Saturday, October 18, 2008

PEMBELIAN EUROCOPTER EC725 IKUT PERATURAN

Geger memperkatakan sama ada proses perolehan helikopter Eurocopter EC725 mengikut peraturan atau sebaliknya.

Ada pihak mendedahkan surat, dokumen dan sebagainya mempertikaikan keputusan proses perolehan berkenaan.

Namun semuanya terjawab semalam. Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa proses perolehan helikopter Eurocopter EC725 dilakukan mengikut peraturan dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.

Ketua Setiausahanya, Datuk Abu Bakar Abdullah berkata, keputusan memilih model berkenaan dibuat berdasarkan tawaran lengkap oleh Eurocopter dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal serta ofset harga yang munasabah.

Penjelasan ini sudah pasti mengundang pelbagai pertanyaan baru, selain menyatakan fakta sebenar mengenai pembeliannya.

Abu Bakar menjelaskan: “Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sememangnya mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter yang berada di pasaran pada masa kini.
“Oleh itu, penilaian fizikal berhubung ciri-ciri pengendalian helikopter tidak perlu dilaksanakan di kawasan kemudahan (fasilitas) yang ditetapkan penender dalam masa tarikh tutup tender (12 Februari 2008) sehingga dibawa kepada pertimbangan Mesyuarat Lembaga Tender A (pada 22 Julai 2008).

Utusan Online yang memetik Abu Bakar melaporkan: “Ini adalah bagi menjamin ketelusan proses dan integriti Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada enam pegawai tidak dipertikaikan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kontroversi berlaku apabila dalam suratnya kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter dengan alasan ia "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Abu Bakar berkata keputusan perolehan Eurocopter berdasarkan tawaran lengkap oleh syarikat berkenaan dan setelah mendapat markah keseluruhan tertinggi yang meliputi penilaian teknikal dan ofset pada harga munasabah.

"Eurocopter juga menawarkan sistem yang terbukti dan memenuhi spesifikasi ketenteraan.

"Adalah menjadi tanggungjawab Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk sentiasa mengemaskini maklumat terkini berhubung perkembangan teknologi semasa helikopter yang memenuhi keperluan operasi ketenteraan di pasaran," katanya.

"Penilaian juga mengambil kira kesesuaian penggunaan dan persekitaran operasi di Malaysia dan kawasan konflik di serata dunia. TUDM memang mempunyai data lengkap dan pengetahuan mengenai helikopter terkini yang berada di pasaran."

Tambahnya, lapor agensi berita itu lagi, tender antarabangsa dibuka 6 Disember lepas ketika LIMA 2007 dan TUDM memberi penjelasan mengenai aspek teknikal dan operasi pesawat.

"Tender terbuka antarabangsa ditutup pada 12 Feb tahun ini dan pada tarikh sama pukul 12 tengah hari, Jawatankuasa Membuka dan Menjadual Tender (JMMT) Kementerian Pertahanan telah membuka semua dokumen tawaran yang diterima dengan disaksikan oleh wakil-wakil syarikat yang mengambil bahagian," kata Abu Bakar.

Daripada tujuh tawaran yang diterima dan senarai harga
(termasuk penghantaran), Eurocopter menawarkan Euro 233,345,390.

"Dokumen-dokumen ini seterusnya dibahagikan kepada tiga kumpulan dan disenaraikan untuk penilaian Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaiaan Offset dan Jawatankuasa Penilaian Harga," katanya dalam kenyataan itu.

Rumusan ketiga-ketiga jawatankuasa dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Tender A pada 22 Julai lalu dan seterusnya diperakukan kepada Kementerian Kewangan pada 4 Ogos lepas, tambahnya.

Pada 3 September lalu, Kementerian Pertahanan menerima keputusan dan persetujuan dari Kementerian Kewangan untuk memilih tender Eurocopter dan Kementerian Pertahanan mengeluarkan LOI kepada penender itu pada 15 September, kata Abu Bakar.

Tambahnya, LOI boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan secara kebetulan ia dikeluarkan pada 15 Sept.

Pembelian helikopter baru ini diputuskan oleh kabinet Julai tahun lepas bagi menggantikan pesawat Nuri, setelah prestasi pesawat itu mendapat rungutan ramai pihak.

Baca laporan Malaysiakini (14 Oktober 2008) untuk lebih lanjut:

Timbalan perdana menteri dikatakan berdepan dakwaan berhubung perolehan peralatan pertahanan baru selepas isu kontrak pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat pejuang Sukhoi yang menjadi isu politik besar tahun lepas.

Datuk Seri Najib Razak, sewaktu menjadi menteri pertahanan, didakwa mengendalikan usaha mendapatkan helikopter Cougar EC 275 (lihat jadual) yang dibekalkan oleh syarikat Eurocopter dalam "keadaan meragukan".

Dalam suratnya kepada Najib, sebuah syarikat yang terlibat dalam tender tersebut Mentari Services Sdn Bhd mempertikaikan keputusan kementerian itu yang didakwanya "tanpa menemui wakil penjualnya dan (tanpa) melakukan ujian penerbangan."

"Lazimnya, seseorang yang ingin membeli kereta berharga satu juta ringgit pun akan bertanya berbagai soalan kepada jurujual dan membuat pemanduan uji dua atau tiga jenama kereta sebelum memilih kereta yang paling sesuai," kata pengerusi syarikat itu Kapt (B) Datuk Zahar Hashim.

Menurutnya lagi dalam surat 7 Oktober, proses mengeluarkan surat hasrat (LOI) kepada Eurocopter "agak luar biasa dan bertentangan dengan prosedur yang telah diamalkan selama ini."

"Kami difahamkan bahawa proses penilaian belum selesai tetapi dengan secara tiba-tiba arahan diberi oleh pihak tertentu supaya LOI dikeluarkan kepada Eurocopter," kata Zahar lagi, yang juga ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan.

"LOI tersebut ditandatangani oleh seorang pegawai paras menengah di Kementerian Pertahanan dan bertarikh 15 September iaitu dua hari sebelum Datuk Seri (Najib) berpindah dari Kementerian Pertahanan ke Kementerian Kewangan."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Zahar berkata tindakannya itu "tidak bermotifkan politik."

Dalam surat tersebut, Najib juga didakwa "menyampaikan laporan yang kurang tepat kepada Yang Amat Berhormat (perdana menteri) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi."

Selain Mentari Services yang bertindak bagi pihak satu daripada empat penender Kelowna Flightcraft Ltd, kontrak pembekalan helikopter itu turut disertai Sikorsky dan Agusta Westland, selain Eurocopter.

Menurut Zahar dalam surat keduanya kepada Najib pada 9 Oktober lalu, Kelowna menawarkan 12 model Kazan MI-172 KF dengan harga RM898 juta, Sikorsky (RM1.45 bilion) dan Eurocopter (RM2.32 bilion).

Pembelian helikopter baru ini bertujuan menggantikan perkhidmatan Nuri, yang dibekalkan oleh Sikorsky, yang sering mengalami kemalangan.

Saranan menggantikan Nuri bermula selepas kemalangan di Genting Sempah, dekat Genting Highlands, pada Julai tahun lalu.

Dalam pilihanraya kecil Ijok, Selangor tahun lepas, isu pembelian Scorpene dan Sukhoi SU30MKM menjadi begitu hangat sehingga memaksa kementerian mengeluarkan kenyataan menjelaskannya.

Kementerian berkata semua perolehan peralatan berkenaan mengikut prosedur yang ditetapkan dan tidak membazir.

Ia juga menafikan dakwaan kerajaan membayar komisen RM540 juta kepada penganalisis politik Abdul Razak Baginda, seorang kenalan Najib yang kini menghadapi tuduhan bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia.

Dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini, Najib berkata perkara itu akan dijelaskan secara terperinci di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

No comments: