Thursday, June 23, 2016

PDRM, Cybersecurity M'sia Perlu Kerjasama Kesan Aktiviti Pedofil


Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia bagi mengesan aktiviti jenayah terancang seperti pedofil di negara ini.

Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, Datuk Akhbar Satar berkata mereka yang terbabit dalam aktiviti pedofilia ini menggunakan platform internet iaitu 'dark web', yang merupakan jaringan sejagat (wwww) dengan jaringan tindihan menggunakan internet awam menerusi perisian tertentu bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

"Segala aktiviti seperti gambar dan video mangsa pedofil dimasukkan ke dalam'dark web' dan banyak lagi aktiviti yang menyalahi undang-undang dibuat menerusi talian itu.

"Oleh itu, kaedah penyiasatan tradisional seperti soal siasat secara bersemuka tidak lagi berkesan dalam era globalisasi ini," katanya kepada Bernama selepas program Ruang Bicara Bernama News Channel yang bertajuk "Pedofil: Awasi Anak Anda" yang dihoskan Sherkawi Jirim di ibunegara malam tadi.

Selain itu, Akhbar mencadangkan pihak berkuasa menggunakan khidmat penggodam profesional di Malaysia untuk mengenal pasti penjenayah itu.

"Malaysia mempunyai banyak penggodam beretika dan tidak salah jika agensi penguat kuasa mendapatkan khidmat mereka untuk selesaikan isu ini," katanya.


Pada 5 Jun lepas, Richard Huckle, seorang warganegara Britain, dikenakan hukuman penjara seumur hidup sebuah mahkamah di London selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Media Britain melaporkan Huckle, 30, dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin berusia enam bulan hingga 11 tahun.

Huckle mengaku bersalah terhadap 71 kesalahan dan polis menemukan lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan Huckle, seorang jurufoto bebas, mungkin melakukan penderaan seksual melibatkan 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsa adalah daripada golongan miskin di Kuala Lumpur.

Wednesday, June 22, 2016

Pelan Integriti PDRM 2016-2020 Ke Arah Kepolisan Bertaraf Dunia


Elok sangatlah...banyak sudah yang dipersoalkan.

Kalau mahu  disenaraikan memang banyak perkara yang diperkatakan mengenai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Berikutan itu amat baik sekali ada pelan integriti untuk PDRM. tetapi ia mestilah dipatuhi bukan untuk publisiti semata-mata.

Kita hanya boleh berharap pelan meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah akan menjadi kenyataan.

Jangan jadi seperti pelan yang lalu – ada – tetapi kebanyakan rakyat Malaysia tahu apa yang sebenarnya berlaku dalam PDRM itu. jangan hanya meletakkan harapan yang tidak menjadi kenayataan.

Semalam dilancarkan Pelan Integriti PDRM 2016-2020 bagi memastikan misi mencapai standard perkhidmatan polis bertaraf dunia dapat dilaksanakan sebaiknya.

Khalid berkata pelan berkenaan merupakan kesinambungan kepada Pelan Integriti PDRM yang terdahulu.

Menurutnya,  penambahbaikan pelan ini bertujuan memastikan visi dan misi PDRM direalisasikan dalam mencapai matlamat utama PDRM iaitu memberi perkhidmatan kepolisan bertaraf dunia kepada masyarakat.

"Saya akur bahawa integriti adalah satu nilai penting kepada sesebuah organisasi seperti PDRM yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran.

http://bcp.crwdcntrl.net/5/c=5593/b=31525197
"Isu integriti bukan semata-mata merujuk kepada isu-isu salah laku atau rasuah tetapi ia turut merangkumi segala amalan positif dalam sesebuah organisasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani nota kerjasama PDRM dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Arkib Negara Malaysia dan Institut Integriti Malaysia serta pelancaran buku Kod Etika PDRM, Pelan Integriti PDRM 2016-2020 dan Manual Pematuhan Standard PDRM di Bukit Aman, di Kuala Lumpur.

Khalid berkata pelan berkenaan mengandungi enam elemen nilai teras iaitu sifat integriti itu sendiri, bermoral, beretika, keagamaan, kerohanian dan profesionalisme.

"Keenam-enam elemen ini adalah seiring bagi memberi sinergi bagi meningkatkan integriti dan pematuhan standard warga kerja PDRM," katanya.

Khalid berkata ke arah mencapai sasaran itu juga, pihaknya turut memeterai kerjasama strategik dengan tiga agensi, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Arkib Negara menerusi pelaksanaan pelbagai program.

"Menerusi usaha sama dengan SPRM, kami akan berkongsi kepakaran dan maklumat dalam aspek operasi, pencegahan dan latihan selain program meningkatkan integriti ke arah peningkatan kapasiti dan kemampuan membanteras jenayah rasuah.

"Usaha sama dengan IIM pula membabitkan program latihan di samping kajian penyelidikan meliputi kajian keberkesanan untuk melihat hasil program atau aktiviti yang dilaksanakan. Kajian pembangunan juga akan dilakukan dalam membantu meningkatkan integriti dan produktiviti warga pasukan," katanya.

Monday, June 20, 2016

SPRM Tahan Tiga Dalang Sindiket Daftar Nikah

Gambar hiasan
Tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung menerima rasuah bagi memudahkan pendaftaran nikah sempadan khususnya di Thailand.
Seorang daripadanya adalah pegawai Jabatan Agama Islam dan dua lagi adalah pegawai kerajaan berlainan agensi.

Sumber SPRM berkata, ketiga-tiga suspek lelaki itu berusia antara 30 hingga 43 itu ditahan semalam di sekitar Kuala Terengganu untuk diambil keterangan.

Menurutnya lagi, penahanan mereka sekali gus berjaya  membongkar sindiket pengeluaran sijil dan kad akuan nikah tidak sah.

"Suspek pertama yang berusia 43 tahun merupakan pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama ditahan di sekitar Kuala Terengganu kira-kira jam 12.30 tengah semalam.

"Manakala suspek kedua merupakan kakitangan kerajaan juga ditahan di sekitar negeri itu pada jam 5.30 petang bersama sejumlah wang bernilai RM1,300," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, suspek ketiga berusia 34 tahun ditahan sekitar jam 1130 malam.
"Turut ditemui wang tunai berjumlah RM1,300 pada suspek," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan terdapat sindiket yang memudahkan proses perkahwinan yang dalangnya merupakan kakitangan kerajaan.

Menerusi cara ini pasangan yang terdesak ingin bernikah tidak perlu lagi bersusah payah untuk berdepan sebarang prosedur perundangan tanpa memikirkan risiko.

Jelas sumber itu lagi, berdasarkan siasatan awal, sindiket dipercayai menawarkan bayaran sebanyak RM3,500 bagi setiap individu khususnya suami yang ingin berpoligami bagi mendapatkan dokumen pernikahan tidak sah tersebut.

"Tangkapan pertama dibuat selepas pegawai tersebut menerima bayaran akhir berjumlah RM1,000 bagi menyerahkan sijil dan kad akuan nikah kepada pasangan yang mendapatkan khidmat beliau.

"Sindiket ini juga menguruskan pernikahan mana-mana pasangan berkaitan di negara jiran tanpa perlu kebenaran isteri pertama atau melalui proses di mahkamah sekiranya ingin berpoligami.

Kedua-duanya kini ditahan untuk membantu siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesemua suspek akan direman jam 11 pagi ini di Terengganu.