Monday, August 15, 2016

Rasuah RM13 Juta - SPRM Tahan Tiga Penjawat Awam Di Melaka, Kelantan


Tiga penjawat awam, termasuk dua orang berstatus Datuk Seri dan Datuk telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi serentak pada Isnin berhubung kesalahan berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Sejumlah RM13 juta wang dalam simpanan akaun ketiga-tiga penjawat awam itu telah dibekukan.

Penahanan itu melibatkan seorang pengarah jabatan bergelar Datuk Seri yang bertugas di bahagian pembangunan sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT); pengarah negeri sebuah jabatan kerajaan di Melaka bergelar Datuk dan seorang pengurus kawasan syarikat berkaitan kerajaan di Kota Baru, Kelantan.

Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka akan direman di mahkamah majisteret esok.

Laporan bebrapa media menyebut  difahamkan, SPRM menemui sejumlah wang tunai yang besar dan aset paling tinggi nilainya daripada pegawai kanan PBT berkenaan.

Wang tunai tertinggi turut dirampas dalam satu serbuan di Melaka.

Datuk Seri terlibat juga didapati memiliki beberapa kondominium mewah melibatkan pelaksanaan projek pembangunan di sekitar ibu negara.

Pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan di Kelantan pula didapati menyalahgunakan kuasa meluluskan projek kepada syarikat milik ahli keluarga.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki (gambar atas) menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan operasi penahanan ketiga-tiga individu terbabit antara pukul 12 tengah hari hingga 2 petang Isnin. 

"Mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 50-an," katanya.

Susulan penahanan tersebut, Azam berkata, akaun milik ketiga-tiga individu berkenaan melebihi RM13 juta telah dibekukan, meliputi wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta setiap seorang yang ditahan. 

Dalam serbuan SPRM yang membawa kepada penangkapan seorang Datuk dan Datuk Seri itu, sejumlah wang ditemui tersorok di pelbagai tempat dalam sebuah rumah, termasuk di siling.

Wang itu dikatakan berjumlah sehingga RM400,000.

Wang kertas RM50 dan RM100 itu diikat berasingan, menurut pegawai yang memeriksa rumah itu.

Sumber SPRM mendedahkan wang itu diperoleh daripada pengarah Jabatan Kerja Raya sebuah negeri yang bergelar Datuk.

Berkenaan kereta mewah pula, sumber-sumber berkata ia diletakkan di rumah saudara suspek dan SPRM dilapor menyita kereta jenis Maserati, BMW dan Audi dalam serbuan itu.

Difahamkan Datuk Seri itu berkhidmat di sebuah pihak berkuasa tempatan dan seorang lagi dengan Tenaga Nasional Bhd sebuah negeri.

Turut disita ialah beberapa kondominium mewah termasuk penthouse dan banglo dipercayai diperolehi menerusi hasil rasuah dan penggubahan wang haram. 

Menurut Azam, siasatan dibuat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. 

"Siasatan SPRM masih diteruskan dan semua yang ditahan dijangka direman di mahkamah majisteret esok," tambah beliau.

Azam berkata, mengikut Akta SPRM, jika mereka disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 dan lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi. 


Bagi Akta Penggubahan Wang haram, hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta mana yang lebih tinggi. 

Saturday, August 6, 2016

Skim Cepat Kaya: 5 Guru Ditahan, 50,000 Mangsa Terpedaya


Seorang guru yang merupakan anggota lembaga pengarah syarikat skim pelaburan cepat kaya ditahan sebelum sempat melarikan diri ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata suspek berasal dari Kok Lanas, Kelantan berusia 46 tahun merupakan guru yang masih berkhidmat di negeri itu, ditahan pada 1 pagi tadi dalam serbuan di sebuah kondominium di Sri Hartamas di Kuala Lumpur.

"Suspek ditahan ketika bersembunyi di dalam sebuah bilik di kondominum berkenaan. Guru lelaki itu dipercayai sedang membuat persiapan untuk lari ke luar negara.

Acryl Sani...RM50 juta 
"Operasi terhadap kegiatan kumpulan ini telah dimulakan sejak lima bulan lalu dan guru lelaki ini adalah suspek ke-16 yang ditahan berkaitan dengan aktiviti penipuan yang dijalankan mereka," katanya.

Tangkapan itu dilakukan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959, katanya.

Beliau antara lima orang guru merupakan antara 16 individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat mendalangi skim cepat kaya dikenali sebagai ‘Highway Group’.

 Tangkapan terhadap mereka dibuat secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan lalu, termasuk terbaharu semalam  melibatkan seorang guru lelaki berusia 46 tahun.

Berdasarkan siasatan JJS­JK Bukit Aman, setakat ini lebih 50,000 mangsa dipercayai terpedaya dengan skim berkenaan dengan anggaran nilai kerugian lebih RM50 juta.

Dalam serbuan di sebuah unit kondominium mewah di Sri Hartamas, kira-kira pukul 1 pagi, guru lelaki yang berasal dari Ke­tereh, Kelantan itu dikatakan berpera­nan sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah skim Highway Group.

Acryl Sani berkata, semasa serbuan dilakukan, guru lelaki itu dikatakan menyorok di dalam sebuah bilik di kondominium terbabit dan dalam persiapan untuk lari ke luar negara.

“Setakat ini kita sudah menahan 16 orang dan lima daripada mereka merupakan guru.

“Pada masa sama, kita masih mencari 15 lagi individu yang identiti mereka telah pun dikenal pasti termasuk artis terkemuka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, sumber memberitahu, ada di antara mangsa me­ngalami kerugian sehingga RM4 juta seorang selepas terlibat da­lam skim berkenaan.

“Malah, siasatan mendapati sebahagian besar mangsa terdiri daripada kalangan profesional, artis, termasuk guru sekolah.

“Perkara ini tidaklah menghairankan memandangkan dalang kepada skim sememangnya menyasarkan rakan-rakan dalam ‘circle’ profesion guru untuk me­labur,” katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan pelakon dan pelawak, Adlin Aman Ramlie antara 15 yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes sindiket penipuan pelaburan yang dipercayai ‘memperoleh’ lebih RM10 juta daripada ahli untuk dilaburkan dalam pelaburan hartanah.

Pelakon itu ditahan kerana didakwa menyediakan rumah untuk melindungi dua dalang sindiket itu.

Tujuh individu termasuk seorang bergelar ‘Datuk Seri’ ditahan di Kelantan, tiga termasuk seorang ‘Datuk’ dan pelakon itu di Selangor, dua lagi di Pahang dan Melaka manakala dua lagi di Pulau Pinang.

Difahamkan, syarikat itu de­ngan singkatan HG ditubuhkan untuk ‘membantu’ mereka yang gagal dalam perniagaan bagi menjana pendapatan pasif de­ngan melabur wang mereka dalam bentuk dana dan kemudian dilaburkan dalam hartanah dengan keuntungan diagihkan kepada ahli-ahlinya mengikut jumlah yang dilaburkan.

Friday, July 29, 2016

Isteri Pelakon Terkenal DiTahan Polis Disyaki Terbabit Penyeludupan Manusia


Isteri kepada seorang pelakon terkenal merupakan antara 28 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang ditahan polis dalam operasi khas Selasa lalu di Putrajaya, kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan manusia.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata kesemua mereka termasuk wanita berusia 33 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen dan memberi laluan segera kepada warga asing yang memasuki negara ini tanpa melalui prosedur yang sah," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Noor Rashid berkata polis tidak menolak kemungkinan terdapat pegawai kanan imigresen yang terlibat dalam kes itu.

Beliau berkata siasatan lanjut dilakukan untuk mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat.

Semua suspek ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Sebelum itu polis belum mendapat maklumat berhubung dakwaan isteri pelakon yang dikatakan itu adalah isteri kedua pelakon Adi Putra, Nor Shahida Zolkifly antara 15 
kakitangan Jabatan Imigresen yang ditahan  petang semalam di Putrajaya seperti laporan sebuah portal hiburan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan, beliau tidak tahu menahu tentang dakwaan itu.

“Mana awak tahu? Saya pun tidak tahu lagi,” katanya pendek pada sidang media selepas merasmikan merasmikan majlis penutup Persidangan Polis ASEAN (ASEANAPOL) ke-36 di sini petang semalam.

Khalid diminta mengulas laporan portal hiburan semalam yang mendakwa isteri pelakon tersebut ditahan kira-kira jam 4.30 petang semalam di pejabatnya dalam operasi khas.