Friday, November 12, 2010

KERAJAAN KELANTAN, KEDAH FOBIA MEDIA ARUS PERDANA?

Kenapa begitu sekali bimbangnya kerajaan PAS Kedah dan Kelantan kepada media arus perdana?

Benarkah laporan mereka berat sebelah dan bagaimana pula media propembangkang melaporkan mengenai kerajaan negeri dan kerajaan Pusat?


Adilkah laporan mereka?

Soalnya apakah ada kerajaan negeri yang diperintah BN membuat larangan sedemikian?

Semalam kerajaan PAS Kedah memutuskan untuk melarang beberapa organisasi media arus perdana termasuk kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) untuk membuat liputan dalam Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini.

Sementara di Kota Bharu, seorang ahli Exco kerajaan PAS Kelantan menyalahkan media arus perdana yang kononnya tidak memberikan laporan tepat terhadap beberapa isu termasuk perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi Negeri, Dr Mohd Fadzli Hassan berkata disebabkan laporan berat sebelah itu kerajaan negeri terpaksa bergantung kepada laporan oleh Urusetia Penerangan Negeri.

Di Alor Setar, kenyataan yang dihantar ke pejabat NSTP Biro Alor Setar di sini, hari ini hanya menyenaraikan beberapa organisasi media tertentu yang dibenarkan untuk membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama tiga hari itu.





Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, melahirkan rasa kecewa dan marah dengan laporan media yang didakwa berat sebelah dalam melaporkan mengenai keadaan banjir di negeri ini.

Azizan berkata, media cuba memutarbelitkan isu banjir di negeri ini dengan menuduh kerajaan PAS Kedah lemah dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah.

Sidang media selepas mesyuarat Exco semalam menjadi "tegang" apabila Azizan bertikam lidah dengan wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung laporan berkenaan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Muhamad Helmi Mohamad Khalid, berkata tindakan itu dibuat berikutan putar belit dan berita biadap yang didakwa dilakukan pihak media terhadap Kerajaan PAS Kedah sejak kebelakangan ini.

“Maka dengan sukacitanya hanya akhbar yang tersenarai sahaja yang dijemput untuk membuat liputan Sidang Bajet 2011 bermula 14 hingga 16 November ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Senarai media yang dibenarkan untuk membuat liputan ialah, Harakah, Sinar Harian, The Star, Makkal Osai, Malaysia Nanban, Oriental Daily, Sin Chew Daily, Kwong Wah Jit Poh, China Press, Nan Yang Siang Pau dan Guang Ming Daily.

Difahamkan, surat itu dihantar menerusi faksimili kepada Ketua Biro semua media cetak dan elektronik oleh Muhamad Helmi, tengahari ini. Salinan surat itu juga dipanjangkan kepada Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail dan Setiausaha DUN Kedah, Rashid Othman.

Di Kota Bharu, Dr Mohd Fadzli berkata sepatutnya peranan media ini sebagai media rakyat yang menyampaikan setiap dasar dan kebajikan yang dibuat tetapi kita tidak diberi peluang malah mereka (media) menyebar fitnah dan menyerang kerajaan negeri daripada segenap sudut.

"Apa yang baik daripada Kelantan diputar belitkan tetapi kalau buruk, seperti pelacuran, disebarkan," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Mohd Fadzli berkata, kerajaan negeri akan memperkasakan peranan Urusetia Penerangan Negeri sebagai alternatif untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat.

Katanya, kerajaan negeri juga mungkin memohon lesen daripada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan untuk stesen televisyen dan radio sendiri.

Mohd Fadzli juga berkata, kerajaan negeri bercadang memberikan iPad kepada semua 45 ADUN termasuk daripada Barisan Nasional bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat daripada Internet dengan mudah.

Tuesday, November 9, 2010

ZAID IBRAHIM - PKR IALAH PARTI HIPOKRIT

“Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini. Saya sebenarnya silap...Sepanjang pemilihan PKR, membuktikan bahawa kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa.." - Zaid Ibrahim

Kesian dengan kawan kita Datuk Zaid Ibrahim.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.Apa malang nasib badan.

Gara-gara menyertai PKR dengan harapan tinggi melambung beliau yang berkerat rotan dengan UMNO akhirnya bukan sahaja 'tidak dapat apa-apa' tetapi dilondehkan cukup-cukup ketika bertanding pada pilihan raya kecil Hulu Selangor tempoh hari.

Apapun, kepada Zaid, tahniah kerana cepat sedar dan selamat maju jaya untuk perjuangan seterusnya!

Baguslah kalau beliau sedar bahawa usahanya untuk membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) sampai bila-bila pun tidak akan berjaya.

Zaid mengakui beliau silap langkah kerana PKR adalah parti yang kepimpinannya sanggup membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Objektif apa Zaid?

Bukankah PKR itu parti yang didominasikan oleh sekumpulan pemimpin yang berasaskan keluarga dan kroni Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Beliau berharap dengan pengundurannya peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggapnya sebagai pengacau yang menghalang perarakan mereka ke Putrajaya.

Kata Zaid: “Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini. Saya sebenarnya silap.”

Dala kenyataannya, Zaid berkata, sepanjang pemilihan PKR, membuktikan bahawa kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu.

Sudah pasti keputusan Zaid itu mengejutkan banyak pihak – kawan dan lawan – kerana calon timbalan presiden PKR itu tiba-tiba sahaja membuat pengumuman mengejut.

Zaid menyatakan hasratnya bukan sahaja menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan tetapi beliau turut meletakkan semua jawatannya dalam PKR.

Sebelum ini Zaid ialah pengerusi perhubungan PKR Wilayah Persekutuan.

Tegas Zaid: “Saya yakin mana-mana parti politik dengan sikap hipokrit dan nilai-nilai palsu tidak akan mampu menawarkan sebarang pembaharuan yang bermakna kepada rakyat di negara ini.

"Saya mengambil keputusan ini kerana tidak ada usaha oleh kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan itu meskipun ia telah berulang-kali ditimbulkan,” katanya.

Apapun, Zaid yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum meletakkan jawatan dan meninggalkan Umno berkata beliau akan tetap komited terhadap perjuangan pembangkang.

Katanya, beliau akan terus bercakap berhubung isu yang membabitkan rakyat jelata dan terus berjuang bagi memastikan rakyat mendapat kerajaan yang lebih baik.

“Akhir sekali, saya berharap peminat Anwar Ibrahim tidak lagi menganggap saya sebagai 'spoiler'yang akan menghalang perarakan mereka ke Putrajaya. Saya ucapkan maju jaya kepada mereka,” katanya.

Apa kata orang PAS khususnya Datuk Nik Aziz mengenai komen Zaid terhadap PKR ini?

Zaid tak betul? Fitnah terhadap kepimpinan PKR?

hambali1

Tuesday, October 26, 2010

SAMAN SAJALAH MALAYSIAN INSIDER TU YB!

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim, menunjukkan salinan laporan berita yang disiarkan portal The Malaysian Insider pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini. Susulan laporan bertarikh 20 Oktober lalu, Syed Sobri bersama peguamnya akan membuat laporan polis serta mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berkenaan.

Tunggu dan timbang apa lagi YB!

Saman terus saja macam Felda buat tu. Mereka ini memang kurang ajar dan sengaja nak memburukkan ADUN Barisan Nasional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim hari ini menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita The Malaysian Insider kerana menyiarkan berita yang memfitnah dan mengaibkannya, Rabu lalu.

Syed Sobri yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, berkata laporan portal berita itu yang menyebut beliau diisytihar muflis Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Oktober lalu berikutan kegagalan syarikatnya membayar caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah tidak berasas.

Katanya, laporan itu jelas berniat jahat untuk menjejaskan reputasinya sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan ahli perniagaan.

"Saya akan membuat laporan polis dan sedang berbincang dengan peguam untuk menyaman portal berita berkenaan yang jelas mempunyai niat jahat terhadap saya serta untuk menjejaskan reputasi saya sebagai ADUN dan ahli perniagaan.

"Tindakan portal berita itu mendahului keputusan mahkamah, sedangkan mahkamah tidak pernah mengeluarkan perintah muflis terhadap saya," katanya hari ini.

Laporan portal itu pada 20 Oktober lalu yang memetik sumber menyebut Syed Sobri yang juga pengasas Kulim Enterprise gagal menyelesaikan baki caruman lebih RM700,000 kepada KWSP dan lembaga berkenaan dikatakan membawa kes itu ke mahkamah pada 2003.

Laporan itu juga menyebut selain Syed Sobri, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengisytiharkan muflis terhadap tiga defendan lain serta syarikatnya.

Syed Sobri mengakui beliau memang mempunyai tunggakan hutang dengan KWSP, tetapi hanya RM150,000 dan bukannya RM700,000 seperti dilaporkan portal berita itu.

"Maklumat itu dikeluarkan oleh KWSP dan saya sudah membuat bayaran sebanyak RM50,000 dan bakinya RM100,000 lagi saya jelaskan melalui ansuran.