Thursday, July 28, 2016

Goldman Sachs Disaman RM2.4 Bilion, Palitkan Dua Adik Najib


Goldman Sachs Group Inc yang sedang disiasat pendakwa raya Amerika Syarikat kini dilanda masalah lebih besar.

Malah bekas Pengarah Urusannya, Tim Leissner sekali lagi dikaitkan dengan urusan perniagaan yang 'meragukan' di Malaysia.

Dalam perkembangan terkini, saman lebih AS$510 juta (RM2.4 bilion) difailkan Primus Pacific Partners terhadap bank itu mengancam mengheret ahli keluarga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak walaupun tiada kaitan dengan 1MDB.

Leissner (paling kiri), Najib Razak and Tan Sri Azman pada September 2013.
Primus Pacific yang merupakan pemegang saham terbesar Malaysia EON Capital Bhd sebelum ia dibeli Hong Leong pada harga AS$1.6 bilion, mendakwa Goldman Sachs memujuk lembaga EON Capital mengupahnya sebagai penasihat kewangan, dengan memutar belit dan menyembunyikan konflik kepentingan.

Menurutnya, Goldman dan bekas pengarah urusan, Tim Leissner membelakangkan tanggungjawab mereka sebagai penasihat kewangan EON Capital, dengan menggunakan maklumat sulit untuk membantu Hong Leong membeli EON pada harga lebih rendah.

http://avn.innity.com/rt/?cb=1469174815&a=2379&e=8760
Salah seorang adik Najib berkhidmat sebagai ahli lembaga, manakala seorang lagi adiknya adalah pengerusi firma pelaburan yang dilantik sebagai penasihat bank itu, menurut Primus Pacific dalam saman itu yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Saman berkenaan difailkan ketika Goldman mendapat perhatian pendakwa raya Amerika Syarikat berhubung peranan dalam 1MDB.

Minggu lalu, pendakwa raya Amerika Syarikat mendedahkan lebih AS$2 bilion daripada AS$6.5 bilion yang dikumpul Goldman untuk 1MDB disalurkan individu yang ada hubungan politik ke dalam pelbagai projek, termasuk pembikinan filem Hollywood, pangsapuri New York, lukisan terkenal dan sebuah jet.

Leissner yang merupakan bekas naib pengerusi operasi Goldman di Asia, adalah bank utama dalam urus niaga 1MDB.

Beliau melepaskan jawatan di Goldman selepas dipaksa bercuti pada Januari untuk “kenyataan tidak tepat dan tidak dibenarkan”.

Minggu lepas, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman mahu menyita aset berkait syarikat milik Kementerian Kewangan itu berjumlah AS$1 bilion, atas dakwaan kecurian wang dan korupsi.

Dokuman penyiasat Amerika Syarikat turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, menggunakan wang yang dilesapkan daripada 1MDB. Ia juga mendakwa wang 1MDB sebanyak AS$11 juta disalurkan kepada ahli perniagaan Low Taek Jho bagi melangsaikan hutang judinya di Las Vegas.

Tuesday, July 26, 2016

Mahkamah Perintah Papagomo Bayar RM800,000 Kepada Anwar


Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati penulis blog Wan Azri Wan Deris, juga dikenali Papagomo, bersalah memfitnah bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, menolak rayuan Wan Azri membenarkan keputusan itu dicabar.

Richard berkata beliau mendapati tiada alasan bagi membenarkan rayuan itu.
http://avn.innity.com/rt/?cb=1469174815&a=2379&e=8760
Panel hakim Mahkamah Persekutuan turut disertai Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Wan Azri turut diperintah membayar Anwar RM10,000 sebagai kos, di samping pampasan RM800,000.


Pada Februari 2014, Mahkamah Tinggi mendapati penulis blog itu bersalah memfitnah Anwar kerana menuduhnya terlibat dalam skandal seks, dan memerintahkan pampasan RM800,000.

Mahkamah Rayuan kemudian mengekalkan keputusan itu.

Sebelum ini melalui Sir Azri, pada 20 Jun 2014, dilaporkan Mahkamah Tinggi pada hari berkenaan,  menolak permohonan Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa sebagai blogger kontroversi PapaGomo menangguh bayaran ganti rugi RM850,000 kepada Ketua Pembangkang (ketika itu) Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keputusan tersebut dibuat oleh pesuruhjaya kehakiman Rosilah Yop di kamarnya dan menetapkan kos sebanyak RM50,000.

Wan Azri yang didakwa sebagai blogger PapaGomo meminta Mahkamah Tinggi membenarkan beliau membayar ganti rugi bernilai RM850,000 secara ansuran kepada Anwar.


Menurut Wan Azri, beliau yang kini bekerja sebagai nelayan tidak mempunyai sumber kewangan tetap dan berharap untuk mengemukakan bayaran RM100 sebulan sehingga ganti rugi tersebut selesai.

Jelasnya lagi, beliau kini kesempitan dari aspek kewangan sehingga terpaksa menjual pegangannya dalam syarikat KL Pos Media And Production bagi membayar kos guaman untuk membela diri menentang Anwar.

Walaubagaimanapun, permohonan Wan Azri membuat bayaran secara ansuran dibantah peguam Shahid Adli dan mahkamah memerintahkan pihak plaintif dan defendan berbincang berhubung isu tersebut. Rayuan Wan Azri untuk menangguhkan bayaran ganti rugi kepada Anwar turut ditolak mahkamah dan beliau diperintahkan untuk membayar kos RM5,000 dalam tempoh dua minggu.

Keputusan dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop dihadapan Shahid Adli peguam Dato Sri Anwar Ibrahim dan Wan Azri selaku Defendan dan juga mewakili diri beliau sendiri.

Wan Azri ketika ditemui pemberita menjelaskan akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Pengurusan kes ditetapkan 24 Jun ini.


Februari lalu Rosilah yang menjadi hakim bagi kes tersebut mendapati Peguam N Surendran dan Lathifah Koya berjaya membuktikan kenyataan munasabah dengan mengaitkan Wan Azri sebagai Papa Gomo.

Hujah kedua-dua peguam itu mendakwa Wan Muhammad Azri menerbitkan kenyataan fitnah berhubung skandal seks Anwar pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013 menerusi laman web papagomo.com.

Sebelum ini sebuah blog melaporkan dengan tajuk, Papagomo, Bekas Koperal Polis Yang Pernah Dipenjara Kerana Rasuah mengatakan Naib Presiden PKR, N Surendran menempelak pentadbiran Perdana Menteri menyebar fitnah jahat menggunakan blogger upahan bagi menjatuhkan lawan politik mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Surendran percaya, serangan itu kerana UMNO BN sedar mereka gagal meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya.

“UMNOBN memperalat blogger mereka untuk sebar fitnah seperti dilakukan Papa Gomo terhadap Anwar dengan harapan sokongan kepada Pakatan Rakyat dapat disekat.

“Saya yakin, blogger fitnah ini mendapat kedudukan istimewa daripada UMNOBN untuk melakukan perkara keji kerana sehingga hari ini belum ada apa-apa tindakan undang-undang diambil ke atas beliau,” kata Surendran di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sidang media tersebut selepas peguam Anwar itu memfailkan saman fitnah Ketua Umum PKR berjumlah RM100 juta ke atas blogger Papa Gomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Saman itu setelah notis 48 jam untuknya memohon maaf dan menarik balik gambar fitnah lucah menyerupai Anwar dari blog itu gagal dilakukan.

Surendran berkata, antara bukti UMNO BN begitu mesra dengan blogger tersebut apabila berpeluang menaiki kapal selam KD Tun Razak pada Disember 2011.

Pengarah ICU P Pinang Mengaku Tidak Bersalah, Kes Didengar 30 Ogos


Seorang Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown, terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM50,818.50 tiga tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Mohd Nor Rejab, 54, semasa bertugas sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang didakwa memperakukan baucar bayaran bertarikh 17 Oktober 2013.

Baucar itu adalah bagi pembekalan 'Lab Coat' untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise yang mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada pertengahan 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang berjumlah RM24,656 melalui cek dengan tiada balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di Maybank Cawangan Penang Road di sini, pada 24 Oktober 2013.

Mohd Nor didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi tuduhan kedua itu.

Hakim Irwan Suaibon membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam A. Ashok dan Abdul Fareed Gafoor.