Saturday, October 22, 2016

SPRM - Siasatan Kes Seleweng Dana Projek Air Sabah Tidak Libatkan Ahli Politik


"SPRM minta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu ini atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan (oleh mereka) bagi kepentingan masing-masing."

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan siasatan kes penyelewengan dana awam projek infrastruktur Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bernilai RM3.3 bilion tidak melibatkan ahli politik di peringkat negeri itu atau kerajaan Pusat.

SPRM memaklumkan, setakat ini, siasatan kes itu hanya menjurus kepada penglibatan pegawai-pegawai kerajaan yang menerima rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

"Setakat ini, ia tidak melibatkan mana-mana ahli politik sama ada di peringkat Negeri Sabah atau kerajaan persekutuan.

"Sehubungan itu SPRM meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu ini atau mengambil kesempatan terhadap siasatan yang sedang dijalankan bagi kepentingan masing-masing," kata kenyataan yang dikeluarkan petang kelmarin.

Sebelum ini diviralkan melalui media sosial, seorang bekas menteri disyaki terlibat dengan kes ini, lebih-lebih lagi dalam keadaan ahli politik berkenaan kini menggerakkan sebuah parti baru di Sabah.

Pada 9 Oktober lalu, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menafikan beliau dan bekas kementeriannya itu mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion membabitkan sebuah jabatan kerajaan di Sabah.


Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau juga tidak mengenali dua orang pegawai kanan jabatan itu yang ditahan  SPRM berhubung dakwaan penyelewengan itu.

Sehari selepas itu (10 Oktober 2016), Ketua Menteri Sabah,  Datuk Seri Musa Aman menasihatkan semua pihak supaya berhenti menyebarkan spekulasi berhubung isu penyalahgunaan kuasa membabitkan pengarah dan timbalan pengarah sebuah jabatan negeri yang disiasat SPRM.

Katanya,  isu itu tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka di media kerana ia boleh menjejaskan siasatan agensi berkenaan.

"Ini adalah siasatan yang penting, jadi biarkan SPRM menjalankan tugas mereka. Berhenti membuat kenyataan yang tiada kesudahan dan mengeluarkan pendapat berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata, semua pihak yang berkaitan perlu memberi kerjasama penuh supaya siasatan SPRM dapat dikendalikan dengan lancar.

Kenyataan SPRM itu sedikit sebanyak 'membersihkan Shafie' yang dilaporkan menjadi sasaran beberapa kumpulan media sosial yang mengaitkan beliau dengan kes JANS ini.

SPRM semalam menahan tiga lagi pegawai JANS menjadikan keseluruhan jumlah suspek yang ditahan setakat ini 27 orang.

Penahanan menerusi Ops Water Fasa II itu berlaku di diantara pukul  7 malam dan 11.45 malam di daerah suspek bertugas iaitu Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Semua terlibat ditahan berhubung siasatan kes penyelewengan dana infrastruktur bernilai RM3.3 bilion. 

"Ketiga-tiga mereka adalah Juruteknik Air di tiga daerah berlainan di Sabah ditahan semalam (Khamis) untuk membantu siasatan SPRM," kata sumber berkenaan.

Sumber itu berkata, menerusi operasi terkini yang dilancarkan, SPRM merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM5.9 juta.

Kata sumber itu lagi, ketiga-tiga suspek direman tujuh hari bermula semalam (Jumaat).

"Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Lahad Datu ke atas dua suspek, manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu," katanya.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya(operasi)SPRM, Dato Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurut kenyataan SPRM, kes ini melibatkan sejumlah dokumen perolehan yang banyak dan pegawai SPRM kini sedang giat meneliti semua dokumen yang dirampas.

Kenyataan SPRM menyebut, pihaknya juga memerlukan masa bagi menyelesaikan siasatan sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"SPRM memandang serius perkara ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan dengan telus dan profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak," katanya.

Sehubungan itu, suruhanjaya itu meminta masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini kerana ia boleh menjejaskan siasatan. 

Bagaimanapun, SPRM meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu siasatan.

Setakat kelamarin, 24 ditahan termasuk 19 berumur 29 hingga 59 tahun yang ditahan kelmarin merupakan jurutera dan ketua jabatan itu di peringkat bahagian serta daerah.

Operasi fasa kedua pada Rabu itu turut membabitkan rampasan wang tunai RM4.2 juta dan beberapa akaun bank yang dibeku mencecah RM3.6 juta.

Menurut laporan Utusan Online, salah seorang daripada 19 suspek itu mempunyai resort dan inap desa, rumah bak istana serta kereta mewah.


Menurut sumber, suspek yang merupakan antara jurutera bahagian di Jabatan Air Sabah dipercayai menjadikan seorang wanita yang juga pekerja bawahannya sebagai proksi bagi melindungi kekayaan luar biasa yang dimilikinya.

Kata sumber, suspek dipercayai menjadikan wanita itu sebagai pemegang dana selain menggunakan syarikat yang dinamakan atas nama wanita tersebut untuk membolot semua projek Jabatan Air Sabah.

“Hasil daripada ‘pakatan’ mereka, wanita tersebut dilihat mampu mempunyai perniagaan dan harta yang melebihi kemampuannya sebagai seorang yang berpangkat rendah.

“Akaun syarikat dan akaun wa­nita itu juga dikatakan tersimpan ratusan ribu ringgit, malah mungkin juga mencecah jutaan ringgit,” kata sumber.

Walau bagaimanapun sumber itu menegaskan, kesemua maklumat kekayaan suspek masih dalam siasatan SPRM.

Sejak Ops Water dilancarkan pada 4 Oktober lalu, sehingga kini pasukan penyiasat telah merakam percakapan 90 saksi.

Terdahulu, lima suspek yang ditahan pada fasa pertama Ops Water telah dibebaskan dengan jaminan selepas menjalani tempoh tahanan reman.

Lima suspek yang ditahan pada fasa pertama termasuk pengarah dan timbalan pengarah JANS, abang timbalan pengarah bergelar Datuk dan seorang akauntan serta penasihat Kementerian Kewangan Sabah yang juga bekas timbalan pengarah jabatan berkenaan.

Seterusnya, SPRM menahan 19 pegawai JANS dan mereka kini masih menjalani tahanan reman bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sebelum ini, sejumlah wang tunai, barang kemas, geran tanah, kenderaan mewah dan beg tangan bernilai lebih RM150 juta telah dirampas.

Suspek utama iaitu dua pegawai kanan awam itu disyaki memberikan kontrak kepada beberapa syarikat yang dimiliki adik-beradik mereka, menyebabkan kontraktor lain tidak mendapat projek air di Sabah bernilai RM3.3 bilion dari kerajaan Persekutuan.

Pegawai JKM Kena Penjara Setahun Kerana Pecah Amanah


Sebagai seorang pegawai tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dia sepatutnya menyalurkan wang bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukannya, sebaliknya dia memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank suaminya.

Selepas dua tahun melakukan perbuatan keji itu, pegawai wanita terbabit kini bukan sahaja dalam proses perceraian dengan suaminya, malah hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Shah Alam dan dihukum penjara setahun serta denda RM9,000 kerana melakukan pecah amanah wang berjumlah RM13,100 milik jabatan itu.

Hakim Asmadi Hussein menjatuhkan hukuman tersebut selepas Salwana Mokhtar, 34, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan yang didakwa dilakukannya di JKM Sabak Bernam di Lot 16,17,18 Taman Gemilang, Sungai Besar.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara setahun ke atas Salwana bermula semalam dan tambahan enam minggu sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Sepanjang prosiding kes tersebut, ibu kepada tiga anak itu tidak putus-putus menitiskan air mata.

Mengikut pertuduhan pertama, Salwana yang merupakan pegawai tadbir kewangan di JKM Sabak Bernam didakwa dengan curangnya telah menyebabkan wang bantuan kebajikan kepada warga emas berjumlah RM900 dimasukkan ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik suaminya, Mohd. Hafiz Yatimi pada 31 Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan curangnya menyebabkan wang bantuan kebajikan kepada warga emas, pesakit kronik terlantar, orang kurang upaya (OKU) tidak bekerja, kanak-kanak dan elaun pekerja cacat berjumlah RM9,200 dimasukkan ke dalam akaun BSN milik suaminya antara 2 Februari dan 30 Disember 2015.

Sementara pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menyebabkan wang bantuan kebajikan kepada warga emas, pesakit kronik terlantar, OKU tidak bekerja, kanak-kanak dan elaun pekerja cacat berjumlah RM3,000 dimasukkan ke dalam akaun BSN milik suaminya antara 4 Februari dan 31 Mac tahun ini.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Syakimah Ibrahim mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebatan serta boleh didenda.

Terdahulu, Siti Syakimah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh yang merupakan seorang penjawat awam dan perbuatan yang dilakukan ini menyebabkan orang yang berhak menerima bantuan kebajikan telah dinafikan hak.

Salwana yang menyesal atas perbuatannya pula memohon supaya hukuman diringankan memandangkan dia kini dalam proses penceraian dengan suami manakala tiga anaknya yang masih kecil berumur dua hingga lapan tahun memerlukan perhatiannya.

Utusan Online

Wednesday, October 19, 2016

Penjawat Awam Lindungi Curi Pasir Sungai Pahang Kena Tahan

Pelekat bertanda bagi untuk dikenalpasti penguatkuasa tertentu agar tidak diperiksa.
Tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi pasir di sekitar Sungai Pahang sejak dua tahun lalu.

Ketiga-tiga lelaki berusia di antara 48 hingga 58 tahun itu ditahan pada Isnin dalam operasi bersepadu di sekitar Temerloh yang turut melibatkan Pasukan Khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Pejabat Tanah dan Galian Pahang.

Siasatan awal turut mengenalpasti 10 anggota penguatkuasa yang bersubahat melindungi kegiatan sindiket yang beroperasi sejak pertengahan 2014 itu.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 kerana memberi dan menerima rasuah dan SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama 5 hari bermula semalam. 
Perintah reman dikeluarkan Majistret Najwa Hashim di Temerloh semalam.
.
Menurut sumber,  kakitangan awam berusia 48 tahun yang ditahan itu bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan dilaporkan menerima rasuah sebanyak RM8,500 sebulan bagi melindungi kegiatan ini daripada dua pengusaha pasir terbesar di Temerloh.

 "Dua  lagi yang ditangkap ialah penyelia syarikat dan seorang pemandu lori yang telah menawarkan rasuah sebanyak RM500 bagi melepaskan enam buah lori yang ditahan SPRM," kata sumber itu.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Ketiga-tiga suspek tersebut akan ditahan reman selama lima hari sehingga 22 Oktober ini.

Jika disabitkan kesalahan mereka akan didakwa mengikut Kesalahan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Mengikut anggaran Pejabat Tanah dan Galian Pahang, kerajaan Negeri Pahang kerugian hampir RM180,000 sebulan disebabkan kes kecurian pasir ini.

"Mereka menggunakan doket (borang pengeluaran bahan mineral) yang sama untuk muatan serta perjalanan yang berganda bagi mengelakkan cukai yang perlu dibayar kepada pejabat tanah dan daerah.

" Hasil siasatan pada 3 suspek menunjukkan ada satu lagi sindiket yang melindungi lori-lori lebih muatan dengan penggunaan pelekat tertentu sebagai tanda 'telah kawtim'.

"Setiap lori yang bayar wang rasuah bulanan akan dapat satu pelekat bertanda bagi memudahkan ianya dikenalpasti penguatkuasa tertentu.


"Dalam sekatan jalan raya, lori tersebut tidak akan diperiksa walaupun membawa lebih muatan," katanya.


Sementara itu, seorang 'usahawan' berjaya ditangkap polis di hadapan premis perniagaan di Setiawan, Perak, semalam bagi membantu siasatan kes penipuan bernilai lebih RM20 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superitendan R.L Paniercelvan berkata, lelaki berusia lewat 40an berkenaan dipercayai terbabit dalam kes membabitkan pindah milik saham syarikat dengan memalsukan dokumen.

Menurutnya, dalam kes yang dilaporkan di Tampin pada tahun 2009 berkenaan, lelaki berkenaan dipercayai telah melakukan penipuan membabitkan lebih 12 bidang atau lot tanah di daerah berkenaan.

“Susulan penangkapan ini, suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Selain kes penipuan ini, suspek kini turut disiasat dalam kes lain membabitkan memberi pinjaman wang tidak berlesen dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951,” katanya.
.
Paniercelvan berkata, jika sabit kesalahan bagi kes memberi pinjaman wang tidak berlesen berkenaan, suspek bakal dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 dan tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari bermula hari ini di Mahkamah Majistret Rembau.