Monday, February 27, 2012

Kemelut Kerajaan Negeri Kedah Pimpinan PAS Yang Retak Menunggu Belah

"... sama ada menerima atau menolak tawaran itu, ia bergantung kepada portfolio yang dinyatakan dalam surat terbabit. Mungkin juga semua yang hadir raptai pada hari ini, tidak hadir esok (majlis angkat sumpah).." - Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul

Kesian, kesian! Hanya lima Exco hadir raptai angkat sumpah

Apa dah jadi ni? Apakah majlis angkat sumpah pelantikan Exco esok akan ditangguh dan Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan berdepan 'tuntutan' letak jawatan?

Amat jelas kerajaan pakatan pembangkang Kedah yang diketuai PAS kini sedang bergolak hebat.

Malah, yang hadir pada raptai hari ini pun belum dijamin akan menerima tawaran daripada Menteri Besar itu.

Mereka yang hadir pada raptai hari ini terdiri daripada Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Agama, Pelajaran dan Koperasi), Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan) serta Abd Ghani Ahmad (Penerangan dan Pembangunan Usahawan).
Turut hadir ialah dua Exco dari PKR iaitu Lim Soo Nee (Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia) dan Tan Chow Kang (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan).

Mereka adalah penyandang jawatan, yang disebut-sebut akan dilantik semula bagi penggal 2012 menghadiri majlis raptai yang diadakan di Istana Anak Bukit pagi ini.

Kemelut politik di Kedah menyebabkan PAS Pusat terpaksa campur tangan dalam urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah yang berhadapan dengan kemelut berkaitan pelantikan anggota Exco.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub akan ke Kedah esok bagi mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco berkenaan.

Mustafa tetap menafikan berlaku cubaan menggulingkan Menteri Besar, namun tidak menolak berlaku perbezaan pendapat bagi menangani isu-isu tertentu dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah.

Pada pertemuan 17 Februari itu, Presiden parti telah dimaklumkan dengan isu yang berlaku dalam pentadbiran negeri dan Menteri Besar juga telah beri jaminan kepada Presiden, semua Exco yang berkhidmat akan dikekalkan. Namun berikutan beberapa perkembangan terkini hanya lapan anggota Exco kerajaan negeri Kedah akan mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit, esok.

Namun walaupun lima Exco dari PAS hadir hari ini, belum dapat dipastikan sama ada kesemua yang hadir hari ini akan ‘datang kembali’ esok.

Ini kerana setiap daripada mereka mahu melihat dahulu apa jawatan yang ditawarkan untuk mereka.

Baca dengan teliti apa kata Mohamed Taulan pagi ini. Menurutnya, sama ada menerima atau menolak tawaran itu, ia bergantung kepada portfolio yang dinyatakan dalam surat terbabit.

"Mungkin juga semua yang hadir raptai pada hari ini, tidak hadir esok (majlis angkat sumpah)," katanya.

Apakah ini menggambarkan antara Exco itu ada yang sudah menetapkan jawatan yang mereka kehendaki, bukannya bergantung kepada kuasa melantik Menteri Besar?

Tidakkah ini menggambarkan bahawa pemimpin parti PAS sebanarnya bukanlah yang jenis boleh menerima apa sahaja dan redha tetapi mereka jenis ‘menuntut' dan mendesak?

Kedudukan ini pastinya akan menjadikan kerajaan pembangkang di Kedah akan semakin terumbang ambing dan jika ada yang tidak puashati dan menuntut berbagai-bagai, kestabilan kerajaan pimpinan PAS akan membawa kepada keadaan lebih serius.

Mohamed Taulan dikatakan akan mendahului senarai Ahli Exco yang dijadual mengangkat sumpah jawatan esok selepas giliran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan akan diikuti oleh Amiruddin dan Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan dan Kebudayaan, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib.

Lima lagi nama yang turut disebut dalam raptai yang diadakan kira-kira jam 9 pagi tadi ialah Datuk Siti Ashah Ghazali (Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat), Datuk S Manikumar (Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam), Soo Nee, Abd Ghani dan Chow Kang.

Reaksi awal yang daripada kesemua Exco yang menghadiri majlis raptai, dilihat senada apabila menyatakan belum menerima surat tawaran rasmi dan dimaklumkan untuk menghadiri raptai menerusi panggilan telefon.

Amiruddin berkata, beliau belum melihat surat tawaran dan tidak pasti portfolio yang akan ditawarkan kepadanya.

“Setakat ini (pagi ini), saya belum menerima surat, surat kad kredit ," katanya dalam nada berseloroh.

Berseloroh-berselorohlah…tetapi yang nyata, bukan sahaja Azizan sedang diuji tetapi kepimpinan PAS Kedah turut diuji dan segalanya mungkin akan berlaku.

Apakah majlis angkat sumpah PAS esok akan ditangguh dan Azizan ditekan terus untuk melepaskan jawatan?

Apakah kerajaan Kedah yang 'membarah dari dalam' kini benar-benar retak dan menunggu belah?

Saturday, February 18, 2012

Jual Tanah - Guan Eng Harus Letak Jawatan Ketua Menteri

Umno Pulau Pinang semalam mendesak Lim Guan Eng supaya bersara dari politik dan meletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai bukti mengotakan janjinya berbuat demikian jika terdapat bukti bahawa penjualan tanah Bayan Mutiara di Georgetown itu telah dilakukan secara rundingan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata UMNO mempunyai beberapa bukti bahawa tanah tebusguna seluas 41.6 hektar itu telah dijual dengan harga RM1.1 bilion secara rundingan kepada syarikat pemaju hartanah Ivory Group.

"Antara buktinya ialah surat permohonan kepada pihak Bursa Malaysia untuk membeli dan memajukan tanah berkenaan.

Surat itu (Ivory Group kepada Bursa Malaysia) bertarikh 31 Mac 2011 sedangkan tender terbuka yang diiklankan oleh pemilik tanah berkenaan iaitu Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) tamat pada 31 Disember 2010.

"Ini dengan jelas menunjukkan urusan jual beli tanah di Bayan Mutiara itu adalah rundingan dan bukan secara tender terbuka, kita ada dokumen-dokumen berkenaan,"katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Katanya, tender terbuka untuk pembelian tanah itu tidak berlaku dalam erti kata sebenar kerana hanya terdapat dua buah syarikat yang menyertai tender itu.

Menurutnya kerajaan negeri juga tidak mempamerkan nama syarikat yang menyertainya dengan harga yang ditawarkan oleh mereka selepas tawaran tender tutup pada 31 Disember 2010.

Zainal berkata Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, telah mencabar bahawa beliau akan meletak jawatan dan bersara dari politik jika UMNO boleh membuktikan dakwaan bahawa tanah itu dijual secara rundingan.

Tanah yang dianggap sebagai "bernilai amat tinggi" itu adalah kawasan paling strategik kerana berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Pada perkembangan lain, Zainal Abidin berkata Umno Pulau Pinang turut mempersoalkan pembinaan rumah bertingkat setinggi 16 tingkat di Batu Kawan dekat sini kerana kerajaan negeri tidak membina rumah kos murah.

"Rumah yang akan dibina di kawasan berkenaan adalah RM72,000 hingga RM220,000, apa yang kita pertikaikan ialah mengapa tiada rumah kos murah yang berharga RM42,000 sedangkan projek itu dibina atas tanah PDC,"katanya.

Friday, February 17, 2012

PAS Digesa Keluar Pakatan Pembangkang

Kepimpinan tertinggi Pas digesa mengkaji semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Rakyat (PR) berikutan keengganan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataannya menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ).

Desakan itu dibuat oleh sekumpulan yang menggelar diri mereka sebagai ahli Pas peringkat bawahan, yang berkumpul di Masjid Shiekh Yussof di Jalan Datuk Keramat selepas Solat Jumaat, hari ini.

Ia diketuai bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan ketua pembangkang di dalam WSJ itu bukan sahaja biadab dan menyakitkan hati umat Islam di seluruh dunia malah ia jelas bertentangan dengan perjuangan Pas dalam menegakkan Islam.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Bagan Ajam berkata, kebiadapan Anwar harus dipandang serius oleh kepimpinan parti kerana ia jelas bertentangan dengan akidah Islam dan tidak boleh bertoleransi lagi.

"Cuba bayangkan sekiranya Anwar diangkat menjadi Perdana Menteri... sudah pasti dia akan mengiktiraf Israel dengan menjalinkan hubungan diplomasi dengan mereka. Boleh jadi satu hari nanti Kedutaan Israel akan dibuka di Kuala Lumpur.

"Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu mengkaji semula kedudukan kita (Pas) dalam PR. Jangan pedulikan rakan sekutu lain kerana ini adalah soal perjuangan Islam yang kita perjuangkan selama ini," katanya ketika berucap pada perhimpunan berkenaan.

Mohamed Hafiz berkata, pimpinan Pas tidak lagi perlu bertolak ansur dengan penasihat PKR ini kerana kenyataannya itu sudah menzahirkan sikapnya yang sebenarnya.

Menurutnya, udah tiba masanya Pas menarik diri dari PR dan memutuskan hubungan dengan Anwar serta PKR. Kenyataan yang dikeluarkanya itu amat biadab serta menoda kesucian umat Islam.