Friday, September 25, 2015

AS, Australia Beri Amaran Kemungkinan Ancaman Pengganas Di Jalan Alor


Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur mengeluarkan nasihat perjalanan di Jalan Alor berikutan kemungkinan ancaman pengganas.

Dalam satu kenyataan di laman web kedutaan itu pada malam semalam, ia berkata, nasihat berkenaan dikeluarkan berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai berhubung kemungkinan tindakan pengganas.

Ia menasihatkan rakyat AS supaya mengelakkan daripada berada di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar hari ini.

"Bagi semua lokasi lain, Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengingatkan rakyat AS perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap keselamatan diri.

"Pada masa lalu, badan-badan pengganas mempunyai rancangan mengenai serangan mereka sejajar dengan tarikh penting dalam kalendar," kata kedutaan itu.

Ia mengingatkan rakyat AS supaya sentiasa berhati-hati semasa dalam perjalanan kerana mereka mungkin menjadi sasaran kumpulan ekstremis tanpa mengira negara mereka berada.

"Teliti semula rancangan keselamatan diri anda, sentiasa berwaspada terhadap persekitaran, termasuk acara tempatan dan memantau stesen berita tempatan untuk perkembangan.

"Sentiasa berwaspada pada tahap yang tinggi, ambil langkah yang sewajarnya untuk mempertingkatkan keselamatan diri anda dan mengikut arahan pihak berkuasa," menurut nasihat kedutaan itu.

The Straits Times semalam (Khamis)  melaporkan satu amaran turut dikeluarkan dalam laman web Jabatan Perdagangan dan Hal Ehwal Luar Kerajaan Australia.

"Berikutan kemungkinan ancaman keganasan, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya tidak berada di Jalan Alor, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pada Khamis, 24 September.


"Kami terus menasihatkan rakyat Malaysia untuk mempertimbangkan semula mengenai keperluan untuk mengunjungi kawasan pantai timur Sabah, dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan di Malaysia," menurut amaran itu.

Monday, March 3, 2014

Ahli Politik Wanita Ditangkap Khalwat Di Bilik Hotel

Seorang ahli politik ditangkap khalwat bersama dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin oleh Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).

Ahli politik itu, 30, yang merupakan seorang janda ditangkap khalwat bersama seorang ahli perniagaan berusia 47 tahun di sebuah bilik hotel dalam satu serbuan pada pukul 1.30 pagi ini.

Sumber memberitahu bahawa serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat, sambil menambah bahawa ahli politik itu berpakaian lengkap manakala lelaki tersebut hanya bertuala dan berkemeja-T.

"Kedua-dua mereka memberi kerjasama dengan pegawai jabatan agama Islam dan memberitahu bahawa mereka berdua bukan pasangan berkahwin.

Mereka kemudiannya dibawa ke ibu pejabat polis daerah di mana satu laporan dibuat. "Mereka disiasat di bawah Seksyen 9(1)(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah, yang mengendakan denda RM5,000, penjara selama tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, sekiranya didapati bersalah," kata sumber itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan satu laporan polis telah dibuat berhubung insiden oleh pegawai Jaips.