Sunday, October 26, 2008

HUJAN SAHAJA YANG TURUN!

Kata Samy Vellu beberapa ketika dahulu, “hujan saja turun, lain semua naik!”

Apa yang naik? Dia bukan mencarut tetapi itulah hakikatnya dengan harga barang ketika ini.

Kadang-kadang malu dan malas nak ulas apa Perdana Menteri kita, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi cakap.

Pada 15 Oktober lalu dia melahirkan rasa kesal dengan para peniaga kerana masih tidak menurunkan harga barangan walaupun kerajaan sudah menurunkan harga minyak sebanyak tiga kali.

Perdana Menteri berkata, sepatutnya para peniaga mempunyai tanggungjawab sosial yang tinggi setelah kenaikan harga barangan sebelum ini dikaitkan dengan harga minyak.

Tetapi oleh kerana ia ada kena mengena dengan diri, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia, kena ulas juga.

Saya terbaca apa kata Mesin Taip Buruk (http://mesintaipburuk.blogspot.com) yang menurutnya:

“Itulah dulu masa nak naikkan harga minyak tak fikir dua tiga kali, gelojoh dan macam tak sabar-sabar. Dah lah tu, naik pulak langsung sampai 80 sen. Dah la mula-mula kata nak naikkan September, alih2 lepas dua hari cakap macam tuh tup-tup harga minyak naik. Tak fikir/kaji ke trend kenaikan harga minyak tu. Ini tidak main sedap cakap & bertindak saja.

Puak2 penasihat pun sama, dah tau orang tua nih tak berapa nak cerdik, kenapalah tak bagi nasihat betul2. Ini tidak main ikut dia saja.
Sekarang siapa yang tanggung susah? Rakyat jugak. Kenapa pulak marahkan peniaga tak turunkan harga? Eh.. siapa nak turun kalau dah naik. Macam sesetengah pemimpin kita gak, dah duduk atas tak ada hati nak turun.

Sanggup nak jadi pemimpin sampai dah nak mampus. Tak fikirlah orang kat bawah ni dah meluat dengan mereka.
Berbalik pada harga barang, aku pernah tanya peniaga kenapa harga masih tinggi sedangkan minyak dah turun harga. Mudah mereka cakap... ala minyak turun berapa sen sangat? See... Betul gak cakap dia. Kalau Pak Lah dulu naikkan sikit2 harga minyak, tak de lah rakyat menderita sangat. Ini dah lah naikkan harga mengejut, tinggi pulak tuh.

Macam lah negara tak ada duit sangat kena tanggung subsidi minyak. Dah la tuh duit subsidi minyak diberikan dalam bentuk lain... bagi cash rebet RM650 cukai jalan. Sehari boleh habis... Begitu juga bagi cash kat orang2 miskin, ibu tunggal dan OKU. Habis yang sihat walafiat tetapi hari2 guna kereta, motor macam mana?
Inilah pemikiran pemimpin yang otaknya hanya boleh berfikir sejengkal saja. Ish... malas dah aku nak mengumpat pasal orang tua nih.

Nanti dia susah nak mati. Maklum, bukan aku sorang saja yang mengata tapi aku rasa ramai lagi di luar sana. Kesian dia...
Jadi Pak Lah, janganlah salahkan peniaga yang tak turun harga barang tetapi salahkan diri sendiri sebab buat keputusan terburu2. Lebih baik Pak Lah mintak maaf saja kepada rakyat Malaysia sebab 5 tahun perintah negara, 5 tahun rakyat menderita!

Jadi, bila baca berita hari ini geger memperkatakan bahawa ekoran harga minyak mentah global turun secara mendadak sejak akhir-akhir ini, kerajaan membayangkan akan menurunkan lagi harga runcit petrol dan diesel pada akhir bulan ini, ada semacam rasa lega.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam, Majlis Ekonomi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi membincangkan perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan mengulas penurunan harga minyak mentah dunia sehingga AS$62 (RM221.34) setong kelmarin. Dalam pada itu, penganalisis meramalkan fenomena penurunan harga minyak itu akan berterusan.

Mereka menjangkakan harga minyak mentah bagi pasaran Amerika Syarikat akan turun sehingga AS$50 (RM178.50) setong tahun depan. Harga minyak mentah dunia tiga bulan lalu ialah AS$147 (RM524.79) setong, iaitu paras tertinggi dalam sejarah.
Tapi ingatkan kenyataan Pak Lah yang b**** dan b****** itu, aku rasa macam harga barangan sukar untuk turun.

Tidak tahu pada siapa nak cakap. Pada Shahril? Hmmmm dulu cakap banyak dan macam-macam bila jadi Menteri, apa dibuatnya tidak tahu.

Bukan nak puji, masa Shafie Afdal jadi Menteri, dia ada turun padang dan sanggup ‘berperang’ dengan peniaga. Masa Shahril? Harap ke rambut putihnya sahajalah....

Apapun bersyukur jika benar Minyak Turun Lagi. Taklah bising sangat yang seorang lagi tu! Siapa? Tau-taulah dan dialah paling bijak dan berkebolehan tapi tidak ada kuasa kerana dia hanya pandai berbicara!

MAT TAIB MAIN DUIT?

Oleh Bung Latiff

Kalau Politica (http://politica-net.blogspot.com) seronok betul tengok drama Mat Taib @ Mike Tyson (Datuk Seri Muhammad Mohd Taib) nak dapatkan pencalonan kerusi Timbalan Presiden UMNO, saya pula seronok baca tulisan anda ini “Kisah Mat Taib dan Sakit Tua”.

Bukan apa, memang dia tengah jual lelong dirinya sendiri.

Namun satu berita terbaru yang didengar dari Bandar Tun Razak, katanya Mat Taib dilaporkan oleh seseorang kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO kerana main duit.

Gegernya cerita ini dah sampai ke warong The Mall. Ramai yang memperkatakannya dan dah ada yang mula marah-marah!

Menurut sumber rapat Mat Taib mahu menjamin dia disokong oleh Bahagian berkenaan untuk bertanding. Entah berapa duitnya tidak diketahui tetapi lebih RM50,000.

Berikutan itu dia memberikan duit itu kepada seorang untuk ditaburkan kepada ‘orang tertentu’.

Orang ini menggunakan duit itu ‘sambil menyelam sambil minum air’. Dia berkempen untuk dirinya dan juga Mat Taib.

Akhirnya dia menang jawatan dan Mat Taib juga mendapat sokongan.

Masalahnya, apakah Ketua Penerangan ini akan ikut digerudi oleh Tengku Ahmad Ritahuddeen dan ahli jawatankuasanya?

Atau apakah akan hanya ada siasatan terpilih dan Mat Taib yang terkenal dengan main duit ini terlepas.

Bahaya tu...takut nanti jadi angsa emas seperti yang diceritakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya.

Betul kata Politica dia terkial-kial dan dia sanggup iklankan dirinya menerusi Bernama TV. Dia kata, dia tidur di rumah Orang Asli. Dia kata macam-macam nak suruh orang kasi dia pencalonan.

Saya bersetuju dengan pertanyaan Pokka tu: “Inikah jenis pemimpin yang kita nak tonjolkan di abad ke-21 ni? Fikirannya lapok. Yang dia ingat, dengan duit dia yang berjuta-juta ringgit, dia boleh beli sokongan semua warga UMNO. Dia ingat kita ni semua bebal dan baghal. Tapi, tak apalah. Kalau ada warga UMNO nak sokong Mat Taib, sokonglah.”

Pokka juga setuju Mat Taib memang baik. Dia peramah. Tapi dia juga tidak cekap. Tetapi bila dia jadi Ketua Penerangan UMNO, apa dia buat? Asyik-asyik panggil warga besar UMNO pergi PWTC untuk dengar Abdullah Badawi merapu. Soal-soal strategik parti mana dia peduli?

Benar dan tepat. Ketua Penerangan adalah jawatan penting. Perlu jelaskan banyak perkara kepada warga akar umbi. Dia kena jelaskan macam-macam hal supaya keyakinan anggota UMNO kepada parti dan kepimpinannya dipulihkan.

Betullah cakap Pokka, Orang macam ni nak jadi pemimpin nombor dua UMNO di abad ke-21? Sorrylah brother. Makin teruklah “sakit tua” UMNO kalau dia jadi Timbalan Presiden atau Timbalan Perdana Menteri.

Itu belum lagi nak ungkit kisah lamanya yang ‘berpeluk-peluk puteri raja’ dan ‘berpeluh-peluh kerana ditahan orang Australia di lapangan terbang kerana tidak tahu cakap Orang Putih”.

Thursday, October 23, 2008

PERGUNA DUIT RAKYAT UNTUK SELAMATKAN PELABUR?

Kini semakin geger diperkatakan mengenai dana tambahan sebanyak RM5 bilion kepada syarikat pengurusan dana milik kerajaan, Valuecap Sdn. Bhd. diperoleh melalui pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Banyak pihak kini mempersoalkan tindakan kerajaan memaksa KWSP melabur sehingga RM5 bilion untuk menyelamatkan saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

"Apa istimewanya syarikat tersenarai di pasaran saham yang diumpankan ‘hantaran’ sebesar itu? Tak kena gaya, RM5 bilion hilang sekelip mata bila dicampakkan ke lubuk pasaran saham yang belum terhenti merudum," kata seorang pemimpin tinggi Pas.

Beliau menyifatkan langkah tersebut menunjukkan kerajaan tidak bersifat saksama dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat.

Ditubuhkan pada 2003, Valuecap merupakan syarikat pengurusan dana yang diwujudkan untuk melabur khusus dalam pasaran ekuiti Malaysia dan dimiliki bersama oleh Khazanah, PNB dan Dana Persaraan (Diperbadan).

"Langkah memperuntukkan RM5 bilion untuk pasaran saham, tetapi sepi dalam langkah-langkah meringankan beban rakyat dan merancakkan ekonomi, adalah langkah berat sebelah," kata beliau.

Jumlah RM5 bilion itu bukanlah jumlah yang kecil, katanya, malah lebih besar dari RM4 bilion yang pernah dijimatkan oleh kerajaan dengan menaikkan harga petrol dan diesel yang telah menyulitkan kehidupan rakyat satu masa dulu.

Pemimpin itu seterusnya mempersoalkan mengapa wang sebesar RM5 bilion itu tidak boleh diperuntukkan bagi merancakkan ekonomi negara seperti langkah "pump priming" atau insentif fiskal yang lain.

Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin berkata dana tambahan sebanyak RM5 bilion kepada syarikat pengurusan dana milik kerajaan, Valuecap Sdn. Bhd. adalah peruntukan tambahan yang disediakan untuk Valuecap.

Ini tidak termasuk peruntukan kerajaan pada tahun 2009. Najib menjelaskan, wang ini bukan sebahagian daripada 'Kumpulan Wang Yang Disatukan.' Ia adalah pinjaman daripada KWSP.
Menteri Kewangan itu menjelaskan banyak syarikat yang mempunyai prospek pada jangka masa panjang kini berada di bawah nilai sebenar.

Valuecap dengan dana RM10 bilion pada asalnya menyertai pasaran tempatan sejak 2003 dan berjaya meningkatkan nilai saham di Bursa Malaysia.

Najib semalam menjelaskan, tindakan menambah dana dalam Valuecap adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan langkah awal untuk mengelakkan sebarang kemungkinan Malaysia diheret sekali dalam kancah krisis kewangan dunia masa kini.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menyokong pandangan Najib berkata KWSP akan membuat keuntungan daripada RM5 bilion yang ia pinjamkan kepada agensi pelaburan kerajaan, Valuecap Sdn Bhd.

Keyakinan itu diasaskan kepada prestasi Valuecap sebelum ini yang meningkatkan portfolionya daripada RM5 bilion pada awalnya kepada RM8 bilion sekarang.

"Saya percaya mereka (Valuecap) akan mencatatkan prestasi baik dan KWSP pastinya akan mendapat pulangan mereka.

"Valuecap mencatatkan prestasi baik. Ia mempunyai prasarana baik, kakitangan yang baik yang mengetahui dengan mendalam tentang pasaran dan berpengetahuan mengenai apa yang sedang berlaku (dalam pasaran global)," katanya pada 20 Oktober lalu.

Untuk lebih mudah memahaminya, baca apa kata Penarik Beca dalam blognya, http://penarikbeca.blogspot.com

"Ayuh, dengan duit kita dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kita bail-out saham-saham blue-chip yang kini tertinggal di belakang di bursa-bursa tempatan, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat kroni Barisan Nasional yang nilai sahamnya berada di paras bawah nilai atau dalam bahasa sedap media-media kroni, terkurang nilai.

Alahai, bukannya banyak pun, RM5 bilion ja... Takkan kita tak tau, duit hasil titik peluh kita, termasuk pekerja bergaji murah dan golongan mustadh'adfin (tertindas), dalam KWSP tu memang dihimpun banyak-banyak untuk membantu pasaran saham. Persetankan semua keputusan berhemah untuk melabur dengan tujuan mendapatkan pulangan yang maksimum.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagaikan menjerkah kita dengan berita gila bahawa kerajaan akan tibai RM5 bilion duit KWSP untuk meningkatkan dana agensi pelaburannya, Valuecap Sdn Bhd kepada RM10.3 bilion dan melabur di dalam saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

Menurut Menteri Kewangan itu, kerajaan berharap suntikan dana itu akan memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh saham-saham blue-chip yang kini tertinggal di belakang di bursa-bursa tempatan. Amboi, bila kita nak pakai sikit duit kita dalam KWSP, kena mengemis macam peminta sedekah.

Kadang-kadang pelbagai karenah menyebabkan kita rasa kita ni macam kucing kurap walaupun nak minta duit sendiri. Depa senang-senang boleh tibai RM5 bilion untuk bail-out saham-saham terkincit nilai.

Hampa nak kata apa?!! Depa ada kuasa. Hidup kuasa!!
Di hari yang sama Najib mengumumkan penibaian RM5 bilion duit kita dalam KWSP itu, Malaysiakini melaporkan Sekretariat Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat aduan polis lagi terhadap Najib berhubung isu helikopter Eurocopter dan Altantuya Shaariibuu."