Saturday, September 5, 2009

HISHAMMUDDIN HUSSEIN MENGECEWAKAN

Oleh Jelapang (Khamis, 03 Sept 2009)

"Saya lihat sudah ada penambahbaikan situasi sekarang berbanding dahulu. Namun begitu, saya nyatakan kesediaan saya untuk membantu mana yang difikirkan perlu kalau ada perkara-perkara tertentu yang perlu dibereskan.

"Sama ada melibatkan isu politik atau kerajaan dengan kerjasama Datuk Seri Hishammuddin dan Menteri Besar...lepas hari raya atau bila masa yang sesuai." - Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin.

Petang tadi Muhyiddin berada di Hulu Terengganu untuk bertemu pucuk pimpinan Umno Terengganu. Apa mesej Muhyiddin kepada Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Hishammuddin Hussein dengan kenyataan tersebut?

Mesejnya jelas. Hishammuddin gagal sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu dan Hishammuddin juga gagal merungkai masalah Umno Terengganu.

Kehadiran Muhyiddin mengambarkan betapa tenat dan kritikalnya masalah dalaman Umno Terengganu.

Mengikut laporan Bernama petang tadi: "Bagaimanapun bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas setiausaha badan perhubungan Umno Terengganu yang juga anggota Dewan Dewan Undangan Negeri Ajil Datuk Rosol Wahid dan sebahagian besar wakil rakyat BN tidak kelihatan pada perjumpaan di pejabat Umno Bahagian Hulu Terengganu itu."

Dan tidak salah kita katakan bahawa Idris dan Rosol juga mempunyai mesej yang jelas kepada Muhyiddin - bahawa mereka tidak menghormati Timbalan Presiden dan tidak ada kompromi dalam menyelesaikan kemelut Umno Terengganu kecuali Menteri Besar Ahmad Said disingkirkan.

Pada hakikatnya Idris tidak lagi layak dan mempunyai kredibiliti untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar apabila bekas setiausaha politik beliau ditangkap menyebarkan sms berunsur mengugut kepada Adun Umno yang menyokong Idris.

Ramai yang mendakwa penyebaran sms tersebut merupakan antara pelan terancang golongan tertentu untuk menjatuhkan Ahmad Said. Begitu juga dengan khabar angin yang dikatakan sengaja diada-adakan oleh golongan ini kononnya 9 Adun akan bertindak meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Realitinya, tidak mungkin Adun Umno ini akan menyertai PKR atau Pas. Apalah habuannya dengan menyertai pembangkang kerana berada dalam Umno lebih bermakna sekiranya mereka diberi jawatan dan diberi tanggungjawab menyelaras projek-projek bernilai jutaan ringgit di Terengganu.

Khabar angin kononnya mereka akan menyertai PKR hanya ugutan untuk memancing pucuk pimpinan Umno agar menyediakan "gula-gula" untuk memastikan Umno terus berkuasa di Terengganu.

Dengan keadaan Umno cukup lemah ketika ini, bukan satu perkara yang mustahil sekiranya pucuk pimpinan menyelesaikan masalah dalaman ini dengan menghadiahkan jawatan-jawatan penting dalam kerajaan kepada golongan penentang Ahmad Said ini.

Formula ini bukan formula baru dalam Umno. Sudah ramai pemimpin Umno berjaya menggunakan strategi mengugut ini untuk kepentingan diri dan pimpinan Umno pula sanggup berkompromi dengan sikap sebegini.

Itulah sebabnya Umno kini melayari laluan MCA yang kini menuju era kemusnahan.

Tuesday, September 1, 2009

MALAPETAKA YANG KITA SEMUA INGIN ELAKKAN

ANALISIS OLEH ROZAID A. RAHMAN (mStar)

APA yang sedang berlaku sekarang di Seksyen 23 Shah Alam jika tidak ditangani dengan baik dan sempurna boleh membawa kepada malapetaka yang kita semua tidak ingini. Di negara berbilang kaum seperti Malaysia, nampaknya orang-ramai masih tidak mahu belajar daripada peristiwa masa lalu dan bagaimana api kebencian mudah disemarakkan atas nama kaum dan agama.

Sementara kita memahami sensitiviti masyarakat Islam yang mendiami Seksyen 23 Shah Alam akan kegelisahan mereka tentang rancangan untuk membina sebuah kuil Hindu di kawasan mereka, kita juga pada masa yang sama tidak boleh membenarkan emosi dan perasaan kebencian menguasai diri sehingga mencetuskan situasi dan keadaan yang tidak terkawal di negara ini.

Dalam konteks ini, adalah baik pandangan dan suara Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) diberi perhatian oleh kita semua demi perpaduan dan masa depan negara ini.

ABIM dalam kenyataan akhbarnya telah menasihati masyarakat Islam di negara ini supaya berhemah dalam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dalam apa juga persoalan, terutama yang membabitkan isu-isu agama.

Ini bagi memastikan supaya segala tindak-tanduk di dalam berbantah tidak menyumbang kepada terpudarnya imej agama Islam yang amat menekankan rukun hidup yang aman dan harmoni di antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Dalam hubungan ini, kata ABIM, sebarang tindakan yang boleh ditanggap dan ditafsirkan sebagai boleh menghina simbol-simbol kesucian agama lain hendaklah dijauhi. Ini kerana, ia boleh mengundang reaksi yang buruk terhadap keharmonian beragama dan menajamkan lagi sikap prejudis di antara penganut agama.

Malah ABIM telah menekankan bahawa prinsip akhlak dan adab Islam di dalam menangani pertikaian berkaitan persoalan melibatkan agama hendaklah dihayati oleh masyarakat Islam di negara ini berdasarkan Firman Allah di dalam surah al-An’am, ayat 108 yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas kerana tiada pengetahuan (mengenai Allah). Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia memberitahu mereka kepada mereka apa yang mereka telah lakukan”.

Sebagai sebuah organisasi gerakan belia Islam yang besar dan utama di negara ini, ABIM telah menyatakan rasa sedih mereka dan memandang berat tindakan Jawatankuasa Bertindak Pembantahan Pembinaan Kuil Seksyen 23 Shah Alam yang membawa kepala lembu yang telah disembelih semasa majlis bantahan yang diadakan di hadapan bangunan SUK Selangor selepas sembahyang Jumaat baru-baru ini.

Pada pandangan ABIM, tindakan seumpama itu boleh ditanggap dan disalahtafsir oleh penganut agama Hindu sebagai satu tindakan menghina agama mereka oleh masyarakat Islam.

ABIM juga menasihati umat Islam supaya merujuk kepada ahli agama yang arif di dalam membuat apa juga bentuk tindakan yang secara langsung membabitkan agama lain. Ini bagi memastikan kesucian agama Islam dan kehormatan umah sentiasa terpelihara.

Jadi jalan penyelesaian kepada perkara ini menurut pandangan ramai pihak termasuklah ABIM ialah supaya umat Islam di Shah Alam dan Kerajaan Negeri Selangor mempercepatkan perbincangan berhubung dengan isu ini supaya ia tidak berlarutan dan boleh mengundang salah faham yang berterusan.

Adalah lebih murni dan baik amalan dan budaya dialog diamalkan sehingga ke tahap tertinggi di dalam menangani isu-isu seperti ini kerana ia boleh mengelak daripada emosi dijadikan alat untuk memercikkan api kebencian dan kemarahan.

Malah lebih banyak yang boleh dicapai di meja rundingan secara adil, saksama dan penuh kewarasan daripada ’menyemarakkan api’ di tepi jalanan. Ini terbukti apabila Mahyuddin Manaf yang mengetuai jemaah yang memprotes di hadapan pejabat SUK Selangor berkata, membawa kepala lembu ke tempat protes tidak terdapat di dalam agenda mereka. Malah beliau mengakui, ia adalah perbuatan individu yang tidak puashati dengan isu tersebut.

Ini adalah bukti yang amat nyata bahawa protes jalanan tidak dapat mengawal perasaan dan emosi para pesertanya dan perlakuan-perlakuan yang ditunjukkan berbanding dengan meja rundingan yang mana segala-galanya boleh dibicarakan secara teratur dan jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, kita akan mengetahui apakah ia perbuatan yang mendapat restu atau tindak tanduk di luar meja rundingan.

Inilah bezanya duduk berunding dengan memprotes di jalanan.

Sepertimana ABIM, ramai yang percaya dan yakin masih terdapat ruang untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku dalam suasana yang lebih kondusif dan bukannya dalam situasi tegang yang dikhuatiri boleh mencetuskan perbalahan antara kaum dan agama. Inilah perkara terakhir yang kita perlukan buat masa ini.

Apatah lagi insiden Jumaat lalu telah memberi modal kepada agensi-agensi berita luar negara untuk melaporkan kejadian itu dalam nada yang sangat negatif malah dikaitkan pula dengan kegagalan negara mencapai keharmonian di ambang menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52.

Mereka pantas mengaitkan apa yang berlaku di Seksyen 23 Shah Alam itu dengan insiden 13 Mei 1969.

Ya, Islam adalah agama persekutuan dan oleh kerana Islam adalah agama rasmi negara lah maka kepentingan umat Islam perlu diambil kira oleh pihak berkuasa khususnya pihak berkuasa tempatan di dalam membuat perancangan tentang kedudukan rumah ibadat sesuatu agama agar peristiwa sepertimana yang berlaku di Seksyen 23 Shah Alam tidak berlaku lagi.

Pada masa yang sama, hak penganut agama lain untuk mempraktikkan amalan mereka juga perlulah dipelihara sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Ingatlah, api yang telah membakar tangan tidak meninggalkan apa-apa melainkan kesakitan dan kecacatan semata-mata.

Saturday, August 29, 2009

ERTI KEMERDEKAAN BERKURANGAN

Daripada Utusan Malaysia

SEWAJARNYA sambutan kemerdekaan kali ke-52 tahun ini, kita raikan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana 31 Ogos 2009 jatuh pada bulan Ramadan yang mulia.

MerdekaSaban tahun, tarikh keramat ini datang dan pergi sebagai memenuhi takwim - tanpa kita sedar berapa ramai rakyat Malaysia yang benar-benar mengerti nilai kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

Tahun ini misalnya, bilangan kenderaan dan bangunan yang mengibarkan Jalur Gemilang boleh dikatakan berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Memang betul persoalan yang mengatakan adakah dengan hanya mengibar Jalur Gemilang sahaja kita dianggap patriotik. Malah banyak lagi cara dan kaedah untuk kita menterjemahkan rasa sayang kita pada negara ini.

Namun berapa ramai daripada kita yang menghayati erti kemerdekaan ini dan sedar akan kepentingan untuk mempertahankannya.

Tahun ini kita menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-52 dalam suasana ekonomi, politik dan sosial yang agak bercelaru dan merisaukan, baik di peringkat global mahupun di peringkat nasional.

Masalah kegawatan ekonomi terus menghantui dunia termasuk negara kita, bilangan pekerjaan yang masih terhad, masalah kenaikan harga barang serta kekurangan bekalan terus menjadi satu persoalan yang sukar untuk dijawab oleh kita semua.

Kekalutan pentas politik negara juga semakin hari semakin merisaukan semua pihak. Bilangan pilihan raya kecil yang semakin bertambah, ahli politik yang begitu mudah dan gemar untuk keluar parti dan isytihar bebas serta isu syurga dan neraka semakin menghimpit dan menghantui masyarakat Malaysia.

Ini ditambah lagi dengan isu kontrak sosial dan perpaduan kaum yang makin hangat diperdebatkan sana sini.

Dari segi sosial pula, isu kadar jenayah yang semakin meningkat, masalah sosial remaja yang makin menjadi-jadi dan pengakuan terbuka wanita Islam minum arak dan rela disebat di khalayak ramai, seolah-olah terus menghiris nilai-nilai ketimuran masyarakat kita.

Apakah contoh-contoh di atas (sekadar beberapa contoh) mencerminkan budaya masyarakat kita yang boleh dianggap sudah benar-benar memahami erti kemerdekaan yang kita nikmati sekarang.

Secara ikhlas saya katakan, bilangan rakyat Malaysia yang memahami erti dan nilai kemerdekaan semakin berkurangan.

Dalam satu wawancara khas Mingguan Malaysia tempoh hari, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan kerisauan beliau tentang perasaan cintakan negara yang semakin menurun terutama di kalangan generasi muda sekarang. Saya percaya ramai di kalangan masyarakat kita sependapat dengan Tun.

Apakah tindakan mempersoalkan hak istimewa orang Melayu, ikatan kontrak sosial yang telah terbentuk sekian lama, berdemonstrasi secara haram, membangkitkan isu syurga dan neraka serta budaya keluar parti dan lompat parti boleh dijadikan kayu pengukur untuk menilai erti kemerdekaan kita yang ke-52?

Tema tahun ini cukup sinonim dengan hasrat Perdana Menteri iaitu ‘1Malaysia Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’ namun sejauh mana kita menghayati tema dan erti kemerdekaan yang kita kecapi selama ini.

Tema yang hebat ini seharusnya dihayati, disemai dan dipupuk bersama-sama dengan rasa sayang kepada negara ini dalam sanubari setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Atau apakah perlu kita memperkenalkan satu lagi slogan baru demi memupuk erti kemerdekaan dan rasa sayangkan negara di kalangan masyarakat misalnya Rakyat Bersatu Negara Diutamakan.

Sekali lagi pilihan di tangan kita, yang mana tidak mustahil kemerdekaan ini diragut suatu hari nanti jika kita tidak mengerti, menghayati dan mempertahankannya.