Showing posts with label runtuhan. Show all posts
Showing posts with label runtuhan. Show all posts

Friday, June 5, 2009

STADIUM RUNTUH: HERET SEMUA YANG TERBABIT KE MUKA PENGADILAN

Malaysia-Instinct.com (4 Jun 2009)

Oleh Lebah Kota

Bayangkan jika kejadian bumbung runtuh melibatkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu berlaku ketika ada sebarang acara sukan atau aktiviti lain sedang berlangsung.
Tidakkah negara mungkin menyaksikan kematian yang mencecah ribuan orang. Mungkin menjadi tragedi yang terbesar dalam sejarah negara ini.
Kini, selepas kejadian itu berlaku, maka bermulalah episod tuding menuding jari melibatkan banyak pihak. Satu amalan yang biasa di negara ini.
Apa yang paling memeranjatkan, dalam espisod ini, terbongkarlah juga bahawa kecacatan dalam pembinaan struktur bumbung stadium berkenaan sudah dikesan semasa
Sukan Malaysia (Sukma) berlangsung tahun lalu.
Bayangkan yang merasmikan sukan itu adalah yang Dipertuan Agong sendiri dan baginda telah dibenarkan berada di bawah struktur bumbung yang merbahaya ketika majlis perasmian berlangsung!
Gila ke apa orang-orang yang terbabit dalam penyelengaraan dan pengendalian stadium tersebut. Tuanku Agung telah diletakkan dalam situasi yang merbahaya seperti itu.
Kerajaan Negeri Terengganu pula cuba menjadi hero dengan mengatakan JKR lambat bertindak memperbaiki kerosakkan berkenaan. Kononnya aduan telah dibuat kepada pihak itu.

JKR negeri pula tampil membuat kenyataan tidak pernah menerima sebarang laporan mengenai keretakan stadium, struktur bumbung senget atau masalah lain di bangunan itu daripada mana-mana pihak. Kenyataan itu dibuat oleh Pengarah JKR Terengganu, Rosly Zainal.

Maka bermulalah episod bangau oh bangau.

Paling menyakitkan hati ialah kenyataan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia, Senator Datuk Roslan Awang Chik yang mengatakan "Memang ada sedikit tidak elok pada struktur bumbungnya," (Utusan Malaysia 4 Jun- Muka: 9).

Bumbung stadium itu runtuh dan kerosakkan stadium mencecah 50 peratus, Roslan boleh kata memang ada sedikit tidak elok. Sedikitkah itu?

Soalnya kalau benda itu sudah dikesan, maka stadium itu sepatutnya sudah ditutup terus awal lagi.

Ini tidak, hendak tunggu dulu Pesta Sukan Staf Institusi Pengajian Tinggi Awam yang sepatutnya bermula hari ini hingga 13 Jun ini berakhir baru hendak mulakan kerja-kerja pembaikkan.

Apa punya sikap jenis ini? Mengambil risiko atas nyawa orang lain.
Seperti yang Lebah Kota nyatakan awal tadi, jika bumbung itu runtuh semasa pesta itu berlangsung macam mana?

Kepada kerajaan yang ada hari ini, jangan buat main. Kalau berlaku tragedi melibatkan nyawa, maka Barisan Nasional (BN) boleh cakap bye-bye sajalah pada pilihan raya umum akan datang.
Tiada maaf bagi mu.

Projek Kompleks Sukan Gong Badak ini semua dalam kategori projek ekspres yang diwujudkan di negeri itu. Dan pihak-pihak yang mengaut keuntungan luar biasa adalah kaum-kaum kroni Perdana Menteri sebelum ini.

Sepatutnya mereka semua ini diseret ke muka pengadilan dan diberikan sekeras-keras hukuman.

Memang adakalanya kerajaan ingin membantu kontraktor Melayu untuk berjaya, Namun kalau inilah kualiti kerja kontraktor Melayu, elok dasar itu difikirkan kembali.

Kita bercakap soal nyawa di sini, bukan soal wang ringgit semata-mata.
Mungkin Tuhan masih merahmati semua dengan menjadikan bumbung berkenaan runtuh beberapa hari sebelum pesta sukan berkenaan.

Ada pengajaran yang perlu kita ambil dari apa yang berlaku.

Penulis amat berharap agar tidak ada usaha untuk melindungi mana-mana pihak dalam kejadian di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu.

Heret semua yang terbabit tanpa mengira kedudukan mereka. Jangan ada sebarang pilih kasih dalam isu ini.

Inilah masanya gagasan rakyat diutamakan itu dipertontonkan.

Walaupun tidak ada nyawa yang melayang, namun kejadian itu harus dijadikan pengajaran untuk semua.

Thursday, December 11, 2008

INGATAN, SEORANG HAMBA DI KAKI BUKIT ANTARABANGSA

wan_jtk dalam tranungkite.net hari ini cuba membuka minda apabila bertanya kenapa harus aku beri sumbangan? Mereka dah kaya, dah berpunya kereta, rumah dan isteri yang besar.

Kalau susah upahlah kontraktor untuk tolong, kalau dah kaya jangan buat cara orang miskin.

Beliau merujuk kepada mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.
wan_jtk seterusnya berkata: “Hartaku sekelumit.... mereka rugi, tapi masih selamat berkoyan-koyan duit dalam bank. Kenapa perlu tolong!!!

Bertambah menyampah dekat semua ribu-ribu mangsa hanya sebab seorang insan menjerit-jerit menyalahkan orang lain. Rasakan kesusahan mangsa berembang yang menderita.”

Katanya, perasaan itu diolah dari pembacaan saya di tranungkite.net tentang perasaan forumer-forumer yang bengang dengan insiden-insiden yang tak berkenan di hati hasil lagak beberapa titik nila di runtuhan bukit antarabangsa.

“EH!!!! Sejak bila pula rakyat malaysia meraikan dendam sengketa antara yang miskin dan yang kaya? Teruk benorr yer kualiti sosial di Malaysia ni. Sang kaya yang beberapa peratus di bukit itu di "padan muka" atas dosa mereka memacak istana di lereng bukit.

Akibatnya yang susah dan merana teruk di sarang merpati bertingkat itu turut terpalit mendapat bala dari kita yang juak dan muak dengan perangai beberapa titik nila itu.

“Rakan-rakan semua, ada seorang insan juga yang mempunyai banglo mewah di lereng bukit di tempat berlainan di kuala lumpur ini........ insan itu juga pemimpin kamu yang kamu segani selama ini. Kenang-kenangkanlah bila mengutuk insan lain, adil-adilkanlah.

Selami dahulu perasaan orang yang mendapat ujian dan musibah walau miskin, kaya, zalim atau baikkah mereka sebelum ini. Kerana ada orang yang kaya dan mempunyai banglo mewah, mungkin jahil tentang kemudaratan ini, tapi mereka mungkin banyak amalannya di sisi Allah, “ kata wan-jtk.

Menurutnya, kerana kita orang yang berjiwa besar, kita harus bantu orang yang susah demi menyebarkan sunnah dan ajaran yang murni tinggalan para rasul. Kalau tak percayakan satu saluran, InsyaAllah akan ada saluran yang lebih jujur dan mendapat kepercayaan kita.

Anggap sahajalah sama perasaan orang yang menjerit dan menyalahkan pihak yang menolong itu sama gelojak dan perasaannya dengan mangsa yang menangis dan bertempik di runtuhan berembang. Mereka mempunyai emosi dan hanya Allah yang tahu betapa rapuhnya emosi itu jika di uji. Fahamilah!!!

Dalam hal berkaitan ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad, berkata kerajaan tidak bercadang memberi sebarang pampasan kepada mangsa dan penduduk Bukit Antarabangsa yang terjejas akibat tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo dan mengorbankan empat nyawa, Sabtu lalu.

Sebaliknya, katanya, kerajaan hanya memberi bantuan kebajikan kepada mangsa bagi meringan beban mereka.

Beliau berkata, pendirian kerajaan mengenai pembangunan di lereng bukit jelas iaitu tidak membenarkan sebarang bentuk pembangunan di kawasan berisiko.

Menurut beliau, sebarang keputusan berhubung perkara itu tertakluk kepada kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab memberi kelulusan di kawasan mereka.

"Bagi Kerajaan Pusat, kita hanya bagi bantuan kebajikan ihsan. Pendirian kerajaan juga jelas, perkara ini tidak sepatutnya berlaku, kita sudah beri amaran dan nasihat, sepatutnya PBT ambil tindakan segera (menangani masalah dari awal)," katanya semalam.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri membantu mereka mencari hartanah yang boleh dibeli untuk kediaman baru tetapi belum memutuskan membayar pampasan.