Tuesday, September 17, 2013

Politik Kontroversi 'Ustaz' Mat Sabu' Memakan Diri


Oleh Juhaidi Yean Abdullah

Sekitar Ogos tahun lalu, Mohamad Sabu (Mat Sabu) masih mempertahankan matlamat asal parti mengenai pelaksanaan hudud di negara ini.

Dalam wawancara eksklusif dengan satu akhbar Cina, beliau menegaskan hasrat PAS mendapatkan mandat dua pertiga Ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Andainya DAP, MCA atau ahli Dewan Rakyat bukan Islam membantah, itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Namun, PAS tetap dengan pendiriannya.


Anehnya, tiga bulan sebelum itu, Mat Sabu memberi pandangan berbeza. Ketika diwawancara oleh Radio BFM pada 16 Mei 2012, beliau berkata agenda utama PAS ialah Buku Jingga dan dasar bersama pakatan pembangkang yang dipersetujui pada November 2011.

Tidak disebut pasal hukum hudud. Apabila ditanya apakah objektif PAS yang sebenar dan sama ada membentuk negara Islam masih menjadi matlamat partinya, Mat Sabu berkata, ia boleh menjadi realiti jika dipersetujui oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Andainya rakan sekutu pakatan pembangkang itu tidak bersetuju dengan hudud, ia tidak boleh dilaksanakan. Apabila dibangkitkan kenyataan pemimpin ulama PAS yang tetap mahu melaksanakan hudud di Malaysia, Mat Sabu menjawab itu pandangan peribadi mereka, bukan pendirian rasmi pakatan pembangkang itu.

Patutlah kenyataan Timbalan Presiden PAS ini mendapat kecaman ahli PAS sendiri. Mereka tahu tidak ada hukum hudud atau negara Islam dalam Buku Jingga. Satu reaksi yang boleh dibaca di laman web ialah:

“Ramai kita masuk PAS sebab hudud dan undang-undang Islam. Jangan main politik pak sanggup. Kejap ke tengah, kejap ke tepi, kejap ke depan, kejap ke belakang. Sejak bila pula kita ada timbalan presiden kaki kencing?

Ini tidak betul. Kalau PAS pun kencing macam ini, siapa nak percaya parti Islam?” (penyokongpas.wordpress.com)

Sejak memegang jawatan ini dua tahun lalu, Mat Sabu sering memerangkap dirinya dengan kenyataan kontroversi dan keadaan mengaibkan.

Beliau lebih diingatikerana bercakap daripada berbuat jasa. Rakyat masih ingat kenyataannya mengenai Mat Indera dan menganggap komunis sebagai pejuang, serta berhubung pencerobohan di Lahad Datu. Beliau mengguris hati anggota keselamatan, bekas perajurit dan keluarga mereka sehingga ditegah berceramah dan dihalau daripada memasuki beberapa kampung.

Ramai penyokong PAS juga marah dengan pendirian beliau menyokong Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengambil alih EXCO Agama daripada PAS pada 2012.

Guru pondok khususnya di Kelantan dan Kedah, tidak boleh menerima orientasi agama dan sokongannya kepada rejim Syiah di Syria, Iran dan Lubnan. Ceramahnya yang dulu menarik ribuan hadirin tetapi pada kempen PRU lalu, hadirin tidak sampai 50 orang.

Tidak lama dulu juga tersebar rakaman perbualan seks di media sosial yang dikaitkan dengannya. Justeru, kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hasan, bahawa jawatan timbalan presiden seharusnya ulama adalah mesej terang dan jelas bahawa Mat Sabu perlu diganti dalam muktamar tahunan di Shah Alam pada 22-24 November ini.

Kekalahan Mat Sabu di kerusi Parlimen Pendang dalam PRU-13 Mei lalu, ibarat kafan politik. Kerusi itu diberi kepadanya oleh penyandang jawatan dua penggal, namun beliau tewas.

Kerajaan PAS Kedah tumbang selepas hanya memerintah sepenggal, seperti nasib kerajaan PAS Terengganu sedekad sebelumnya (1999-2004).


Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Nik Amar Nik Abdullah antara ulama yang disebut bakal mencabar Mat Sabu.

Sebagai pejuang, Mat Sabu sudah pun menyatakan pendirian mempertahan jawatan timbalan presiden.

Lebih daripada itu beliau berkata, semua orang PAS adalah ulama, bezanya tahap pengetahuan agama masing-masing.

Kenyataan ini cukup menarik. Ia memberi maksud Mat Sabu menganggap dirinya juga ulama. Cuma yang perlu dia jawab, kalau sememangnya pengetahuan agama rendah atau sedikit, dikira ulama jugakah?

Kalau semua orang PAS adalah ulama, adakah mereka yang ditangkap khalwat, skandal dengan isteri orang, rasuah, penipuan, salah guna kuasa, nepotisme, gila projek, membelasah polis dan membakar kereta serta sokong peliwat termasuk kategori ulama juga?

Untuk berlaku adil, Nik Aziz pernah membuat kenyataan pada 2009 bahawa PAS juga patut tukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin bermasalah dalam kalangan jemaah.

Beliau tidak merujuk kepada Mat Sabu tetapi mereka yang terbabit dengan bersama UMNO selepas PRU 2008.

Dua daripada mereka ialah Datuk Dr Hassan Ali dan Nasaruddin Mat Isa yang sudah dipecat serta disisihkan.

Semua orang tahu seorang lagi ialah Datuk Seri Hadi Awang.

Diberitakan sudah ada calon yang bersedia menentang beliau untuk jawatan presiden di muktamar nanti.

Sebahagian ahli PAS melihat prestasi Hadi-Mat Sabu jauh lebih hambar dan lesu berbanding prestasi Fadzil Noor-Hadi Awang.

BH Online 2013/09/16 - 03:27:59 AM 

Tuesday, April 9, 2013

PRU-13 : Ketegangan Perebutan Kerusi Saat Akhir Dalam Pakatan Rakyat


 'Majlis (Pakatan Rakyat) menyatakan bahawa PAS akan bertanding di 76 kerusi, 96 untuk PKR (untuk dikongsi bersama dengan sekutu-sekutunya APS dan PPS) dan DAP (50 kerusi). Bagaimanapun, pada Rabu lepas, majlis itu gagal untuk mengumumkan senarai calon akhir walaupun banyak yang menantikannya."

Daripada www.teganuku.blogspot.com

Persaingan telah bermula tetapi isu perebutan kerusi yang berterusan menyebabkan keadaan semakin panas.

Strategi Pakatan Rakyat menamakan calon-calon dalam cara berperingkat pada program jelajah di seluruh negara menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli, dengan sesetengah daripada mereka mengancam untuk berpaling tadah.


Masalah timbul akibat perebutan untuk kerusi boleh dilihat di Johor, Terengganu. Pulau Pinang, Perlis, Negeri Sembilan dan Sabah.

Sejak pelancaran manifesto pada 25 Februari, majlis kepimpinan Pakatan Rakyat berulang kali memberi jaminan bahawa peruntukan kerusi Parlimen telah dimuktamadkan dengan hanya perubahan kecil yang dibuat.

Majlis menyatakan bahawa PAS akan bertanding di 76 kerusi, 96 untuk PKR (untuk dikongsi bersama dengan sekutu-sekutunya APS dan PPS) dan DAP (50 kerusi). Bagaimanapun, pada Rabu lepas, majlis itu gagal untuk mengumumkan senarai calon akhir walaupun banyak yang menantikannya.

Di Terengganu, pengumuman ketua PKR negeri, Azan Ismail pada Rabu lepas bahawa parti itu akan bertanding di 11 negeri dan tiga kerusi Parlimen telah disangkal oleh Pesuruhjaya PAS, Abdul Wahid Endut.

Abdul Wahid pada hari berikutnya berkata PAS akan bertanding tujuh daripada lapan kerusi parlimen, meninggalkan hanya satu kepada PKR, menyebabkan Azan tidak berpuas hati.

Azan, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota mungkin akan ke Kemaman, menunjukkan bahawa beliau berusaha untuk lebih kerusi bagi PKR, khususnya di kawasan parlimen Setiu atau Kuala Nerus.

Di Johor, isu ini lebih kepada pencalonan ketua PKR negeri, Datuk Chua Jui Meng akhirnya diselesaikan selepas beberapa minggu spekulasi mengenainya berikutan pengumuman Penasihat DAP Lim Kit Siang akan bertanding di parlimen Gelang Patah yang beliau telah melobinya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan membuat lebih banyak pengumuman mengenai kerusi parti itu yang akan bertanding di Johor pada minggu ini, dengan semua mata tertumpu di parlimen Bakri dan Kulai.

Di Pulau Pinang, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Rawa berkata, calon PAS akan bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Achehi.

Ini disangkal oleh Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abdul Kassim.

Di Perlis, PKR dan PAS merebut kerusi Kangar, secara tradisinya ditandingi oleh PKR.

Pengerusi Negeri PKR, Mohd Faisol Abd Rahman berkata, beliau kecewa bahawa Pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jassin baru-baru ini mengumumkan Baharuddin Ahmad sebagai calon bagi kerusi itu.

Mohd Faisol berkata, PKR tidak akan memberi laluan kepada DAP bagi majoriti Cina kerusi DUN Indera Kayangan.

Di Sabah, kepimpinan Pakatan sedang cuba untuk berbincang bagi berkongsi kerusi dengan sekutunya Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).

Dalam apa yang dilihat sebagai langkah awal begitu mengejutkan, Ketua PKR Tuaran, Ansari Abdullah pada Khamis lalu mengumumkan bahawa beliau akan bertanding di Tuaran yang bertentangan dengan kenyataan Anwar yang akan mengumumkan Ketua APS Datuk Seri Wilfred Bumburing (gambar kiri) sebagai calon bagi kerusi itu.

Ansari mempertahankan tuntutan beliau, termasuk enam kerusi lain untuk PKR, dengan ancaman bahawa beliau akan bertanding sebagai calon bebas sekiranya permintaan itu tidak dipenuhi.


Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin, yang mengintai tiket PKR, meletakkan ia dalam konteks. "Sebelum Mac 2008, Pakatan mencari untuk calon yang cukup.

Ia berbeza sekarang kerana terdapat banyak yang menunggu dalam barisan untuk mengisi borang pencalonan," katanya.

Pada Ahad lepas, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengakui bahawa kelewatan dalam mengumumkan senarai calon akhir telah membawa kepada perselisihan faham dalaman.

Penganalisis politik, Khoo Kay Peng berkata,  masalah pada peringkat awal yang dihadapi oleh parti pembangkang adalah sesuatu yang tidak matang.

"Mereka (Pakatan) perlu memperlihatkan untuk bekerja bersama-sama tetapi perbincangan mereka adalah mengenai untuk rundingan kerusi dan bukannya peruntukan kerusi," katanya

mStar Online

Friday, April 5, 2013

Retak Pembangkang Semakin Terserlah Apabila Gagal Selesai Isu Agihan Kerusi


Bibit-bibit pertelingkahan mengenai kerusi yang bakal ditandingi oleh pakatan pembangkang semakin menyerlah.

Sehingga semalam, pakatan pembangkang belum dapat memuktamadkan isu pembahagian kerusi yang bakal ditandingi komponennya.

Pakatan membabitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang. Amat jelas, kesukaran ketiga-tiga sekutu utama pembangkang itu mencapai kata sepakat turut membabitkan kerusi yang bakal ditandingi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Esok kita akan selesaikan, kita ada mesyuarat lagi," kata Anwar ringkas sebelum meninggalkan Ibu Pejabat PKR semalam.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu agihan kerusi yang bakal ditandingi termasuk menyelesaikan masalah pertindihan kerusi.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika ditemui turut mengesahkan mengenai kegagalan mereka menyelesaikan isu agihan kerusi pada Khamis seperti yang dijadualkan.

Belum selesai, ada sedikit lagi. Petang esok kami ada lagi mesyuarat di sini," katanya sambil menambah bahawa beliau yakin isu agihan kerusi dapat diselesaikan segera.

Sidang media yang dijadualkan selepas itu turut dibatalkan.

Kenapa terpaksa dibatalkan?

Bimbang aka nada banyak pertanyaan kerana perpecahan di kalangan pembangkang semakin menyerlah dan mengelakkan soalan wartawan yang semakin berani?

Malah Anwar tidak dapat mengesahkan sama ada keputusannya untuk meninggalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan berhijrah ke salah satu kerusi di Perak.

Anwar menjawab masih terdapat 'satu dua' isu yang perlu diberi perhatian. "Tentang itu esok saya akan balik Permatang Pauh dan bincang lagi," katanya.

Ketika diajukan soalan sama ada beliau sedang mengintai secara serius untuk bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timor, Anwar sekadar ketawa sebagai jawapan.

"Esok lah...tunggu esok," katanya.

Kerusi Parlimen Ipoh Timor dijangka kosong selepas veteran DAP, Lim Kiat Siang dijangka bertanding di kerusi milik PKR iaitu Parlimen Gelang Patah di Johor.