Saturday, April 28, 2012

PAS Johor Bidas Pengerusi DAP Negeri, Isu Jawatan Menteri Besar

PAS Negeri Johor semalam membidas Pengerusi DAP Negeri Dr Boo Cheng Hau berhubung kenyataan yang "tidak sepatut dikeluarkan olehnya" berhubung kemungkinan bukan Islam dan bukan Melayu menyandang jawatan Menteri Besar Johor.

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, sebagai rakan dalamPakatan Rakyat (PR), DAP perlu mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan pertelingkahan sesama mereka.

"Undang-undang Tubuh Negeri Johor adalah jelas dimana jawatan Menteri Besar adalah hanya untuk pemimpin Melayu dan Islam sahaja. Kita tidak perlu mempertikaikannya. Ia jelas," katanya di Johor Bahru.

Beliau bercadang menemui Dr Boo untuk mendapatkan penjelasan lanjutdaripadanya. Dr Mahfodz mengulas kenyataan Dr Boo di akhbar Sin Chew Daily pada 17 April lepas yang berkata bukan Islam dan bukan Melayu di Johor boleh dilantik menjadiMenteri Besar jika mendapat persetujuan Sultan.

Semalam Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek mencabar pucuk pimpinan DAP Johor supaya tampil ke hadapan dan menjelaskan kenyataan Dr Boo itu kepada akhbarberbahasa Malaysia.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, DAP telah mengelirukan rakyat terutamanya masyarakat Cina.

Dr Mahfodz berkata, jika DAP tetap mahu meletakkan pemimpinnya sebagai Menteri Besar, parti itu perlu mencari seseorang yang beragama Islam dan berbangsa Melayu dari kalangan pemimpinnya.

Beliau mengakui kenyataan Dr Boo yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Skudai itu telah membangkitkan kemarahan orang Melayu di Johor dan hanya meningkatkan lagi syak-wasangka masyarakat itu terhadap DAP.

"Adalah kurang baik untuk beliau (Dr Boo) mengeluarkan kenyataan sedemikian.Kalau boleh, kita (pemimpin pembangkang) perlu mengelakkan daripada mengeluarkankenyataan-kenyataan sebegitu," katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap menghormati hak Pengerusi DAP Johor itu untuk bercakap mengenai isu tersebut.

Sementara itu, Dr Boo yang dihubungi oleh Bernama hari ini mengakui bahawa Sultan dan Raja-Raja Melayu mempunyai prerogatif dalam menentukan individu mana yang layak menyandang jawatan Menteri Besar.

"Sebagaimana yang berlaku di Perak pada 2008, dimana walaupun DAP mempunyai kerusi terbanyak, tetapi wakil PAS iaitu Datuk Dr Nizar Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Besar. Kita terima perkara itu," katanya

Monday, April 23, 2012

Kemelut Pelantikan YDP MAINPP Bukti Pakatan Pembangkang Tak Bersefahaman - Najib

Datuk Seri Najib Razak diiringi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) bersalaman dengan anggota BN pada majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Umum Peringkat Daerah Mengundi Pulau Pinang di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, sempena lawatan sehari Perdana Menteri di Pulau Pinang, semalam.

Kemelut pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) membuktikan tiadanya persefahaman antara parti-parti dalam pakatan pembangkang yang menjadi kerajaan di negeri ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pertikaian pelantikan itu menimbulkan banyak persoalan kepada pengundi mengenai bagaimana pakatan pembangkang mentadbir Pulau Pinang.

 "Ini (isu pelantikan) saya percaya akan menimbulkan banyak persoalan di kalangan para pengundi kita tentang perjalanan kerajaan negeri dan masa depan kerajaan negeri Pulau Pinang," katanya.

Najib bercakap kepada pemberita selepas menghadiri dua perjumpaan tertutup dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India dan Cina anjuran Kelab Penyokong 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di Georgetown semalam.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah berjanji akan memberikan jawatan tersebut kepada Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man jika beliau memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir dua tahun lepas.

Namun selepas kemenangan Salleh, kerajaan negeri Pulau Pinang melantik Abdul Malik Abul Kassim, anggota exco negeri, sebagai Yang Dipertua MAINPP dan Salleh sebagai timbalannya.

Atas desakan pelbagai pihak termasuk PAS, kerajaan negeri pimpinan DAP itu kemudian mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan lepas untuk memohon perkenan pelantikan Salleh sebagai Yang Dipertua MAINPP.

Friday, April 13, 2012

Gara-Gara Krisis PAS Boleh Tumbang Di Kedah - Salahuddin Ayub.

malaysiakini

Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pimpinan Menteri Besar dari PAS Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan tumbang sekiranya parti itu gagal menyelesaikan krisis kepimpinan yang memuncak Februari lalu, tegas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Itu keyakinan kita. Memang pada waktu itu saya tidak boleh menafikan, bahawa sokongan masyarakat atas pagar dan juga orang Melayu melihatnya dengan agak resah.

"Orang-orang bukan Islam juga melihat, tidak yakin kepada kerajaan negeri. Itu saya lihat serius sewaktu krisis itu berlaku," katanya.

Bercakap dalam temubual dengan Malaysiakini, ahli parlimen Kubang Kerian itu turut mengakui "teruja dan menerima tekanan yang berat" untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan ekoran dua exco Kedah enggan mengangkat semula sumpah semula ke jawatan itu.

Salahuddin mengulas berhubung hasil dapatan sebuah badan penyelidik bebas yang mendakwa tahap sokongan pengundi Melayu berada pada tahap 50-50 sewaktu krisis itu berlangsung dan masyarakat Cina kurang yakin dengan Azizan ekoran kegagalan DAP mendapat kerusi tambahan.

Dilaporkan dua exco itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh enggan mengangkat semula sumpah sebagai exco kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Azizan, menyebabkan PAS terpaksa mengadakan pertemuan lebih lima jam bagi menyelesaikan masalah itu di Kedah bulan lalu.

Selesai? Ambil masa jawab


Akhirnya kepimpinan PAS memutuskan supaya kedua-dua timbalan pesuruhjaya PAS negeri itu menerima semula jawatan tersebut. Pada 5 April lalu, mereka mengangkat sumpah semula sebagai exco tetapi portfolio mereka dikecilkan.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, selepas parti itu berjaya menyelesaikan krisis berkenaan, reaksi terhadap keputusan itu "amat baik dan sokongan kembali kepada landasannya semula".

"Jadi saya teruja. Saya rasa senario telah berubah. Cuma kita jangan pandang ringan bahawa inisiatif yang kita buat adalah untuk meyakinkan kembali mereka. Dan yang paling penting, semua pihak yang bertelagah, memegang jawatan kembali," katanya.

Didesak sama ada PAS berjaya menyelesaikan konflik itu, Salahudin kelihatan mengambil masa untuk menjawabnya.

"Saya rasa... Ia selesai. Itu keyakinan kita. Kalau ada perkara berbangkit, kita akan bincang balik. Itu cara dan kaedah (yang diamalkan)," katanya.

Diminta mengulas bukti penerimaan rakyat negeri itu ketika ini, Salahuddin berkata hasil turun ke masyarakat di negeri itu, "mereka sudah menerima" penyelesaian krisis itu sehingga ada yang mengucapkan terima kasih kepadanya.

'Kofi Anan PAS'

Mengulas tanggapan umum yang mendakwa penyelesaian yang dibuat untuk meredakan krisis daripada berlarutan, Salahuddin berkata perkara itu tidak timbul perkara tersebut jika semua pihak bersikap jujur dan percaya kepada hakikat perjuangan.

"Kita orang parti, kita orang perjuangan, kalau kita rasa, apa yang kita buat itu baik sama ada kita terpaksa mengalah, dan terpaksa menerima keputusan itu. Disiplin itu ada dalam jemaah.

"Apa jua keputusan yang dibuat oleh parti atau mana-mana parti dan organisasi, yang penting adalah (akur) keputusan pimpinan. Itu kunci untuk mencapai segala penyelesaian," katanya.

Salahuddin - yang digelar 'Kofi Annan' di kalangan pimpinan PAS ekoraan 'misi damainya' itu - berkata tugas orang tengah bagi menyelesaikan konflik dalam PAS khususnya di kedah, merupakan pengalaman kali keduanya.

Sebelum ini, beliau diminta menjadi orang tengah untuk bertemu dengan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan supaya parti itu mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membincangkan 'dua tiga kerat pemimpin' yang bermasalah dalam parti.

Akhirnya muktamar itu dibatalkan dan digantikan dengan satu seminar khas di Taman Melawar, Gombak pada 2009.