Mingguan Malaysia (12 September 2010)
Sejauh manakah pendekatan diplomasi dengan Indonesia memberikan hasil dan mengangkat maruah Malaysia?
Sejauh manakah pula keseriusan pemimpin Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono membanteras sekian banyak siri demonstrasi anti Malaysia di Indonesia termasuk tragedi pejabat kedutaan kita dilempar najis dan Jalur Gemilang dipijak dan dibakar baru-baru ini?
Tragedi terbaru pada 23 Ogos lalu yang dilakukan oleh Kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) membuktikan Susilo tidak serius memuliakan keakraban dengan Malaysia. Susilo tidak memperlihatkan sedikit pun keberanian untuk bertegas membanteras demonstrator gila bangsa Indonesia mahu mengganyang Malaysia.
Ternyata pendekatan diplomasi kita untuk mengatasi masalah anti Malaysia gagal sama sekali. Rundingan demi rundingan hanya membuang masa dan membohongi rakyat seolah-olah keadaan di sana sudah reda. Padahal gerakan anti Malaysia di Indonesia sedikit pun tidak berkurangan.
Pendekatan kita mendepani oportunis politik seperti Susilo yang mementingkan masa depan politiknya dan demonstrator gila serta bebal sangat lembut. Maka tidak hairanlah kalau sehingga kini kaedah meja rundingan yang kita ambil tidak berjaya.
Malaysia juga seperti tidak bertegas bahawa gerakan anti Malaysia di Indonesia mesti dihentikan dengan serta- merta. Memang gagallah seorang Presiden kalau tidak boleh mendepani sekelompok demonstrator gila itu sedangkan kuasanya yang sangat besar.
Kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sewajarnya menjadi kawasan selamat. Tetapi kerana Susilo tidak tegas dan lembik, demonstrator gila itu boleh memanjat pagar dan melempar najis. Adakah ke peringkat seteruk ini pun masih tidak menginsafkan kita bahawa pemimpin di Indonesia tidak pernah memikirkan tentang hubungan dua hala jauh sekali bangsa serumpun?
Tidak usahlah jawatankuasa media Malaysia dan Indonesia menambahkan lagi siri rundingan dengan rakan sejawat di sana. Percayalah hasilnya tidak ada. Memang benar sesetengah organisasi media Indonesia memainkan peranan menyemarakkan anti Malaysia.
Tetapi kalau Susilo bertegas mendepani kebebasan media yang melampau pasca Suharto, tidak ada media yang berani melanggar arahan. Apabila Susilo seolah-olah mengiyakan, media Indonesia tentu tidak akan bersetuju dengan pendirian jawatankuasa ini.
Syor Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin supaya membawa pulang Duta Malaysia sebagai tanda protes tidak boleh ditolak mentah-mentah. Syor yang provokatif begini wajar diteliti kerana kita telah memilih pendekatan diplomasi tetapi gagal malah terus memalukan Malaysia.
Apa salahnya untuk kali ini Malaysia bertindak lebih tegas supaya mesejnya sampai kepada Indonesia bahawa Malaysia sangat marah dengan ketidakseriusan Indonesia.
Persoalan sama ada demonstrasi itu dibiayai oleh pihak tertentu dari dalam atau luar Indonesia bukanlah isunya. Kita tidak perlu membuang masa mencari siapa yang menganjur atau membiayai. Kita hanya mahu Susilo menghentikan dengan serta - merta perbuatan bebal itu demi maruah Malaysia.
Sama ada dibiayai atau sebaliknya bukan isu kita. Tetapi atas dasar persefahaman antara kedua-dua negara, Susilo mesti memperlihatkan kewujudannya sebagai orang paling berkuasa Indonesia.
Sebenarnya tragedi demonstrasi dan gerakan anti Malaysia yang berlaku sebelum ini meletakkan Susilo dalam dilema. Susilo tidak mempunyai kekuatan untuk menghalang kerana dibimbangi kehilangan sokongan politik.
Lihat, mana ada tindakan tegas yang diambil oleh pihak berkuasa Indonesia walaupun "nasionalis bebal" dengan bersenjatakan buluh runcing mencari orang Malaysia di jalan raya sekitar Jakarta?
Susilo perlu belajar daripada pengalaman Malaysia menangani protes jalanan untuk menjadi pemimpin yang besar dan digeruni. Kemampuan Malaysia menangani protes jalanan akibat krisis politik 1998 boleh dipelajari bahawa hanya pemimpin yang tegas saja boleh menundukkan manusia bebal yang mencari demokrasi di jalanan.
Malah Susilo juga boleh belajar daripada kesilapan Malaysia mengambil pendekatan terlampau diplomasi hingga membiarkan pergerakan haram Hindraf bermaharajalela di sekitar Kuala Lumpur hingga menjejaskan ketenteraman awam. Nah, Susilo memilih pendekatan popular atau sebaliknya?
Mengenai syor membawa pulang Duta Besar Malaysia, apakah tindakan itu "terlalu kasar" berbanding dengan sikap pejam mata pemimpin Indonesia hingga kedutaan Malaysia dilempar najis? Kalau membawa pulang Duta Malaysia dianggap "kasar", adakah sikap pihak Indonesia yang tidak berbuat sesuatu kepada mereka yang melempar najis tidak kasar.
Adakah sesetengah daripada kita masih dibelenggu rasa rendah diri dan hormat melampau kepada pihak yang tidak tahu menilai rasa hormat kita?
Walau apa pun Susilo mesti bertanggungjawab atas sikap melampau bangsanya itu. Cara dia membuktikan tanggungjawabnya adalah dengan mengambil tindakan paling tegas.
Kenapa pada era Suharto kecuali saat-saat akhir pemerintahannya tidak ada sebarang demonstrasi?
Kenapa Suharto berjaya mengawal media daripada mencari kebebasan luar biasa hingga merosakkan negara? Susilo harus faham di mana-mana negara sekalipun pemerintah akan mengawal media walaupun skala kawalan itu sangat subjektif sifatnya.
Banyak pihak tahu hubungan ketua pergerakan anti Malaysia itu dengan beberapa pemimpin organisasi media di Indonesia. Media ini menyemarakkan semangat anti Malaysia.
Apakah tindakan Susilo kepada mereka kalau benar dia lebih menghargai nilai hubungan serumpun Malaysia - Indonesia?
1 comment:
Indonesia cuba mengalihkan tumpuan rakyatnya dgn cara ini!
Post a Comment