Friday, April 7, 2017

Rasuah Geotube - 'Pesara Politik' Bergelar Tan Sri, Anak Kena Reman

 

Seorang ahli perniagaan yang juga ‘pesara politik’ bergelar Tan Sri bersama anaknya direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu pembekalan geotube (penggalian) kerja-kerja pemulihan Sungai Melaka sejak 2012.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret A.Akhiruddin Acho selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mereman kedua-dua suspek tersebut.
Selain itu, mahkamah sama mengeluarkan perintah reman selama enam hari terhadap tiga pegawai dan seorang pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atas dakwaan bersubahat bersama Tan Sri berkenaan.


Terdahulu, keenam-enam suspek terbabit tiba di mahkamah di Putrajaya pada pukul 9.30 pagi.


Semalam, Tan Sri berkenaan ditahan SPRM di kediamannya di Johor pada pukul 10.30 pagi semalam manakala anaknya ditahan di pejabatnya pada pukul 11 malam.


Tiga pegawai dan seorang bekas pesara JPS itu pula ditahan berasingan di Johor, Melaka dan Seremban.


Difahamkan, tuntutan palsu itu dilakukan di bawah kerja-kerja pemulihan sungai menggunakan kaedah penggalian JPS.


Suspek dipercayai mengemukakan invois pembayaran berjumlah hampir RM13 juta bagi membekalkan 358 unit geotube.
Hakikatnya, hanya 89 unit yang dibekalkan bernilai kira-kira RM4 juta dan akibatnya, kerajaan kerugian hampir RM9 juta.

Kelmarin media melaporkan seorang  individu ditahan SPRM bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu pembekalan geotube Sungai Melaka, Melaka.


Suspek yang berkhidmat sebagai juruukur bahan di syarikat milik suspek bergelar Tan Sri ditahan di rumahnya di Johor Bahru, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Suspek berusia 48 tahun difahamkan sudah berhenti bekerja dengan syarikat itu pada 2014 namun berkemungkinan terlibat dalam salah laku itu pada 2012.

Semalam juga, sehari selepas SPRM  menahan seorang “Tan Sri” berkenaan di Johor kerana disyaki terbabit kes penipuan, anak lelaki suspek pula turut ditahan.

Lelaki berusia 31 tahun yang ditahan berhubung kes itu, dibawa ke mahkamah bersama bapanya di Putrajaya jam 9 pagi semlam untuk direman.

Lelaki itu ditangkap di Johor Bahru dan siasatan awal menunjukkan dia turut terlibat dalam kes penipuan itu.

Thursday, March 30, 2017

Penguat Kuasa JPJ, Imigresen, KPDNKK, Polis Serta 3 Orang Awam Didakwa

Penguatkuasa yang ditahan di Ipoh
Tiga belas anggota penguat kuasa melibatkan empat agensi penguatkuasaan dan tiga orang awam yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Tertuduh terdiri daripada lima penguatkuasa Imigresen, masing-masing dua penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), empat anggota polis serta tiga orang awam.

Lima daripada mereka yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar adalah dua penguat kuasa KPDNKK, seorang penguat kuasa JPJ dan dua orang awam.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009, Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Di IPOH, di Mahkamah Sesyen, mereka yang dituduh merupakan bekas pengarah Imigresen dan Ketua Unit Imigresen Negeri Perak, manakala di Mahkamah Sesyen Melaka, seorang polis berpangkat Sarjan telah dituduh. Kesemua tertuduh dituduh mengikut Sesyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen Perak itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah, dua tahun lepas.

Tertuduh pertama, Zulhairin Yahya, 45, ketika bertugas sebagai Pengarah Jabatan Imigresen Perak didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas sebuah pusat hiburan dekat Seri Manjung.

Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Perkhidmatan Awam di Putrajaya juga didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Nga melalui Ketua Unit Pendakwaan Jabatan Imigresen Perak, Zaidi Dali supaya tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.

Sementara itu, Zaidi, 49, didakwa cuba memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM10,000 setiap bulan daripada Nga bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas pusat hiburan yang sama, kira-kira pukul 9 malam, 5 November 2015.

Zaidi yang kini bertugas sebagai Penolong Penguasa Jabatan Imigresen Perak juga didakwa memperoleh suapan wang tunai sebanyak RM7,000 daripada Nga untuk dirinya dan Pengarah Jabatan Imigresen Perak bagi memastikan tiada pemeriksaan dan serbuan dijalankan ke atas premis sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin, manakala Zaidi diwakili peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim sementara Zulhairin diwakili Ahmad Zaidi Zainal.

Anggota polis ditahan di Johor
Di JOHOR, Mahkamah Sesyen Johor, tiga anggota polis dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM.

Mereka  didakwa kerana  dikaitkan dengan rasuah sebanyak RM20,000.

Konstabel S. Logeshvaran, 31, Konstabel Rhomarino Rafie, 33, dan Inspektor Isa Ahmad, 30, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsur.

Logeshvaran didakwa telah meminta RM2,000 daripada S. Ravi, 49, supaya tidak dikenakan tindakan terhadapnya kerana mengambil pekerja asing tanpa izin.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Taman Nusa Perintis di Gelang Patah pada jam 2 petang, 12 Jun tahun lepas.

Logeshvaran juga didakwa telah menerima jumlah yang sama dari Ravi pada tarikh yang sama pada kira-kira pukul 4.40 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16 (A) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (Akta 694) dan Seksyen 17 (A) akta yang sama, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum  20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Beliau mengaku tidak bersalah dan Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dan sebutan kes pada 8 Mei ini.

Di SHAH ALAM, DI Mahkamah Sesyen Shah Alam pula, mereka yang dituduh adalah tiga penguat kuasa Imigresen dan seorang penguat kuasa JPJ dan seorang orang awam.

Mereka dituduh mengikut mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.


Kesemua penguat kuasa mengaku tidak bersalah dan telah meminta untuk dibicarakan manakala seorang orang awam di yang dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda sebanyak RM5,000.

Wednesday, March 29, 2017

Pegawai RELA Jual Senapang Patah Curi Milik RELA Hingga RM3,000


Memperdagangkan senjata api boleh dikenakan hukuman mati.

Itu hukuman namun perbuatan anggota Jabatan SukaRELAwan Malaysia (RELA) menjual senjata api yang dicuri milik RELA sungguh memalukan.

Laba yang didapati tidaklah sebesar mana tetapi bahaya yang menanti, termasuk kehilangan nyawa dan harta, tidak boleh dikira dengan wang ringgit.

Siapa anggota RELA dan untuk apa ia ditubuhkan? Bukankah rakyat yang setia untuk pertahankan negara daripada jenayah?

Bagaimana jika senjata api itu jatuh ke tangan mereka yang tidak bertanggungjawab hasil perbuatan kakitangan RELA yang memang tidak bertanggungjawab?

Diliporkan, 26 senapang patah milik Jabatan SukaRELAwan Malaysia (RELA) Selama, Perak yang hilang dari stor RELA Wilayah Utara Bukit Selambau, Sungai Petani dijual antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap laras.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata hasil siasatan polis juga mendapati aktiviti penjualan senjata api yang didalangi seorang pegawai RELA dari Selama, Perak itu melibatkan kenalan pegawai terlibat daripada kalangan anggota RELA sendiri dan orang awam.

“Ia jual antara RM1,000 hingga RM3,000 (dan ia) sangat murah tetapi hukuman dia sangat berat.

Ini perlu pihak media perjelaskan kepada semua yang penjualan dan pemilikan senjata api tanpa lesen hukumannya berat,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di Alor Setar semalam.
.
Asri berkata pihaknya kini menjalankan siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memperdagangkan senjata api yang sabit kesalahan adalah hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 6 kali sebatan.

“Kita juga menyiasat 13 suspek lagi di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat (PLB) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa lesen yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebatan tidak kurang 6 kali serta seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru yang boleh dihukum penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Asri berkata setakat ini polis masih lagi memburu suspek dan mengesan 12 laras senapang patah yang masih hilang.

“Kita sudah pun kenal pasti mereka ini di sekitar Perak dan kita seru mereka tampil dan menyerahkan senjata api tanpa lesen ini di balai polis berdekatan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini 14 senapang patah milik RELA berjaya di rampas daripada 14 suspek berusia 29 hingga 56 tahun.

“Jika mengikut pecahan tangkapan, kita menahan 6 orang di sekitar Taiping, 6 lagi di sekitar Selama, 2 orang di sekitar Kerian, seorang di Gerik (Perak) manakala 2 suspek di Kuala Muda, Kedah.

“Kita juga merampas 300 butir peluru tabur jenis 12 bolt. Siasatan polis kini menjurus apa tujuan senjata api itu dimiliki sama ada berkait unsur militan atau tidak,” katanya.


Beliau berkata sehingga kini kesemua suspek masih direman untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di mahkamah di daerah suspek ditangkap.