Sunday, February 22, 2009

PILIH YANG TERBAIK

Tolong jangan berebutlah.

Rundinglah cara baik demi maruah UMNO dan Barisan Nasional (BN)
Dikatakan Umno Bahagian Bukit Gantang mecadangkan tiga nama untuk dipertimbangkan menjadi calon dalam pilihanraya kecil 7 April depan.

Mereka ialah timbalan ketua bahagian, Kamalulail Sulaiman; 47, Mohd Kamaruddin Abu Bakar, 44, (naib ketua) dan Ismail Saffian, 47 (ketua penerangan).

Rombongan dari Umno bahagian diakatakan telah memberi taklimat mengenai tiga nama itu kepada timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Umno dan BN Perak, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Timbalannya Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Taklimat tersebut diadakan selepas Najib mempengerusikan mesyuarat pengurusan Umno di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seorang ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Gantang berkata, bancian yang dibuat oleh beberapa agensi kerajaan juga mendapati mereka juga merupakan calon yang disenangi pengundi Bukit Gantang.

Agensi berkenaan termasuk Kemas, jabatan hal ehwal khas kementerian penerangan, majlis keselamatan negara dan Umno.

"Kita sebut satu persatu kelebihan dan kelemahan ketiga-tiga nama tersebut.

‘Mungkin Ismail'

"Bagaimanapun, sebahagian besar AJK bahagian Bukit Gantang mahukan Ismail bertanding di Parlimen Bukit Gantang," katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

AJK berkenaan berkata, ini kerana Ismail merupakan anak tempatan iaitu dari Kampung Kubu, Bukit Gantang.

Katanya, Ismail juga orang lama dalam Umno bahagian dan telah memegang pelbagai jawatan termasuk setiausaha bahagian.

Sebelum ini, Kamalulail telah menyatakan kesediaannya bertanding atas tiket BN.

Najib sebelum ini dilaporkan berkata, BN akan meletak calon tempatan untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang.

Pilihanraya kecil tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum awal bulan ini.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Roslan mengalahkan calon BN, Datuk Seri Azim Zabidi.

Suruhanjaya pilihanraya (SPR) 29 Mac depan sebagai hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Parlimen tersebut.

Saturday, February 21, 2009

CERITA TIDAK ENAK DIDENGAR

Boleh darurat?
Oleh HERMAN HAMID

pengarang@utusan.com.my (20 Februari 2009)

KUALA LUMPUR 20 Feb. - Tiga kesalahan besar V. Sivakumar yang boleh membawa kepada pengisytiharan darurat.

Pertama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu tidak menghormati Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Kedua, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh mendahului keputusan mahkamah, dan ketiga beliau membelakangkan DUN Perak itu sendiri.

"Sepatutnya beliau tunggu keputusan mahkamah. Apabila beliau lakukan tiga perkara itu, beliau perlu sedar bahawa ia mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

"Saya berbincang dengan ramai peguam, kita lihat situasi di Perak boleh menjuruskan kepada pengisytiharan darurat seperti berlaku di Sarawak dan Kelantan dulu, situasi politiknya mirip dengan di Perak."

Demikian pendapat pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berhubung keputusan Sivakumar kelmarin menggantung dan melarang Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir bersama enam anggota Exconya daripada menghadiri Sidang DUN.

Dr. Zambry dan enam anggota Exconya masing-masing digantung 18 bulan dan 12 bulan, iaitu tindakan yang mengejutkan dan dianggap banyak pihak tidak sah dan suatu keputusan politik semata-mata.

Beliau yang juga Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, keadaan di Perak sekarang sedang kalut, maka tidak mustahil tindakan pengisytiharan darurat diambil di Perak.

"Walaupun ia bukan sesuatu yang diharapkan, namun itu boleh berlaku berdasarkan situasi politik di Perak sekarang," katanya.

Menurut Salleh, dari segi kesalahan Sivakumar itu, pertama beliau tidak menghormati Sultan Perak apabila menganggap tidak sah Zambry mengangkat sumpah ketika Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar.

"Sedangkan pelantikan Zambry adalah keputusan Sultan Perak yang sah mengikut perlembagaan negeri itu dan ini diakui ramai pengamal undang-undang.

"Saya percaya, Dr. Zambry boleh memohon semakan kehakiman daripada mahkamah kerana tindakan Speaker itu agak jelas menimbulkan persoalan," jelasnya.

Menurut Salleh, kesalahan kedua, Sivakumar subjudis disebabkan keputusan penggantungan itu dibuat ketika terdapat permohonan di mahkamah meminta deklarasi berhubung status Nizar sebagai Menteri Besar.

"Kesalahan ketiga pula Sivakumar buat keputusan di luar Sidang DUN.
"Sedangkan majoriti pengamal undang-undang berpandangan bahawa keputusan Speaker mesti dibuat ketika sidang DUN berlangsung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Salleh menambah, apa yang terbaik dalam hal ini ialah menunggu terlebih dulu keputusan mahkamah berhubung permohonan Nizar sebelum bertindak sebegini.

Katanya, namun, Sivakumar telah mendahului mahkamah dan tindakan yang beliau perlu sedar bahawa ia boleh mengundang pelbagai kemungkinan selepas ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, tindakan Sivakumar itu tidak dilakukan secara bona fide atau niat baik sebaliknya bertujuan mengganggu gugat pemerintahan kerajaan negeri sekarang.

Kata beliau, keputusan itu dianggap sebagai terdesak, keterlaluan serta terburu-buru yang menggambarkan tindakan orang kecewa.

Tambahnya, sungguhpun Speaker ada kuasa, namun harus diingat, ia mendapat kuasa itu apabila sidang DUN sedang berlangsung.

"Sebab itu apabila Sivakumar membuat keputusan di luar DUN, ia dianggap menyalahi peraturan. Segala usul mestilah dibentang dan dipersetujui DUN. Macam mana Speaker pandai-pandai buat keputusan.

"Ini komen saya dan pandangan rasmi Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak). Kita minta rakyat Perak, lihat dan renungkan gelagat pembangkang sama ada ia sikap pemimpin bertanggungjawab atau tidak," katanya.

Monday, February 16, 2009

KEADILAN UNTUK MOHD SAIFUL, ANWAR

Rakyat kecil seperti Mohd. Saiful Bukhari Azlan juga memerlukan keadilan.

Mohd. Saiful yang tampil membuat sumpah laknat atau mubahalah di masjid mengikut ke hendak syarak, memerlukan pembelaan sewajarnya.

Tiada perbezaan beliau dengan ‘orang besar’ Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam konteks keadilan –masing-masing mendakwa di pihak yang benar.

Carilah kebenaran dan percepatkan proses ini untuk tidak mengheret rakyat keseluruhannya tertunggu-tunggu.

Ikuti pendapat Awang Selamat:

KEADILAN DAN KES SAIFUL

Bisik-bisik Awang Selamat (Mingguan Malaysia, 15 Feb 2009) Ketika negara diwarnai banyak isu politik, kita seakan terlepas perhatian kepada banyak hal dan isu lain. Salah satu daripadanya ialah kes perbicaraan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan pertuduhan, Anwar, 61, didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun tahun lalu. Beliau dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan.

Sementara menunggu perbicaraan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dibebaskan dengan jaminan peribadi RM20,000.

Awang terpanggil menyentuh hal ini berikutan kenyataan Mohd. Saiful baru-baru ini, yang kesal dan kecewa dengan sikap Anwar cuba melengah-lengahkan perbicaraan. Menurut beliau, Anwar sering memberi pelbagai alasan sehingga memberi kesan terhadap kes tersebut.

Kenyataan Mohd. Saiful itu dibuat berikutan keputusan Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding yang sepatutnya didengar 5 Februari lalu kepada 25 Februari. Keputusan itu diambil selepas peguam bela Anwar mengemukakan notis bantahan supaya Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden digugurkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes itu.

Anwar juga tidak hadir di mahkamah kerana dikatakan mempunyai urusan lain di Ipoh, Perak. Awang tidak berhak dan tidak berminat campur tangan urusan mahkamah. Namun memandangkan kes tersebut menjadi perhatian umum, semua pihak harus lebih komited untuk menyegerakan perbicaraan sebenar kes tersebut.

Sejak aduan polis dibuat pada Jun dan diikuti Anwar dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan pada Ogos, tahun lalu, sehingga kini hampir tiada perkembangan yang signifikan kepada kes itu yang masih berlegar kepada isu permohonan semakan dan notis bantahan.

Jika begini keadaannya, mungkinkah perbicaraan sebenar akan bermula tahun depan dan ia sesuatu yang tidak mustahil tetapi Awang berharap tidak.

Lagi lama kes ditangguhkan, lagi lama keadilan tidak dapat dilaksanakan terutama bagi pihak yang mahu menuntut keadilan.

Perlu diingat, ini bukan soal keadilan untuk Anwar semata-mata, ia juga keadilan untuk Mohd. Saiful, rakyat kecil yang juga ada hak berikutan aduan polis yang dibuatnya. Malah Mohd. Saiful telah tampil membuat sumpah laknat atau mubahalah di masjid mengikut ke hendak syarak.

Itupun ada pihak yang cuba mencetuskan keraguan dan memperlekehkannya termasuk dari kalangan pemimpin Islam disebabkan sentimen politik. Anehnya, mereka ini lebih mudah percaya kepada individu yang membuat sumpah berkanun. Dalam kes Mohd. Saiful dan Anwar ini, masing-masing mendakwa di pihak yang benar. Maka usahlah gundah untuk diadili demi mencari kebenaran.