 |
Seorang pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar 'Datuk Seri' ditahan reman 16 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram. |
Gejala rasuah apa lagi di kalangan penjawat awam amat
tidak wajar.
Ini kerana mereka menyebabkan orang awam atau rakyat sengsara tatkala
segilintir daripada mereka yang tidak
bertanggungjawab itu hidup mewah di luar kemampuan sebenar mereka.
Perbuatan sedemikian sekali gus boleh menghakis
kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan imej kerajaan di mata dunia.
Sehubungan itu, Transparency International Malaysia (Ti-M) bimbang jika tidak
dibendung, penyakit ini akan menjadi barah yang mungkin tidak dapat dikawal.
Presidennya, Datuk Akhbar Satar mencadangkan agar masyarakat
disedarkan bahawa rasuah adalah jenayah luar biasa dan hukumannya tidak boleh
setara dengan jenayah biasa.
Mereka perlu dihukum semaksimum mungkin oleh pihak
mahkamah.
Berikutan itu, ketua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu mengawasi
dan peka terhadap ‘red flag’ gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang
hidup mewah berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan atau
pembekal, enggan mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.
Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anak-anak
buah dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan.
 |
Kakitangan TNB yang ditahan SPRM |
Akbar berpendapat, penjawat awam khususnya di peringkat
tertinggi juga perlu sedar bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat
kerana memikul tanggungjawab dan amanah yang penting.
"Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu
dengan mengambil langkah-langkah lebih efektif," katanya.
Akhbar menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penjawat awam yang
menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan peribadi baru-baru
ini, bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong oleh setiap golongan
masyarakat.
Menurut beliau, tindakan ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM untuk berfungsi lebih cemerlang.
Tetapi banyak lagi yang perlu dilaksanakan, katanya.
Baca kenyataan penuh Datuk Akhbar Satar berikut:
Rasuah
Penjawat Awam, Rakyat Sengsara
Oleh Datuk Akhbar Satar
Presiden Transparency International Malaysia (Ti-M)
TINDAKAN Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bersungguh-sungguh memburu penjawat awam
yang menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk mengumpul kekayaan peribadi
baru-baru ini, bukan sahaja harus dipuji, malah perlu disokong oleh setiap
golongan masyarakat.
Tindakan
ini memberikan keyakinan kepada rakyat terhadap kemampuan SPRM untuk berfungsi
lebih cemerlang. Tetapi banyak lagi yang perlu dilaksanakan.
Bermula awal tahun ini, masyarakat didedahkan dengan kes seorang penjawat awam
berpangkat Setiausaha Bahagian di Kementerian Belia dan Sukan menghadapi 32
pertuduhan rasuah membabitkan nilai RM38.4 juta.
Beberapa minggu lalu, tiga pegawai kanan termasuk seorang pegawai kanan Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bergelar Datuk Seri ditahan SPRM. Agensi itu
bertindak membeku akaun simpanan berjumlah lebih RM13 juta milik tiga penjawat
awam tersebut.
Terkini, seorang Pengarah Urusan bank milik kerajaan bergelar Datuk pula
ditahan kerana dipercayai terlibat penyelewengan dana berjumlah RM15 juta dan
akaun bank berjumlah RM8.1 juta telah dibekukan.
Kemewahan yang dimiliki oleh pegawai-pegawai ini merupakan suatu perkara yang
luar biasa. Ia tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah sektor penting yang diberi
tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan kerajaan terbaik kepada rakyat.
Ia sekali gus boleh menghakis kepercayaan masyarakat apatah lagi merosakkan
imej kerajaan di mata dunia.
Jika tidak dibendung, penyakit ini akan menjadi barah yang mungkin tidak dapat
dikawal. Namun kita percaya kerajaan sedang berusaha ke arah itu dengan
mengambil langkah-langkah lebih efektif.
Dalam hal ini, ketua kementerian, jabatan dan agensi perlu mengawasi dan peka
terhadap ‘red flag’ gejala rasuah seperti mempunyai kakitangan yang hidup mewah
berbanding pendapatan, terlalu rapat dengan pelanggan atau pembekal, enggan
mengambil cuti atau menolak kenaikan pangkat.
Ketua-ketua ini juga perlu memperlihatkan contoh yang baik kepada anak-anak
buah dengan menggunakan prinsip kepimpinan melalui teladan.
Selain itu, penjawat awam khususnya di peringkat tertinggi juga perlu sedar
bahawa mereka sebenarnya diperhatikan oleh masyarakat kerana memikul
tanggungjawab dan amanah yang penting.
Kita juga harus menganggap rasuah sebagai jenayah luar biasa dan hukumannya
tidak boleh setara dengan jenayah biasa. Mereka perlu dihukum semaksimum
mungkin oleh pihak mahkamah.
Harus diingatkan, pelaku rasuah bukan sahaja memberikan kesan
yang negatif kepada diri sendiri malah ada yang kehilangan keluarga dan kawan
karib.
Orang awam juga tidak terkecuali. Jangan sesekali cuba memberi rasuah kepada
mereka ini kerana mereka juga boleh didakwa. Sogokan di peringkat bawahan
inilah yang membuka jalan kepada gejala itu. Beri sokongan, kerjasama sepenuhnya
dan lapor kepada SPRM jika ada permintaan rasuah.
Dalam pada itu, susulan tangkapan ini, diharapkan SPRM akan terus mengenalpasti
semua penjawat awam yang terlibat dalam kegiatan rasuah, penggubahan wang
haram, salah guna kuasa dan hidup di luar kemampuan dengan mengambil tindakan
yang sewajarnya terhadap mereka.
Semua wang yang diambil secara tidak sah daripada masyarakat perlu dirampas
semula dan dipulangkan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan
mereka.
Adalah tidak wajar membiarkan rakyat sengsara tatkala segilintir penjawat awam
yang tidak bertanggungjawab hidup mewah di luar kemampuan mereka.
Malah misi SPRM membersihkan penjawat awam ini juga perlu diperluaskan ke
sektor swasta juga kepada ahli-ahli politik korup yang juga menjadi harapan
rakyat. Kajian Malaysia Corruption Barometer 2014 menunjukan bahawa parti
politik paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.
Bagaimanapun, bagi mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah serta
mendapat kepercayaan rakyat, usaha perlu dilakukan secara berterusan, ikhlas
dan menyeluruh tanpa pilih bulu.