harakahdaily, Isnin 29 September 2008, jelas beliau bukan sahaja mempersoalkan penolakan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi terhadap cadangan Dato Seri Anwar agar diadakan satu persidangan khas parlimen.

Tetapi Aziz Bari turut mengemukakan persoalan apakah Yang Di-Pertuan Agong berani bertindak demi menegakkan demokrasi di negara ini.

Apakah hanya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri, Malaysia tidak demokratik?
Aziz Bari berpendapat cara pengundian di parlimen iaitu cara paling ideal dan lebih demokratik tidak akan berlaku kerana sistem politik Malaysia yang kurang terbuka dan tidak demokratik.
Beliau berhujah: “Kita boleh melihat dengan jelas betapa kerajaan Barisan Nasional berusaha sedaya upaya menghalang usul undi tidak percaya dibahaskan di Parlimen termasuklah dengan mengancam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)”.
Ini meletakkan usaha menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri hanya melalui tindakan Yang di-Pertuan Agong, yang dilihatnya akan terhasil daripada pembacaan literal Artikel 43(4) bersama dengan Artikel 40(2)(a).

Kata Aziz Bari: “Cara ini yang lebih cepat daripada cara pertama tadi (undi tidak percaya di Parlimen”.
Cara ini lebih praktikal menurut Aziz Bari kerana “ia boleh menghalang kerajaan daripada terus menerus menyekat perubahan. Tetapi cara ini amat bergantung kepada kemahuan Yang di-Pertuan Agong untuk memainkan peranan yang lebih proaktif.”
Katanya lagi, di luar Eropah terdapat Raja yang secara aktif membantu lahirnya demokrasi di negara mereka. Inilah yang berlaku di Sepanyol, Thailand dan juga sedikit sebanyak di Jordan.
Di akhir rencananya beliau bertanya: “Adakah Raja-Raja kita juga mahu turut sama seperti Raja-Raja di negara-negara itu?”
Beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan di sini:
1. Apakah Raja-Raja kita tidak berminat menegakkan demokrasi di Malaysia?
2. Sejauh ini apakah Raja-Raja kita hanya ‘memeluk tubuh’ dan membiarkan Malaysia tidak demokratik?
3. Wajarkah kita membuat pertanyaan dan andaian sedemikian ketika pihak yang ‘gilakan jawatan Perdana Menteri’ belum berbuat apa-apa?
4. Cabaran terhadap Yang di-Agong Agong dan Raja-Raja ini tidak lain dan tidak bukan hanya kerana usaha bersekongkol untuk menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kata Aziz Bari, walaupun Yang di-Pertuan Agong lebih banyak memainkan peranan simbolik, Baginda sebenarnya berkuasa untuk memainkan peranan yang lebih aktif dalam situasi yang perlu.
Apakah ini bermakna bahawa Yang Di-Pertuan Agong sejauh ini tidak memainkan peranan aktif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi?

No comments: