Wednesday, May 18, 2016

CIMB: Nazir Tak Salah Guna Kuasa Agih Wang Daripada Najib


Siasatan CIMB mendapati pengerusinya Datuk Seri Nazir Razak tidak menyalah guna kedudukan ketika mengagihkan AS$7 juta bagi pihak abangnya Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Dapatan daripada semakan itu menyimpulkan bahawa Datuk Seri Nazir Razak tidak menyalah guna kedudukannya sebagai ketua eksekutif kumpulan pada masa itu atau bertindak tidak sesuai terhadap sumber-sumber bank.

"Bagaimanapun, butiran siasatan yang dijalankan telah mengenal pasti kelemahan beberapa proses dan Lembaga Pengarah telah mengarahkan pihak pengurusan untuk memperbaiki serta mengukuhkan peraturan dan dalaman,” menurut kenyataan CIMB.
Penambah baikan ini sangat penting bagi mengelakkan kesilapan yang sama dari terus berulang di masa depan, ujarnya.

Nazir sebelum ini mengesahkan bercuti bagi membantu semakan dalaman berkaitan pemindahan wang AS$7 juta yang dilapor diterima daripada perdana menteri.

Nazir, dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-59 CIMB Group, mengesahkan beliau akan bercuti untuk memudahkan semakan dalaman itu dilakukan.

Lembaga Kumpulan CIMB Holdings Berhad dan CIMB Bank Berhad melantik juruaudit luar Messrs Ernst & Young dan mendapatkan penasihat undang-undang bebas bagi membantu semakan mereka.

Sebelum ini, Transparency International-Malaysia (TI-M) memuji langkah Nazir yang mengambil cuti sementara sambil menunggu semakan dalaman bagi membolehkan proses tersebut berjalan dengan bebas dan baik.

Menyifatkanya sebagai satu langkah yang betul, TI-M berkata, rakyat Malaysia yang lain sepatutnya mengikuti contoh yang baik seperti itu.

Mengulas lanjut, menurut kenyataan itu lagi, semua pihak mengalu-alukan kepulangan semula Nazir sebagai Pengerusi yang juga Pengarah CIMB ekoran selesainya siasatan tersebut.


"Lembaga pengarah komited untuk mengekalkan standard tadbir urus korporat yang tinggi dalam kumpulan dan semua keputusan mengenainya diambil kira dengan tegas untuk memenuhi tanggung jawab tersebut," jelasnya.


Monday, May 16, 2016

Perkemas Ketelusan Projek Elak Tragedi Tenggelam Berulang


Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan.


Barangkali banjir kilat yang menenggelamkan beberapa kawasan di ibu kota, Khamis lalu, membuka mata pelbagai pihak mengenai natijah daripada kepincangan aspek pelaksanaan andai benar ia terpalit dengan rasuah. 

Pegangan bahawa wang berkuasa membuatkan segelintir pihak 'tutup sebelah mata' meskipun segala kekurangan seperti spesifikasi pembinaan, kualiti dan ketahanan terpampang ketika pemeriksaan akhir terbukti mengundang padah apabila ratusan rakyat terkandas dalam banjir.

Sebagai ikon kota metropolitan dan dilengkapi sistem pengairan berkeupayaan tinggi, tidak mungkin Kuala Lumpur 'tumbang' akibat penangan hujan tanpa henti selama sejam atau kira-kira dua kali ganda daripada taburan biasa seperti dijelaskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Adakah keadaan akan lebih buruk sekiranya benar ramalan pakar alam sekitar bahawa La Nina yang menyebabkan taburan hujan melebihi paras normal melanda seluruh negara hujung tahun ini?

Jika sahih setiap pembinaan untuk sistem perparitan dan saliran ibu kota seindah di atas kertas projek, maka rakyat boleh menghela nafas lega kerana suhu Kuala Lumpur penghujung tahun mungkin sejuk dan sentiasa basah, tetapi bukan tenggelam.

Penilaian menyeluruh

Sebaiknya, penilaian menyeluruh perlu digerakkan mencakupi setiap rantaian pembinaan iaitu daripada peringkat pemberian tender kontrak sehingga sesebuah projek menerima sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Sikap pemberian tender kepada kroni perlu dihindarkan, sebaliknya syarat kelayakan untuk menerajui pembinaan wajib bersandarkan rekod kemampuan, selain berwibawa melaksanakan pembangunan tanpa wujud tindakan mengaut keuntungan lebih dengan mengabaikan mutu bahan.

Pemilihan syarikat kroni hakikatnya bakal mengundang padah kerana untuk 'mengenyangkan perut' semua pihak, kontraktor akhirnya terpaksa 'curi' sana sini sehingga saiz parit dikecilkan.

Jalan terbaik ialah kerajaan perlu memperkemas aspek ketelusan dalam pembinaan dengan mengadakan pemeriksaan mengejut dan berkala, malah penilaian projek bukan sekadar dilakukan selepas ia siap kerana ketika itu luarannya tampak cantik, tetapi sistem saliran di bawah tanah caca marba.

Sehubungan itu, arahan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kelmarin perlu dilaksana dengan membawa pihak tidak bertanggungjawab tanpa mengenal pangkat dan darjat kerana mengambil rasuah ke muka pengadilan.

Semua pihak, khususnya agensi pelaksana di setiap kementerian sewajarnya memandang arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Alam itu sebagai semboyan memerangi kepincangan mencatur pembangunan dek rasuah hingga menyusahkan rakyat.

Jangan hanya berdegar-degar membela nasib rakyat dengan menyiasat pihak yang terbabit untuk mengatasi banjir, tetapi akhirnya ratusan kereta bertukar menjadi perahu dan pemandu teksi tersadai di atas bumbung kenderaannya menepuk dahi memikirkan nasib keluarga.

Penulis ialah Presiden Transparency International Malaysia

Sunday, May 15, 2016

Banjir Kilat - Dakwaan Wujud Unsur Rasuah, DBKL Sedia Bekerjasama


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd NajibMohd berkata, pihaknya tiada masalah dalam memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Kami juga akan semak di pihak kami (DBKL), kebenarannya saya pun kurang pasti sebab perkara itu melibatkan banyak pihak seperti kontraktor projek binaan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Beliau menyatakannya  kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang acara 'KL Tower International Towerthon Challenge2016' di Kuala Lumpur Hari ini (15 Mei 2015)

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam projek pembangunan di ibu negara sehingga menyebabkan banjir kilat.


Semalam Dr Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan menyiasat kemungkinan wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata pihak berkuasa yang berwajib akan diminta menjalankan siasatan itu dan menyediakan laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik untuk menangani isu berkenaan.

"Yang terbaik ialah menyelesaikan masalah rakyat ini dalam jangka segera dan dalam jangka panjang supaya ia tidak berlaku lagi. Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana sistem dan infrastrukturnya cukup baik.

"Mungkin ada permasalahan dari segi pengaliran air hujan berlebihan. Saya akan membantu kementerian dan jabatan berkenaan untuk selesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga 2016 Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras, semalam.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, sehingga kini, DBKL masih mengumpul maklumat berkaitan infrastruktur dan tindakan efisien yang boleh dilakukan bagi menangani isu banjir kilat di ibu negara.

"Untuk tindakan jangka masa pendek, kami akan mempertingkatkan komunikasi antara bilik gerakan dengan kakitangan di lapangan, sekurang-kurangnya kami berada dalam keadaan bersiap sedia apabila berdepan dengan masalah ini," katanya.

Beliau berkata terdapat lima lokasi yang dikenal pasti sebagai kerap banjir iaitu di Jalan Duta, Bangsar, Bank Negara, Bukit Tunku dan Cheras.

Katanya, esok DBKL akan menyerahkan laporan berhubung isu banjir kilat kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan berbincang mengenai tindakan yang perlu diambil bagi mencari jalan penyelesaiannya.