Thursday, June 16, 2016

Penyelewengan LPG - Ikan Bilis Masuk Pukat, Jerung Berenang Sebebas-Bebasnya....


"..amalan rasuah termasuk membocorkan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca penyelewengan LPG terus berleluasa."

Isu penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bukan isu kecil. Ia memerlukan tindakan bersungguh-sungguh dan berterusan oleh pihak berkuasa, bukan bermusim.

Kejadian seperti itu mewujudkan kebimbangan bahawa kerugian lebih RM880 juta pada tahun lepas akan berulang pada tahun ini.

Memang pihak berkuasa bertindak, namun sejauh ini rampasan LPG yang cuba diselewengkan hanya kira-kira RM20 juta, selain menahan beberapa anggota sindiket sejak tahun lepas - dilihat dlam  jumlah yang tersangat kecil.

Dengan kata lain, kesn penguatkuasaan yang sekelumit berbanding dengan bencana ketirisan yang dialami kerajaan.

Janji kerajaan memang akan tangani dan perangi habis-habisan sindiket ini. Ini kerana kumpulan inilah yang menyebabkan persepsi seolah-olah kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai satu perkara yang amat penting. Itu cakap Menteri.

Hakikatnya,  kementerian bertanggungjawab tidak ada mekanisme yang sesuai dan berkesan untuk menanganinya.

Lebih memalukan, wujud dakwaan bahawa serbuan pihak berkuasa ke atas beberapa stor perniagaan yang menyelewengkan LPG didakwa hanya melibatkan individu peringkat bawahan atau ‘ikan bilis’ sahaja.

Berita Harian pada 19 Februari 2016 yang lalu pernah melaporkan bahawa pihak berkuasa membekukan 17 akaun bernilai RM7.4 juta milik pengarah dan pemilik sebuah syarikat berhubung siasatan kes penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi susulan operasi yang dijalankan

Operasi itu dikoordinasi oleh Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET), Jabatan Peguam Negara di Ipoh. Ia dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan Perak serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman yang dikoordinasikan NRRET ke sebuah stor LPG berlesen di Kawasan Perindustrian Ringan Seri Rapat, di Ipoh pada

Ia membabitkan rampasan tong gas LPG dan kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM1 juta, manakala jumlah subsidi yang disalahgunakan RM70,000. Rampasan di stor berkenaan membabitkan 1,631 tong berisi gas berkuantiti 12 kilogram (kg), 14kg dan 50kg dan 1,404 tong kosong manakala enam kenderaan dirampas adalah sebuah treler dan lima lori yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pembelian dan penjualan gas yang diselewengkan.

Kelmarin dalam serbuan terbaru di Kawasan Perindustrian Kuala Ketil, Kedah, tauke di sebalik perniagaan itu tidak ditangkap, sebaliknya hanya empat warga Myanmar yang ditahan.

Berikutan itu Persatuan Perlindu­ngan Pengguna Malaysia berkata, peniaga yang memiliki lesen LPG industri secara pukal yang menjadi dalang dalam sindiket masih lagi bebas.

Operasi yang dilakukan pihak berkuasa hanya membabitkan pemborong dan tangkapan hanya melibatkan pekerja sahaja tetapi ‘jerung masih bebas’.

Semalam, Presiden persatuan itu, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, pihaknya musykil mengapa perkara ini berlaku dan sehingga kini tiada seorang dalang pun yang ditahan. Ini yang kita maksudkan ‘tangan ghaib’ melindungi ‘jerung-jerung’ sehingga mereka berleluasa menjalankan perniagaan haram.

“Pihak berkuasa hanya fokus kepada tong gas berisi berkapasiti 12, 14 dan 50 kilogram sahaja tetapi tidak melihat kepada sindiket yang menjalankan ke­giatan menggunakan tong berskala besar seperti 14,000 kilogram.

“Malah, sindiket mampu me­ngaut keuntungan jutaan ringgit dalam tempoh sebulan dengan menjalankan perniagaan ini ke­rana membeli gas pada harga subsidi tetapi menjualnya kepa­da kilang-kilang pada harga industri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Firdaus kegiatan penyelewe­ngan LPG akan terus berleluasa sekira­nya pihak berkuasa tidak membanteras ‘tangan ghaib’ yang melin­dungi aktiviti haram tersebut.

Mohd. Firdaus menegaskan sekali lagi ba­hawa pihaknya hanya akan menyerahkan bukti berkaitan kegiatan penyelewengan LPG kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Perkara ini penting bagi membolehkan siasatan yang dijalankan secara telus dan membawa kepada penahanan individu tidak bertanggungjawab.

“Setakat ini, saya hanya me­ne­rima panggilan daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Pe­nguatkuasaan (EAIC) dan mereka meminta untuk berjumpa dalam masa terdekat bagi memboleh­kan siasatan dijalankan,” katanya.

Menghairankan, walaupun isu ini sudah dilaporkan berlaku kesekian lama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) masih belum mempunyai mekanisme yang sesuai dan mampu menangani persoalan ini.

Kementerian itu semalam mengumumkan akan memperkenalkan beberapa mekanisme baharu untuk membanteras isu ketirisan penjualan tong gas petroleum cecair (LPG).

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mekanisme itu hanya akan diumumkan selepas diluluskan oleh Kabinet tidak lama lagi.

"Saya telah memikirkan satu mekanisme baharu supaya selepas ini kami tidak akan beri peluang sindiket (penjualan LPG) ini melakukan keuntungan yang besar.

"Sebenarnya kepentingan yang kami berikan adalah untuk membantu rakyat tetapi sindiket yang mereka lakukan ini semata-mata untuk mencari keuntungan yang besar dalam tempoh jangka pendek," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Pengguna Bersama KPDNKK di Kuala Kangsar (pada kempen pilihan raya kecil ) semalam.


Tindakan yang lambat – mekanisme yang memerlukan kelulusan Kabinet sudah tentu mengambil masa dan kementerian itu hanya menunjukkan reaksi apabila ditanya oleh akhbar.

Hamzah menyatakan hasrat kerajaan itu mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Melayu semalam  mengenai sindiket penyelewengan bahan bersubsidi khususnya LPG terus berleluasa di negara ini.

Laporan akhbar itu menyebut amalan rasuah termasuk membocorkan maklumat operasi dan kutipan bulanan oleh sesetengah anggota agensi penguat kuasa didakwa menjadi punca penyelewengan LPG terus berleluasa.

Kenapa tidak ada tindakan terhadap pegawai dan syarikat terbabit walaupun sudah ada laporan?

Atau sekurang-kurangnya mendakwa mereka jika benar ada usaha memerangi habis-habisan gejala ini.

Jelas dalam isu ini, bukan gas yang bocor tetapi kebocoran (ketirisan ) yang berlaku ialah maklumat operasi dan wang negara RM800 juta setahun.

Kenapa kerajaan terus membiarkannya?

Wednesday, June 15, 2016

Apa yang tidak BERSIH di PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar


Gabungan reformasi sistem pilihan raya BERSIH semalam  mengeluarkan senarai dakwaan rasuah pilihan raya di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kebetulan, tiga daripadanya selari dengan dakwaan portal pro-BN MYKMU yang menyenaraikan dakwaan rasuah pilihan raya pembangkang.

Contoh yang diberikan oleh portal berkenaan ialah:

Minyak hitam motor percuma (Amanah/PKR)
Jual gula tanpa GST RM2/kg (PAS)
Bas percuma untuk penduduk Sungai Besar (PKR)
Bubur Lambuk - edar jam 1 tengahari (Amanah/PAS/PKR)
Cucian kereta percuma (Amanah)


Perkara itu, yang diedarkan bersama kenyataan medianya semalam,  termasuk pemberian sayur sawi oleh Pakatan Harapan (DAP dan sayur sawi) di Kuala Kangsar selain servis motosikal percuma oleh PKR dan PAS di Sungai Besar.

Bagaimanapun daripada 14 dakwaan yang disenaraikan oleh BERSIH, hanya lima melibatkan pembangkang, manakala selebihnya melibatkan BN.

BERSIH antaranya mendakwa BN, melalui parti komponen dan agensi kerajaan, memberi pelbagai perkara daripada makan malam, cabutan bertuah, arak, beras, baja, peralatan bertani, sehinggalah kepada bola dan bulu tangkis.

Kesemua kesalahan didakwa melanggar Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang menyebut pemberian dan tawaran wang atau balasan yang bernilai untuk mendorong pengundi adalah kesalahan rasuah.

Badan itu sekali gus menolak penjelasan Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) yang dibuat oleh seorang anggotanya Datuk Abdul Aziz Khalidin semalam.

Aziz berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melihat sebarang masalah dalam pengumuman bantuan khas RM500 kepada 388,111 pekebun kecil getah seluruh negara oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Razak semasa kempen di Kuala Kangsar.

Begitu juga dengan parti dalam komponen lain seperti MCA dan Gerakan yang mengagihkan beras kepada pengundi serta pembangkang memberi penyokongnya sawi dilihat masih tidak melanggar peraturan.

“Itu perlu lihat daripada aspek kempen pilihan raya masing-masing. SPR menjalankan pilihan raya mengikut peraturan yang sedia ada.

“Terpulang kepada tafsiran ahli politik masing-masing. Kita tidak nampak apa-apa masalah pun setakat ini. Tak nampak apa-apa yang melanggar peraturan pun,” katanya ketika ditemui di Kuaters polis di Kuala Kangsar.

BERSIH berkata kenyataan itu dilihat mengesahkan pemberian habuan dan imbuhan serta memberi gambaran bahawa bahawa “undang-undang pilihan raya tidak memberikan apa-apa makna”.

“Sebagai seorang bekas Hakim dan peguam, beliau seharusnya lebih arif dalam mentafsir peraturan-peraturan pilihan raya,” kata BERSIH.

BERSIH juga menuntut penjelasan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohamad Hashim Abdullah mengenai segala dakwaan-dakwaan kesalahan itu.

“Jika SPR masih gagal untuk memahami akta-akta atau peraturan-peraturan pilihan raya yang telah dilakukan, adalah lebih baik mereka meletakkan jawatan kerana gagal bertindak mengikut lunas undang-undang untuk melaksanakan pilihan raya bersih,bebas dan adil,” katanya.

Wednesday, June 8, 2016

Janji Percuma, Kenapa Pula Felcra Kena Bayar Berjuta-Juta Ringgit Untuk Menaranya?


Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad)  ialah sebuah agensi kerajaan ditubuhkan dengan tujuan membangunkan sektor luar bandar. Ia membantu penduduk menyertai aktiviti ekonomi negara bertujuan meningkatkan taraf hidup dan nilai kehidupan peserta.

Selepas membuktikan ia mampu menjadi sebuah agensi pembangunan rakyat luar bandar dan kini bergerak dalam sektor pembinaan, kejuruteraan dan perdagangan, Felcra diuar-uarkan akan mempunyai ibu pejabatnya sendiri yang tersergam megah.

Malah, seiringan dengan menara 35 tingkat pejabat, Felcra juga dikatakan akan mendapat untung daripada pembinaan sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) di Kuala Lumpur.

Malah, dilaporkan pada awal tahun lalu (2015), Felcra dijanjikan mempunyai ibu pejabat baharu itu tanpa mengeluarkan satu sen pun.

Sudah pasti mereka yang terlibat dengan Felcra secara langsung dan tidak langsung, berbangga dengan pencapaian dan apa yang akan dilakukan oleh Felcra itu.

Namun, apa yang terjadi sejak setahun lalu?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara Felcra itu pada bulan Mei 2015.
Semalam (7 Jun 2016), Malaysiakini mengaitkan Felcra dengan dua isu yang menuntut jawapan telus sama ada daripada kerajaan,  Felcra sendiri dan mereka yang bertanggungjawab terhadap pengurusan agensi itu.

Malaysiakini menyebut,  kini timbul persoalan bagaimana Felcra tanggung RM687 juta untuk pejabat yang sepatutnya percuma selain isu  percanggahan pemakluman dalam pelaburan agensi berkenaan.

Malaysiakini mengaitkan Felcra dengan sebuah syarikat pemaju iaitu kumpulan WZR Property Sdn Bhd yang dipertanggungjawabkan membiayai dan membina projek pembangunan campuran bagi pihak agensi itu.

Ia termasuk sebuah menara 35 tingkat pejabat, sebuah menara kediaman 43 tingkat, dan pusat membeli-belah di tanahnya di Kuala Lumpur. Dilaporkan Felcra pejabat baru itu akan dibina tanpa perlu membayar satu sen pun.

Surat daripada Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Feb 2015 menyebut : "Permohonan Felcra Bhd untuk melaksanakan pembangunan bercampur dengan kod RM550 juta... yang akan dimajukan oleh WZR, diluluskan memandangkan Felcra tidak perlu mengeluarkan sebarang dana untuk menanggung pembangunan projek ini.”

Kata Malaysiakini, menurut mereka yang biasa dengan perkara itu, Felcra akan mendapat 12 tingkat di menara pejabat dan sebuah dewan bankuet, manakala WZR akan mendapat semula pelaburannya dengan menyewakan seluruh ruang pejabat dan daripada jualan unit-unit kediaman.

Semuanya ketika itu berjalan dengan baik, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan projek yang dikenali sebagai Menara Felcra itu pada bulan Mei 2015.

Bagaimanapun setahun kemudian, segalanya tidak berjalan seperti yang dirancang.

Felcra bukan sahaja gagal mendapat ibu pejabat baru secara percuma tetapi sebaliknya terpaksa membiayai keseluruhan projek.

Persoalannya, apakah benar seperti dakwaan Malaysiakini  bahawa status WZR difahamkan sudah berubah daripada pemaju projek bertukar menjadi kontraktor yang diupah oleh Felcra.

Juga pakah benar pemaju itu tidak mempunyai wang untuk membiayai pembinaan itu.

"Apa yang berlaku kontraktor gagal memperolehi sumber pembiayaan daripada bank,” kata sumber yang menyedari perkara itu tetapi tidak mahu nama mereka disiarkan, dakwa Malaysiakini.

Malah,  WZR juga berhujah adalah lebih baik bagi Felcra membiayai projek itu sendiri selain Felcra mampu membuat keuntungan yang lebih sebagai pemaju hartanah bukan hanya sebagai pemilik tanah.

Bagi isu kedua, iaitu percanggahan pemakluman dalam pelaburan amanah saham melibatkan nilai RM150 juta,  Malaysiakini melaporkan pada  27 Mei 2016 lalu, Pengerusi Felcra Datuk Bung Mokhtar Radin mungkin memberitahu lembaga pengarah syarikat itu, dan MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) melalui maklumat bercanggah antara satu sama lain.

Dokumen dikatakan minit mesyuarat Felcra pada 24 November 2014 menunjukkan cadangan RM300 juta untuk pelaburan baru.

Daripada jumlah ini, hanya RM50 juta untuk amanah saham. Selebihnya RM200 juta diperuntukkan untuk pengurusan tunai dan RM50 juta lagi untuk deposit tetap.

Mesyuarat itu menyimpulkan bahawa terdapat risiko kerugian jika harga amanah saham jatuh dan “pengurusan perlu mendapatkan kelulusan daripada MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan)” sebelum membuat sebarang pelaburan.

Menurut Malaysakini, dalam surat untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Husni Hanadzlah, Bung bagaimanapun dikatakan mungkin menukar angka-angka pelaburan itu.

Pada 23 April 2015, Kementerian Kewangan memberikan lampu hijau untuk melabur RM150 juta dalam amanah saham, dengan syarat ia mesti selalu dipantau bagi mengelakkan risiko jika harga saham merudum.

Malaysiakini mendakwa ia dimaklumkan oleh satu sumber bahawa pelaburan amanah saham itu yang dibuat pada 18 Mei 2015 telah susut nilai sebanyak RM15 juta.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Bung Mokhtar enggan mengulas.“Saya rasa tak perlu untuk dijawab, ini perbuatan orang khianat,” katanya.

Isunya ialah apakah benar dakwaan Malaysiakini bahawa anggota parlimen Kinabatangan itu dikatakan menulis Felcra setuju melabur RM150 juta, bukan RM50 juta, dalam bentuk amanah saham?


Untuk menyokong klulusan itu, Bung Mokhtar didakwa melampirkan salinan minit mesyuarat bertarikh 24 November yang menyebut Felcra meluluskan pelaburan itu.

Bagaimanapun Malaysiakini mengakui ia tidak jelas sama ada Bung melampirkan dokumen sama yang dilihat Malaysiakini atau terdapat dokumen lain dengan angka yang lain.

Sehingga kini belum ada maklum balas daripada Felcra walaupun diminta oleh Malaysiakini.

Berbalik kepada isu hubungan syarikat pemaju WZR dengan Felcra, Malaysiakini melaporkan, WZR dikatakan  memberitahu Felcra bahawa ia akan memiliki aset bernilai RM1.1 bilion berdasarkan nilai pembangunan kasar projek itu (GDV) dan bukan hanya RM288 juta jika  Felcra membiayai sendiri pembinaan Menara Felcra.

WZR juga didakwa berkata Felcra akan mendapat hasil RM26.4 juta setahun daripada menyewa plot komersial dan dewan di pusat konvensyen itu, selain daripada wang mengutip bayaran tempat letak kereta.

Akhirnya Felcra bersetuju mengambil alih projek itu selepas mesyuarat pada 21 Januari tahun ini. Berikutan itu, Felcra kini dilaporkan memerlukan wang tambahan.

Malah, mengikut surat Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditujukan kepada Bung sebagai Pengerusi Felcra pada 12 April lalu, WZR kini adalah kontraktor projek berkenaan.

Ia dipertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pembinaan, manakala pembinaan menara itu telah diambil alih oleh Felcra Properties Sdn Bhd.

Surat itu juga menyatakan bahawa WZR akan dibayar modal permulaan sebanyak RM20 juta untuk kerja-kerja permulaan. Kontrak ditawarkan untuknya tidak akan melebihi RM687.5 juta. Ia akan dibayar secara interim berdasarkan pembangunan kemajuan.

Nyata sudah kini WZR daripada sebuah syarikat pemaju menjadi kontraktor.

Namun, menurut satu laporan Kumpulan WZR yang dilantik itu sebagai kontraktor utama itu akan mambangunkan projek yang meningkat kosnya sehingga RM 850 juta.

Satu lagi laporan menyebut untuk kerja asas dan piling, WZR menyerahkan kerja kepada anak syarikat Econpile Holdings Bhd iaitu Econpile(M) Sdn Bhd dengan nilai kerja berjumlah RM120.5 juta.

Menurut Malaysiakini, Bung Mokthar apabila ditanya mengenai perubahan itu berkata perkara itu "bukan satu isu".

“Sebenarnya tak ada isu, segala yang berlaku diputuskan dalam mesyuarat penuh BoD (lembaga pengarah) Felcra dan dipersetujuia oleh MKD (Menteri Kewangan Diperbadankan) selaku pemegang saham, yang lainnya tak dapat saya maklumkan kerana ia strategi perniagaan,” katanya.

Menurut Bung Mokhtar yang juga adalah ahli parlimen Kinabatangan, WZR memenangi projek Menara Felcra itu melalui tender terbuka. Telus?

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Malaysiakini melaporkan, Pengarah Urusan WZR Ahmad Kamal Kasani juga enggan mengulas ketika dihubungi, dengan alasan beliau berada di Mekah.

Malaysiakini juga telah menghubungi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan berkenaan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diaju soalan berkata beliau tidak nampak ada sebarang ‘salah laku’ dalam projek Menara Felcra. Tidak ada laporan aduan mengenainya.

Beliau juga mengatakan tidak mendengar sebarang ‘kekeliruan atau masalah’ dengan pembangunan berkenaan.


Persoalan kini ialah jika tiada salah laku atau apa-apa yang berkaitan perkara 'tidak betul' kenapakah  Malaysiakini sengaja menimbulkan  dua isu ini?

Bagi tujuan ‘kepentingan tertentu’ atau sengaja menggangu Bung Mokhtar kerana sebab-sebab Malaysiakini yang tersendiri?