Tuesday, July 26, 2016

Pengarah ICU P Pinang Mengaku Tidak Bersalah, Kes Didengar 30 Ogos


Seorang Pengarah di Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Pulau Pinang, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Georgetown, terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan nilai keseluruhan RM50,818.50 tiga tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama Mohd Nor Rejab, 54, semasa bertugas sebagai Ketua Sektor Khidmat Pengurusan Pembangunan di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang didakwa memperakukan baucar bayaran bertarikh 17 Oktober 2013.

Baucar itu adalah bagi pembekalan 'Lab Coat' untuk pembantu makmal di seluruh sekolah Pulau Pinang bernilai RM26,162.50 kepada Syarikat Nur Ehsan Maju Enterprise yang mempunyai kepentingan terhadap dirinya.

Mohd Nor dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang pada pertengahan 2013 dan didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang berjumlah RM24,656 melalui cek dengan tiada balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di Maybank Cawangan Penang Road di sini, pada 24 Oktober 2013.

Mohd Nor didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi tuduhan kedua itu.

Hakim Irwan Suaibon membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri, manakala tertuduh diwakili peguam A. Ashok dan Abdul Fareed Gafoor.

No comments: