Showing posts with label Mustafar. Show all posts
Showing posts with label Mustafar. Show all posts

Thursday, May 5, 2016

Bank Muamalat, Institusi Perbankan Kelima Tandatangani Ikrar Integriti Korporat - SPRM


Bank Muamalat Malaysia Bhd menjadi institusi perbankan kelima dan organisasi ke-906 menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di negara ini bagi menzahirkan komitmen membanteras rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata kesalahan rasuah melibatkan industri korporat adalah aspek yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan dasar pembanterasan rasuah secara lebih efektif.

"Di SPRM kami percaya rasuah diambil kira sebagai punca daripada kegagalan institusi dan bukannya keruntuhan moral individu.

"Membina satu sistem yang utuh dan institusi yang seimbang adalah cara terbaik memerangi rasuah," katanya dalam kenyataan, 3 Mei lalu.


Pada majlis menandatangani CIP yang berlangsung di Kuala Lumpur itu, Mustafar mewakili SPRM, manakala Bank Muamalat diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Redza Shah Abdul Wahid. Ia disaksikan Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Ia bersempena sambutan Hari Integriti bank itu yang turut menyaksikan majlis menandatangani ikrar dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mustafar turut berharap lebih banyak organisasi terutamanya institusi perbankan tampil menandatangani CIP memandangkan integriti dan tadbir urus yang baik adalah aspek utama yang perlu diberi keutamaan oleh setiap organisasi selain keuntungan.

Sementara itu, Mohd Munir (gambar kanan) berkata Bank Muamalat telah membangun dan melaksanakan pelbagai polisi dan prosedur dalam memerangi rasuah melibatkan aspek tadbir urus korporat bagi membasmi budaya rasuah dalam kalangan pegawainya, pelanggan dan vendor.

Antara inisiatif yang dibentuk termasuk memastikan pematuhan terhadap CIP, mengadakan program kesedaran, mengukuhkan proses dan prosedur berkaitan rasuah dan pemantauan aktiviti pegawai-pegawai dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Bank Muamalat Malaysia Bhd bersedia untuk disenaraikan di Bursa Malaysia jika para pemegang sahamnya bersetuju dengan langkah berkenaan.


Ia sejajar hasrat para pemegang saham yang disifatkannya sentiasa mencari jalan untuk menambah nilai pegangan mereka, termasuk langkah penyenaraian itu.

"Jika kita berdepan dengan pilihan langkah korporat (penyenaraian) itu, sudah pasti kita perlu menanganinya. Malah, perkara itu pernah dibangkitkan sebelum ini.

"Kita adalah bank kecil yang perlu berkembang, sama ada secara organik atau penggabungan dan pengambilalihan (M&A)," kata Dr Munir.kepada pemberita selepas bank berkenaan memeterai Ikrar Integriti Korporat (CIP), sempena majlis berkenaan.

Bank Muamalat adalah anak syarikat DRB-HICOM Bhd dengan kepentingan sebanyak 70 peratus manakala selebihnya dipegang sayap pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd.

DRB-HICOM disyaratkan supaya mengurangkan pegangannya kepada 40 peratus sebagaimana ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Muamalat masih dalam rundingan BNM berhubung perkara itu selepas cadangan penggabungannya dengan Malaysia Building Society Bhd gagal dimuktamadkan.

Mengulas lanjut, Munir menegaskan bahawa para pemegang saham adalah pihak paling tepat untuk menjawab isu berkenaan.

"Pada masa ini, keutamaan bank ini adalah yang melibatkan isu operasi perniagaannya," katanya mengulas tempoh disyaratkan bagi mematuhi ketetapan BNM.

Menurutnya, langkah penyenaraian dan M&A itu akan menyaksikan pencairan pegangan saham bank berkenaan.

Sementara itu, Mohd Redza menegaskan usaha penyenaraian itu perlu memberi manfaat kepada para pemegang saham dari segi nilai selain keadaan pasaran yang wajar serta kondusif.

"Pemegang saham dan bank akan meneliti kedua-dua faktor ini. Ada ramai pemegang saham...apa yang berlaku adalah keputusan mereka dan mereka jugalah yang akan memutuskan tempoh (untuk penyenaraian)," katanya.

Mengulas prestasi pasaran, Mohd Redza berkata bank itu mampu berdiri secara sendiri.

"Lebihan pembiayaan bank ini adalah sebanyak RM15 bilion dan ia ada peluang untuk berkembang di pasaran," katanya.

Beliau menjangkakan pertumbuhan pembiayaan yang sederhana iaitu antara enam hingga lapan peratus bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Mac, 2017 berbanding 10 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebahagian besar pertumbuhan itu akan dipacu oleh pembiayaan pengguna iaitu sehingga 60 peratus diikuti pembiayaan kepada sektor korporat. Kita juga dalam proses melaksanakan aspek pendigitalan dan e-dagang.

"Keadaan pasaran yang diunjur lebih perlahan tahun ini juga menjadi masa terbaik untuk bank ini mengukuh serta merangka semula strategi bagi tahap seterusnya," katanya.

Sementara itu, mengulas majlis hari ini, Munir berkata usaha menandatangani CIP itu memaparkan deklarasi Bank Muamalat memerangi amalan rasuah dan ke arah persekitaran perniagaan berteraskan prinsip Syariah.

Sejak beberapa tahun lepas, Bank Muamalat mewujudkan serta melaksanakan pelbagai dasar serta prosedur tadbir urus koporat dan antipenyelewengan termasuk antirasuah yang bertujuan mengekang amalan salah laku itu dalam kalangan kakitangan, pelanggan dan vendornya.

Sunday, April 24, 2016

Lebih 1,000 Belia Terlibat Rasuah Sejak 2013 - Mustafar


Seramai 1,045 daripada 1,902 individu yang terlibat dalam kegiatan rasuah sejak 2013 adalah dalam kalangan belia yang berumur 40 tahun ke bawah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali (gambar) berkata golongan belia yang terlibat dengan jenayah kolar putih itu terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya termasuk profesional.

"Mereka (belia) telah menetapkan dalam pemikiran bahawa memberi rasuah adalah tidak dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Justeru, perkara ini perlu diubah daripada peringkat sekolah lagi," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Forum Perdana bertajuk 'Bila Rebung Menjadi Buluh' dan menutup majlis Wira Anti Rasuah (WAR) di Tanah Rata di Cameron Highlands, kelmarin.

Mustafar berkata kefahaman mengenai bahaya rasuah perlu diperluaskan kepada masyarakat khususnya pelajar sekolah agar ia dapat difahami dengan lebih jelas seterusnya dipraktikkan ketika bekerja kelak.

Mustafar juga berharap program yang dijalankan SPRM dapat membendung belia daripada terjerumus ke kancah jenayah rasuah dan seterusnya melihat pengurangan dalam statistik tangkapan belia pada masa akan datang.

Ketika ditanya mengenai dakwaan penduduk Cameron Highlands bahawa terdapat pegawai penguat kuasa dalam Op Gading meminta rasuah, Mustafar berharap penduduk tempatan tampil membuat laporan kepada SPRM.

Sekiranya penduduk mempunyai maklumat tentang kegiatan rasuah, mereka tidak seharusnya menyebarkan surat layang atau menggunakan media sebagai cara untuk menyalurkan maklumat, katanya.

Beliau berkata pemberi maklumat tidak perlu bimbang akan keselamatan masing-masing kerana mereka dilindungi mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Cameron Highlands Abu Bakar Mohd Hussain berkata program WAR yang berlangsung selama dua hari mulai semalam antaranya melibatkan pelajar sekolah, guru, orang awam serta pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau percaya program itu dapat membimbing generasi akan datang untuk menjalani kehidupan berteraskan integriti.


Sumber - Bernama